13 Disember 2022, 14:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kemajuan teknologi maklumat dan pembangunan rangka kerja pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996 dan pelancaran Malaysia Digital (MD) pada Julai 2022 bagi menambah baik inisiatif MSC adalah langkah proaktif dalam memacu arus pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara.

Kemajuan teknologi maklumat juga memainkan peranan utama dalam menghasilkan sistem pengendalian maklumat yang terkini, lengkap dan pantas. Hal ini turut memberikan kesan kepada perkembangan sistem maklumat geografi (GIS) di Malaysia.

Sistem Maklumat Geografi

Pada hari ini, pelbagai tafsiran diberikan kepada GIS mengikut latar belakang pengguna dan kefahaman mengenainya. Kepelbagaian ini terbina hasil persepsi individu mengikut kegunaan atau manfaat yang diperolehi daripada GIS.

Misalnya, penghantar barang menggambarkan GIS sebagai kemudahan yang berupaya mencari arah tuju lokasi dengan lebih mudah. Pengembara pula mentakrifkan GIS sebagai tempat menyimpan lokasi tumpuan dan kawasan menarik yang perlu dikunjungi tanpa bersusah payah membuat rujukan peta dalam salinan keras.

Kebanyakan orang juga keliru antara alat global navigation satellite system (GNSS) dengan GIS. Istilahnya seolah-olah serupa tetapi sebenarnya kedua-duanya berbeza. Pada kebiasaannya, kedua-dua teknologi ini diintegrasikan supaya menghasilkan paparan peta berdasarkan lokasi semasa yang berupaya dicerap berbantukan satelit.

Secara konsepnya, GIS ialah teknologi berasaskan komputer yang berupaya memproses data geospatial (reruang) dan atribut (teks) bagi menghasilkan maklumat pemetaan secara digital yang kemudiannya diproses mengikut kehendak pengguna.

GIS memberikan maklumat peta (lokasi) dan maklumat objek yang terdapat di suatu kawasan. Contoh yang paling mudah ialah penggunaan aplikasi carian di Google Maps atau Waze oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk pencarian alamat mahupun penunjuk arah ke lokasi yang dikehendaki.

Rajah 1 Gambaran bagi maksud GIS.

Sementara itu, GNSS ialah alat yang berupaya mengesan lokasi koordinat di muka bumi dengan bantuan satelit. GNSS yang diintegrasikan bersama-sama GIS membolehkan peta digital dilihat pada kedudukan koordinat semasa. Hal ini menjadikan pergerakan pengguna akan dikesan oleh GNSS dan seterusnya dipaparkan di atas peta pada masa nyata. Dengan penambahan algoritma bagi menjalankan fungsi tertentu, maka terhasilah inovasi seperti aplikasi penunjuk arah dalam Google Maps dan Waze yang digunakan pada masa ini.

Rajah 2 Contoh aplikasi Google Maps yang memaparkan maklumat peta menggunakan platform GIS dan lokasi terkini pengguna menggunakan alat GNSS.

GIS beroperasi berdasarkan lima komponen, iaitu perkakasan, perisian, data, orang dan kaedah. Setiap komponen adalah penting dan ketiadaan mana-mana komponen tersebut berisiko mengganggu pelaksanaan GIS.

Rajah 3 Komponen GIS.

 

Bencana Banjir

Dalam situasi banjir, pasukan penyelamat berisiko menghadapi cabaran yang besar dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir. Mangsa mungkin terperangkap pada paras air yang berbahaya dan besar kemungkinan telah terputus bekalan makanan serta mengharapkan bantuan sesegera mungkin.

Situasi genting seperti ini mendesak pasukan penyelamat untuk bertindak pantas, namun mereka mungkin menghadapi kekangan kerana sukar mendapatkan maklumat persekitaran dengan lengkap dan tepat. Lokasi sebenar mangsa juga sukar dikenal pasti kerana kebanyakan kawasan telah ditenggelami air.

Selain itu, terdapat kawasan yang sukar dilalui akibat arus deras dan tidak dapat dikenal pasti akan risikonya. Semua masalah ini akhirnya menyebabkan proses pergerakan ke lokasi penyelamatan lewat dilakukan.

Kegagalan mendapatkan gambaran lengkap seperti alur sungai, kecerunan tanah dan jenis guna tanah di kawasan persekitaran bencana juga menyebabkan kesukaran kepada pasukan penyelamat untuk mengharungi banjir ekoran terdapatnya risiko aliran arus deras atau berpusar berdasarkan muka bumi di sesuatu kawasan.

