Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 70 buah sekolah di seluruh negara telah turut serta dalam kempen “NowyouSEEme 2.0” hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Hibiscus Petroleum Berhad bersempena dengan sambutan Hari Talasemia Sedunia 2022.
Kempen yang telah berlangsung selama lima bulan ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan literasi murid sekolah dan ibu bapa tentang penyakit talasemia. Talasemia adalah satu daripada penyakit genetik darah yang boleh diwarisi melalui gen talasemia daripada ibu bapa.
KKM menganggarkan setiap seorang daripada 20 orang rakyat di negara ini adalah pembawa gen talasemia dan jika kedua-dua ibu bapa adalah pembawa gen talasemia, maka berkemungkinan setiap kehamilan melahirkan bayi yang berpenyakit talasemia adalah tinggi. Pesakit yang menghidap talasemia tidak berupaya untuk menghasilkan sel darah merah yang berkualiti dan kuantiti yang mencukupi. Oleh itu, mereka perlu mendapatkan rawatan transfusi darah sebanyak satu atau dua kali sebulan sepanjang hidup.
Demikian perkara penting yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya hari ini.
Tambah beliau, kempen ini memberikan peluang yang lebih luas kepada murid dan warga sekolah menengah untuk mengenali dan memahami penyakit talasemia melalui aktiviti yang dijalankan menerusi portal secara dalam talian dan bersemuka.
KKM menyeru agar rakyat Malaysia turut serta dalam mempertingkatkan kesedaran untuk membendung penyakit talasemia dan menjalankan ujian saringan genetik bagi mengenal pasti pembawa gen talasemia melalui penganjuran kempen kesedaran tentang penyakit ini.
Pada masa yang sama, pencegahan penyakit talasemia adalah penting kerana penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi kematian disebabkan oleh kesan anemia yang serius, kegagalan organ seperti jantung dan jangkitan kuman.
Pihak KKM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak KPM dan Hibiscus Petroleum Berhad yang bersama-sama menjayakan kempen ini. Kerjasama padu seperti ini diharapkan dapat diteruskan dalam usaha menyampaikan maklumat dan meningkatkan literasi masyarakat, khususnya murid sekolah tentang penyakit talasemia dan kepentingan untuk mengetahui status talasemia masing-masing.