11 Disember 2022, 22:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banjir ialah bencana alam yang sering berlaku di Malaysia dan memberikan impak kepada ancaman keselamatan serta kesihatan orang awam. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya bencana ini, terutamanya kesan monsun timur laut yang membawa hujan yang berterusan.

Berdasarkan laporan Jabatan Pengairan dan Saliran, terdapat lebih kurang 5496 kawasan mudah banjir yang meliputi keluasan kira-kira 29 800 kilometer persegi. Hal ini meletakkan berpuluh-puluh ribu keluarga terdedah kepada bahaya banjir. Oleh sebab itu, penting bagi orang awam untuk mengambil tahu tentang pengurusan ubat-ubatan semasa musim banjir.

Sebelum Banjir

Pesakit yang menetap di kawasan berisiko dilanda banjir perlu diberikan pendedahan secukupnya tentang cara menguruskan ubat-ubatan sebelum, semasa dan selepas banjir. Pengumuman dan ramalan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia harus diberikan perhatian supaya pesakit dapat bersedia menghadapi ancaman banjir.

Secara umumnya, pengambilan ubat-ubatan perlu diteruskan mengikut dos dan kekerapan yang diarahkan oleh doktor, terutamanya bagi pesakit kronik seperti diabetes dan hipertensi. Rawatan yang terputus boleh menyebabkan penyakit kronik tidak dapat dikawal dengan baik, memudaratkan pesakit dan menyebabkan komplikasi yang lebih serius.

Pesakit disarankan mendapatkan bekalan ubat yang mencukupi sepanjang tempoh musim banjir. Maklumkan kepada pegawai farmasi sekiranya kawasan tempat tinggal anda berisiko dilanda banjir.

Ubat-ubatan dan rekod kesihatan perlulah disimpan di dalam bekas yang selamat, kalis air dan mudah dibawa. Elakkan daripada mengeluarkan ubat tersebut daripada bungkusan asalnya. Pesakit juga boleh menyediakan beg sejuk dan pek ais sekiranya menggunakan ubat-ubatan yang perlu disimpan di dalam peti sejuk seperti insulin.

Orang awam juga perlu memeriksa stok bekalan ubat secara berkala untuk memastikan ubat tidak melepasi tarikh luput dan baki ubat adalah mencukupi. Persiapan ini dapat mengelakkan ubat-ubatan dan rekod kesihatan daripada hilang atau musnah apabila air mula naik pada paras bahaya.

 

Semasa Banjir

Jika diarahkan oleh pihak berkuasa untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir, pesakit perlu membawa bersama-sama ubat-ubatan, preskripsi ubat dan rekod kesihatan bagi memastikan rawatan dapat diteruskan mengikut arahan doktor dan mengelakkan kerosakan ubat sekiranya ditinggalkan di kediaman pesakit.

Sepanjang berada di pusat pemindahan banjir, pesakit diminta untuk mematuhi jadual pengambilan ubat mengikut dos dan masa yang telah ditetapkan. Amalkan konsep 5B semasa mengambil ubat, iaitu pengguna yang betul, ubat yang betul, dos yang betul, cara yang betul dan masa yang betul. Pesakit juga diingatkan untuk tidak berkongsi ubat-ubatan dengan orang lain walaupun mempunyai gejala penyakit yang sama.

Bagi memastikan kualiti ubat terjamin, pastikan ubat disimpan jauh daripada sumber haba, cahaya dan kelembapan. Situasi di pusat pemindahan banjir mungkin padat dengan penempatan mangsa banjir yang lain. Oleh itu, simpan ubat-ubatan dalam bekas yang selamat agar tidak hilang dan jauhkan daripada capaian kanak-kanak.

Kekurangan kemudahan di pusat pemindahan banjir boleh menyukarkan pesakit untuk menyimpan ubat-ubatan yang perlu disimpan di dalam peti sejuk seperti insulin. Pesakit boleh menyimpan insulin pada suhu bilik dan catatkan tarikh ubat dikeluarkan daripada peti sejuk kerana insulin tersebut boleh digunakan dalam tempoh empat minggu.

Bagi pesakit yang perlu membancuh ubat sendiri seperti sesetengah jenis antibiotik, gunakan air minuman yang bersih. Maklumkan kepada petugas kesihatan yang berkhidmat di pusat pemindahan tersebut sekiranya kehabisan ubat atau menghadapi sebarang masalah berkaitan ubat-ubatan. Sekiranya pesakit perlu mendapatkan rawatan bagi penyakit bawaan banjir, maklumkan jenis ubat yang diambil kepada petugas kesihatan bagi mengelakkan sebarang interaksi antara ubat-ubatan tersebut.

Selepas Banjir

Selepas air banjir mulai surut, mangsa banjir akan dibenarkan untuk kembali ke rumah masing-masing. Pesakit perlu memeriksa sekiranya terdapat sebarang kerosakan pada ubat-ubatan atau rekod kesihatan.

Ubat-ubatan yang terkena air banjir tidak boleh digunakan semula kerana berisiko dicemari kuman. Pesakit perlu mendapatkan ubat gantian di fasiliti kesihatan secepat mungkin.

Menguruskan ubat-ubatan adalah penting pada setiap masa, lebih-lebih lagi apabila telah mendapat amaran awal daripada pihak berkuasa tentang ramalan bencana yang mungkin berlaku. Pastikan kesihatan diri sentiasa dijaga, ubat-ubatan mencukupi dan tidak terputus bekalan.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, anda boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8.00 pagi hingga 5 petang, kecuali pada cuti umum.

 

Ahmad Najib Ahmad Afandi, Pegawai Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.