Misalnya, kawasan cerun cenderung menyebabkan aliran air bergerak deras menuruni lereng. Semakin tinggi darjah kecerunan, semakin deras aliran air melaluinya. Begitu juga alur sungai yang boleh menyebabkan arus deras atau berpusar di kawasan tertentu. Keadaan ini mewujudkan risiko kepada pasukan penyelamat semasa mengharungi banjir, terutamanya ketika adanya mangsa bersama-sama dalam perjalanan menaiki bot ke pusat pemindahan sementara.

Keadaan arus deras ketika proses penyelamatan mangsa banjir.

Memanfaatkan GIS semasa Bencana Banjir

Kebanyakan produk inovasi yang terhasil daripada penyelidikan memberikan fokus kepada pemetaan kawasan banjir dan ramalan kejadian banjir di satu-satu kawasan. Walau bagaimanapun, idea yang diketengahkan dalam rencana ini pula menjurus kepada manfaat penggunaan GIS untuk bencana banjir yang telah pun berlaku serta kebolehannya digunakan oleh pihak pemegang taruh, sama ada sebelum, semasa mahupun selepas berlakunya bencana banjir.

Penulis yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Teknologi Maklumat, Akademi Latihan Pertahanan Awam telah menjalankan beberapa kajian sejak tahun 2018 agar pelaksanaan GIS dapat direalisasikan ketika operasi menyelamat dan bantuan mangsa banjir.

Idea penggunaan GIS telah dirangka agar boleh dimanfaatkan menggunakan fungsi seperti yang berikut:

  • Akses kepada aplikasi dan maklumat GIS menggunakan peranti mudah alih dan komputer.
  • Berkeupayaan memaparkan peta digital lokasi persekitaran dengan lengkap berdasarkan kedudukan semasa.
  • Memaparkan maklumat lokasi pusat pemindahan sementara yang diwartakan oleh kerajaan.
  • Mendapatkan lokasi semasa pasukan penyelamat menggunakan alat GNSS di samping dapat dikesan oleh pasukan penyelamat lain atau petugas yang berada di pusat kawalan operasi pada masa nyata atau manual.
  • Mendapatkan lokasi mangsa yang memerlukan bantuan dengan merujuk kepada kedudukan koordinat.

Kesemua fungsi yang dinyatakan membolehkan banyak manfaat diperoleh oleh pihak yang terlibat seperti petugas pusat kawalan operasi, pasukan penyelamat di lapangan dalam pengurusan bencana dan masyarakat yang terjejas akibat banjir.

Sebagai contohnya, mangsa banjir boleh menyatakan lokasi koordinat kepada pusat kawalan operasi yang akan mengatur pergerakan pasukan penyelamat ke lokasi mangsa. Lokasi tersebut akan mudah dijejaki berdasarkan rujukan koordinat diberikan. Risiko persekitaran juga lebih mudah dianalisis oleh pasukan penyelamat bagi mengurangkan impak buruk yang mungkin terjadi.

Rajah 4 Gambaran konsep perhubungan antara semua pihak terlibat ketika bencana banjir.

 

Selari dengan arus kemodenan ICT pada peringkat global, kemudahan GIS selama ini telah dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat terutamnya dalam membantu urusan perniagaan. Perkhidmatan seperti e-panggilan, perkhidmatan penghantaran makanan dan penjejakan lokasi kenderaan adalah antara produk yang wujud melalui penyelidikan inovasi berasaskan GIS.

Sehubungan dengan itu, adalah amat bermanfaat seandainya idea teknologi ini turut diketengahkan oleh pihak pengurusan bencana dan komuniti sebagai persediaan sekiranya bencana banjir berlaku, terutamanya yang melibatkan kawasan yang luas serta jumlah mangsa yang ramai.

Banyak kelebihan yang mampu ditawarkan GIS, terutamanya ketika menguruskan operasi bencana banjir. Perkara ini juga selari dengan Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana (2015-2030) dan Masyarakat 5.0 yang memberikan penekanan integrasi antara teknologi pintar dengan manusia ke arah konsep peradaban masa hadapan.

Tanggapan bahawa GIS ialah teknologi yang sukar dan dikhususkan kepada golongan profesional adalah kurang tepat. Realitinya, teknologi ini mampu dioperasikan secara asas oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Pasukan penyelamat banjir juga usah gusar akan penggunaan teknologi ini kerana pembangun teknologi sentiasa berusaha memudahkan pengguna untuk menggunakannya seiring dengan pertumbuhan teknologi yang sentiasa berubah. Potensi masa hadapan ICT dan GIS juga bakal berkembang pesat selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 yang berupaya mengubah gaya hidup masyarakat ketika itu.

 

Ts. Mohd Ridzuan Anuar ialah Penolong Pengarah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Putrajaya.

Kol. (PA) Ts. Dr. Mohamad Fazli Sardi ialah Komandan di Akademi Latihan Pertahanan Awam, Bangi, Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.