Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Program Miracle Baby yang diusahakan bagi mengatasi masalah kekurangan kepakaran dalam pembedahan jantung berlubang dan kongenital di Malaysia telah dilancarkan secara rasminya di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.
Program Miracle Baby merupakan hasil kerjasama strategik antara KKM, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) dengan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH), India bagi membolehkan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak kompleks dijalankan di HPP.
Idea pelaksanaan program ini diusulkan oleh Canselor UTAR, YBrs. Tun Dr. Ling Liong Sik setelah mengadakan lawatan ke SSSSH pada tahun 2016 dan disusuli dengan lawatan oleh pakar kardiologi pediatrik KKM ke SSSSH di Naya Raipur pada tahun 2017.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan medianya hari ini, kerjasama strategik antara KKM, UTAR dengan SSSSH India ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kompleks kanak-kanak yang berkualiti dan akan diteruskan sebagai satu daripada inisiatif bantuan kemanusiaan, keprihatinan dan kebajikan pesakit dan ibu bapa.
Melalui program Miracle Baby ini, pakar jantung di HPP akan bekerjasama dengan pasukan pembedahan dari SSSSH India untuk melakukan pembedahan jantung, manakala pihak UTAR pula akan menyelaraskan urusan logistik dengan bantuan sokongan daripada orang awam.
Tambah beliau, sebelum ini KKM juga telah menaja pesakit untuk menjalani rawatan pembedahan di luar negara dengan kerjasama badan bukan kerajaan dari dalam negara dan luar negara untuk menangani kekangan slot rawatan pembedahan di Malaysia.
Melalui usaha ini, para pakar dan pihak pengurusan KKM, SSSSH dan UTAR bersetuju untuk meneruskan misi kemanusiaan bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan memerlukan rawatan pembedahan jantung sekali gus memastikan kelestarian perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak di negara ini.
Program ini dijangkakan memberikan manfaat kepada kanak-kanak tempatan dan ibu bapa dengan kos minimum serta membolehkan pemindahan pengetahuan, kepakaran, kemahiran serta latihan kepada pakar dan paramedik di KKM. Aktiviti ini juga diharapkan dapat memangkin hasrat KKM untuk memulakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dalam skala yang lebih besar di Hospital Seberang Jaya yang dijangkakan siap pada tahun hadapan.
Mengulas lebih lanjut tentang perkara ini, beliau menyatakan bahawa program ini membuktikan komitmen dan visi KKM untuk memperkasakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dan memastikan aktiviti latihan kepakaran bedah tempatan, terutamanya melibatkan jantung kanak-kanak berjalan dengan lancar.
Oleh yang demikian, KKM mengundang para pakar dari SSSSH India ke Malaysia secara berkala dengan objektif berkongsikan kepakaran pembedahan jantung dengan menjalankan pembedahan untuk 15 orang hingga 20 orang kanak-kanak bagi setiap lawatan.
Pihak KKM, UTAR dan SSSSH yakin bahawa program ini akan berjaya membantu usaha berterusan KKM untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan, terutamanya dalam pembedahan jantung kanak-kanak demi kesejahteraan rakyat. KKM juga akan memberikan tumpuan terhadap kesihatan rakyat di negara ini dan sentiasa mengambil inisiatif untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan selaras dengan visi kementerian untuk menggembleng tenaga ke arah kesihatan negara yang lebih baik.
Program ini telah bermula sejak 28 November 2022 dan sedang berlangsung selama dua minggu. Hingga hari ini, sebanyak 12 orang pesakit termasuklah tiga orang pesakit dari Sabah telah dihantar ke HPP untuk menjalani rawatan yang selanjutnya.
Program ini dijayakan oleh pasukan Pakar Pembedahan Kardiotorasik HPP yang diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr. Basheer Ahamed Abdul Kareem dan dibantu oleh YBrs. Dr. Abu Yamin Kamis (Pakar Pembedahan Kardiotorasik), YBrs. Dr. Mohamad Hanafi Mohd (Pakar Anestesia Jantung) dan YBrs. Dr. Mohammad Tamim Jamil (Pakar Jantung Pediatrik).
Pasukan dari SSSSH pula diketuai oleh YBrs. Dr. Krishna Manohar (Pakar Bedah Jantung) dan YBrs. Dr. Subramanian Chellappan (Pakar Anestesia Kardiak Pediatrik).