Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPernahkah anda terfikir apakah tindakan yang perlu diambil sekiranya menemui sebuah objek yang mempunyai simbol amaran sinaran atau menyaksikan kemalangan yang melibatkan bahan radioaktif? Walaupun kejadian sedemikian jarang-jarang berlaku di Malaysia, pengetahuan mengenai langkah yang betul ketika berdepan situasi tersebut amat penting bagi memastikan keselamatan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling.

Dalam dunia yang semakin bergantung pada kemajuan sains dan teknologi, penggunaan sinaran mengion telah menjadi sebahagian daripada kehidupan moden. Teknologi ini digunakan secara meluas dalam bidang perubatan, perindustrian, penyelidikan dan pertanian bagi meningkatkan kesejahteraan hidup manusia. Namun demikian, seperti teknologi lain, penggunaan bahan radioaktif memerlukan kawalan dan pemantauan yang rapi bagi memastikan keselamatan orang awam sentiasa selamat.
Bagi memastikan sebarang kejadian yang melibatkan sinaran dapat ditangani dengan cepat dan berkesan, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) menyediakan Talian Penting (Hotline) Kecemasan 1800-88-7999 yang beroperasi 24 jam sehari. Talian ini diwujudkan sebagai saluran rasmi untuk melaporkan sebarang kejadian radiologikal dan nuklear yang memerlukan perhatian serta tindakan segera pihak berkuasa.
Kejadian radiologikal dan nuklear merujuk sebarang insiden atau kemalangan yang melibatkan sinaran mengion yang dikeluarkan oleh bahan radioaktif, bahan nuklear atau radas penyinaran. Antara contoh radas penyinaran yang biasa digunakan termauklah mesin sinar-X di hospital, peralatan radiografi industri, tolok ketebalan, tolok ketumpatan dan pelbagai peralatan lain yang menggunakan sumber radioaktif bagi tujuan tertentu.
Walaupun penggunaan bahan radioaktif di Malaysia dikawal selia secara ketat, kejadian tidak dijangka masih boleh berlaku. Antara contoh kejadian radiologikal dan nuklear termasuklah kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan pengangkutan bahan radioaktif, kehilangan atau kecurian bahan radioaktif, tumpahan bahan radioaktif berbentuk cecair, kegagalan mengembalikan sumber radioaktif ke dalam bekas penyimpanan selepas kerja radiografi industri serta penemuan sumber radioaktif yang tidak bertuan di kawasan awam. Dalam situasi seperti ini, tindakan yang pantas dan tepat amat penting bagi mengurangkan risiko kepada manusia dan alam sekitar.
Berbeza dengan kebakaran, asap atau kebocoran bahan kimia yang boleh dilihat atau dihidu, sinaran mengion tidak dapat dikesan oleh pancaindera manusia. Sinaran ini tidak boleh dilihat, dihidu, disentuh, dirasa atau didengar. Kehadirannya hanya dapat dikenal pasti dengan menggunakan alat pengesan sinaran yang khusus. Namun begitu, orang awam boleh mengenal pasti kemungkinan kewujudan bahan radioaktif melalui simbol amaran sinaran yang biasanya dipaparkan pada peralatan, bekas penyimpanan atau kenderaan yang membawa bahan radioaktif. Simbol ini digunakan di seluruh dunia sebagai tanda amaran kewujudan bahaya sinaran.
Sekiranya seseorang menemui objek yang mempunyai simbol tersebut dalam keadaan mencurigakan, tindakan paling selamat ialah tidak menyentuh, mengalihkan atau cuba membuka objek berkenaan. Sebaliknya, segera menjauhkan diri daripada kawasan tersebut dan melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Dalam situasi kecemasan, maklumat yang diterima pada peringkat awal amat penting bagi membolehkan tindakan perlindungan dilaksanakan dengan segera. Atas sebab itu, Atom Malaysia menyediakan Talian Penting Kecemasan 1800-88-7999 yang boleh dihubungi pada bila-bila masa.
Talian ini dikendalikan oleh Pusat Pengurusan Tindak Balas Nuklear Kebangsaan atau National Centre for Nuclear Response Management (NCNRM) yang bertanggungjawab menyelaraskan pengurusan kecemasan radiologikal dan nuklear di Malaysia. Orang awam, pemegang lesen, pengendali industri atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kejadian sinaran boleh membuat laporan melalui talian ini.
Setiap laporan yang diterima akan dinilai dan disahkan sebelum tindakan susulan diambil. Bergantung pada jenis dan tahap kejadian, Pasukan Tindak Balas Nuklear akan digerakkan bagi menjalankan penilaian radiologi, pengukuran tahap sinaran, pengesahan risiko serta memberikan sokongan teknikal kepada agensi penyelamat dan penguat kuasa yang terlibat. Tindakan pantas bukan sahaja membantu mengurangkan risiko kepada orang awam, malah membolehkan pihak berkuasa mengawal keadaan sebelum kejadian menjadi lebih serius.
Malaysia pernah berdepan dengan kejadian kehilangan sumber radioaktif Iridium-192 yang digunakan dalam aktiviti radiografi industri di Klang, Selangor pada tahun 2017. Kejadian tersebut mendapat perhatian meluas kerana sumber radioaktif berkenaan berpotensi mendatangkan risiko sekiranya ditemui dan dikendalikan oleh individu yang tidak memahami aspek keselamatan sinaran.
Walaupun sumber tersebut akhirnya berjaya dikesan dan tindakan kawalan segera telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa, insiden tersebut memberikan pengajaran penting mengenai kepentingan pelaporan awal serta kesiapsiagaan dalam menghadapi kejadian radiologikal. Peristiwa ini juga membuktikan bahawa kerjasama antara pemegang lesen, agensi kerajaan dan masyarakat memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara.
Keselamatan radiologikal dan nuklear bukanlah tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata. Setiap anggota masyarakat mempunyai peranan dalam membantu memastikan penggunaan bahan radioaktif sentiasa berada dalam keadaan selamat dan terkawal.
Kesedaran untuk mengenali simbol amaran sinaran, memahami risiko asas bahan radioaktif serta mengetahui saluran pelaporan yang betul mampu membantu mengurangkan risiko dan mempercepatkan tindakan kecemasan. Pada masa yang sama, masyarakat juga perlu mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak disahkan kerana perkara tersebut boleh menimbulkan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Dalam situasi kecemasan radiologikal dan nuklear, setiap minit amat berharga. Oleh itu, orang ramai disarankan untuk menyimpan nombor talian penting Kecemasan Atom Malaysia 1800-88-7999 sebagai langkah kesiapsiagaan sekiranya berdepan dengan kecemasan radiologi atau nuklear.
Satu panggilan yang dibuat pada masa yang tepat bukan sahaja dapat membantu pihak berkuasa bertindak dengan lebih pantas, malah berupaya melindungi keselamatan orang awam, alam sekitar dan negara daripada risiko yang tidak diingini. 1800-88-7999 ialah nombor penting yang mungkin diperlukan apabila berlaku kecemasan sinaran.
