Diterbitkan pada 16 Disember 2022, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – ”Kementerian saya komited dalam memastikan Malaysia tidak dijadikan tempat transit atau pelupusan e-sisa daripada negara maju. Hal ini adalah selaras dengan Konvensyen Basel mengenai Kawalan Pergerakan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya. Melalui konvensyen ini, semua pergerakan rentas sempadan buangan terjadual seperti e-sisa perlu mempunyai kelulusan terlebih dahulu sebelum sebarang aktiviti transit, import dan eksport dapat dijalankan.”

Demikian kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad yang melawat dan membuat pemeriksaan di Port Klang dalam satu operasi membanteras dagangan sisa elektronik (e-sisa) yang dilakukan secara haram bersama-sama timbalannya, YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii dan pegawai kanan dari Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Lawatan pemeriksaan e-sisa di Port Klang.

Berdasarkan statistik yang direkodkan dari Januari 2022 hingga November 2022, sebanyak 59 buah kontena telah ditahan oleh JAS Negeri Selangor dengan kerjasama pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 buah kontena yang membawa barangan mengandungi buangan terjadual telah diperiksa oleh pegawai penguat kuasa JAS.

Pada 8 Disember 2022 yang lalu, sebanyak tiga buah kontena telah ditahan dan diperiksa di Pelabuhan Barat, Klang. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa kontena tersebut mengandungi bahan buangan yang diimport dari Amerika Syarikat dan Sepanyol, iaitu perkakasan komputer terpakai berserta wayar yang dikategorikan sebagai buangan elektrik dan elektronik (SW 110) atau e-sisa. Pemeriksaan turut mendapati bahawa pengimport telah mengikrar bahan dagangan sebagai skrap aluminium bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, bagi mematuhi kehendak di bawah prosedur Konvensyen Basel, notis arahan akan dikeluarkan kepada syarikat pengimport berkenaan untuk memulangkan kontena tersebut ke negara asal. Konvensyen Basel telah menetapkan supaya e-sisa yang merentasi sempadan hendaklah melalui prosedur Prior Informed Consent (PIC), yakni kebenaran negara pengimport perlu diperoleh sebelum dihantar ke negara yang terlibat. Tindakan ini adalah satu daripada cara untuk mengawal pergerakan e-sisa pada peringkat global.

Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan termasuklah menghantar balik kontena e-sisa import tersebut ke negara asal. JAS akan terus memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi pengimportan e-sisa yang digunakan oleh industri kitar semula.

Di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974, sebarang penempatan buangan terjadual sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia, transit atau membenarkan ditransit e-sisa tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar adalah menjadi satu kesalahan di bawah AKAS 1974 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak melebihi RM500 000.

YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh semua agensi yang terlibat dalam membantu operasi tersebut. Beliau menyatakan bahawa kerajaan amat menghargai sebarang maklumat risikan awal yang disalurkan oleh mana-mana pihak dalam mendepani cabaran siasatan dan penguatkuasaan pergerakan merentas sempadan e-sisa ke negara ini.

“Sebarang cubaan oleh mana-mana agen atau syarikat perkapalan yang mengimport sebarang e-sisa ke Malaysia akan berdepan dengan tindakan tegas jika mereka gagal mematuhi undang-undang dan prosedur pengimportan yang telah ditetapkan oleh Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, AKAS 1974,” tegasnya lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi