27 Disember 2022, 17:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia telah memasuki fasa peralihan endemik bermula pada 1 April 2022 semasa negara masih lagi diwartakan sebagai kawasan tempatan jangkitan COVID-19. Sempadan negara telah dibuka kepada pelancong dari luar negara serta aktiviti industri pelancongan dan sektor ekonomi lain telah dipertingkatkan. Oleh itu, dengan mengambil kira negara ini mempunyai risiko kemasukan kes COVID-19 dari luar negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian disebabkan oleh COVID-19.

Menerusi sidang media Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 21 Disember 2022 yang lalu, Ketua Pengarah WHO, YBrs. Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus tidak menafikan bahawa pada awal tahun 2022, gelombang yang terjadi akibat varian Omicron telah menyebabkan berlakunya peningkatan kes dan kematian yang mendadak. Namun begitu, berdasarkan data COVID-19 semasa yang dilaporkan kepada WHO, trend pandemik ini secara keseluruhannya telah berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, WHO turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan mendadak kes COVID-19 yang berlaku di China. Golongan pakar dan penyelidik pada peringkat antarabangsa menjangkakan situasi ini akan berlaku susulan keputusan pihak berkuasa negara China pada sekitar awal Disember 2022 yang lalu untuk melaksanakan kelonggaran terhadap polisi pengurusan pandemik COVID-19 yang sebelum ini lebih ketat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya hari ini, KKM telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan dalam menghadapi risiko peningkatan kes COVID-19. Langkah pertama, KKM meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan, jangkitan serius dan kematian. Semua individu yang layak disarankan untuk mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan yang optimum terhadap penyakit COVID-19.

Langkah kedua, KKM juga mengukuhkan pengurusan COVID-19 melalui pendigitalan pengurusan kesihatan dengan menambah baik pengurusan COVID-19 menerusi pendekatan Find, Test, Trace, Isolate and Support (FTTIS) yang diautomasikan. Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan COVID-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera, selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan. Keputusan ujian akan segera dikemas kini dalam sistem MySejahtera pengguna. Kes positif akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian serta Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian secara digital dan tidak perlu hadir di pejabat kesihatan daerah mahupun Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), melainkan jika perlu menjalani pemeriksaan lanjut setelah mengisi Penilaian Kendiri semasa Kuarantin di Rumah (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Langkah pencegahan yang ketiga adalah dengan memastikan semua CAC yang beroperasi secara fizikal ataupun maya bersedia dalam menerima kedatangan pesakit atau panggilan daripada pesakit untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan COVID-19.

Langkah keempat, KKM turut memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid® (Nirmatrelvir/Ritonavir) dalam COVID-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April 2022 dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan di klinik kesihatan, CAC dan hospital KKM. Ubat antiviral oral pertama di Malaysia ini merawat pesakit COVID-19 yang mengalami gejala ringan hingga sederhana ataupun kategori dua dan kategori tiga. Keutamaan pemberian rawatan ubat ini adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi.

Selain itu, rawatan ini juga diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta bagi memastikan akses yang lebih baik kepada pesakit bermula 20 Jun 2022. Pemberian ubat ini kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah secara percuma, namun pesakit masih tertakluk kepada caj khidmat rundingan dan caj lain yang ditentukan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut.

KKM juga memantau rapi penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat melalui pelaksanaan aktiviti survelan yang melibatkan lokasi sentinel influenza-like illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) di seluruh negara. Aktiviti ini turut disokong dengan aktiviti penjujukan genom menyeluruh bagi mengesan varian baharu dan aktiviti survelan persekitaran melalui persampelan air kumbahan dari lokasi persampelan yang dikenal pasti di seluruh negara.

Inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang bertujuan untuk memperkasakan kawalan kendiri kesihatan merangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan kebiasaan baharu, iaitu penjarakan fizikal, kerap mencuci tangan dan pemakaian pelitup muka juga digerakkan di semua peringkat.

ANMS turut memberikan tumpuan kepada pemerkasaan komuniti dalam membudayakan hidup sihat. Malaysian Health Community Agent (MyCHAMPION) adalah satu daripada platform kolaborasi merentasi pelbagai kementerian, organisasi sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan sebagai rakan strategik berperanan dalam membantu KKM melaksanakan inisiatif dan aktiviti promosi kesihatan pada peringkat komuniti.

Masyarakat perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dan selamat bagi menghindarkan diri daripada bahaya jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit yang lain. Bagi individu yang berisiko tinggi termasuklah individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan untuk memakai pelitup muka, terutamanya di kawasan atau tempat yang sesak. Individu yang bergejala juga digalakkan untuk memakai pelitup muka dan menjalankan ujian COVID-19 kendiri.

Pemantauan perkembangan penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara dan di luar negara akan terus dilaksanakan oleh KKM melalui maklumat yang diperoleh daripada WHO. KKM akan memastikan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.