Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Orkid Sarawak merupakan spesies yang unik dan menarik, namun habitatnya semakin terancam. Sebuah pertubuhan yang bergerak aktif di negeri Sarawak, iaitu Persatuan Orkid Sarawak (SARORSO) telah berusaha memulihara spesies tersebut dengan mengambil inisiatif untuk mendokumentasikan spesies orkid di negeri Sarawak.
SARORSO berserta rombongan yang diketuai oleh Presidennya, Puan Zurenawatte Zaidil telah mengadakan kunjungan hormat ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Dalam pertemuan tersebut, pihak SARORSO berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dalam penerbitan buku tentang orkid Sarawak yang dianggarkan berjumlah 2500 jenis.

Menurut pengasas SARORSO, Yang Mulia Tengku Hajah Auraroza Tengku Abraham, cabaran yang dihadapi dalam memastikan kelestarian orkid di negeri Sarawak antaranya adalah pendidikan tentang cara untuk pemuliharaan orkid, serangan parasit dan sebagainya.
Tambah beliau, orkid boleh dijadikan sebagai sumber industri sekiranya diuruskan dengan betul dan berupaya menjana pendapatan yang lumayan kepada pemiliknya.
Dalam membangunkan industri ini, SARORSO telah bekerjasama dengan pihak sekolah dan beberapa buah agensi kerajaan di sekitar Kuching dalam usaha meningkatkan pemuliharaan dan keusahawanan dengan menggunakan teknologi terkini sebagai asas yang kukuh untuk menjayakan industri florikultur orkid di Sarawak.
Mengulas lebih lanjut tentang hal ini, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak juga menyokong penuh pemuliharaan ini dengan menggerakkan projek komuniti melalui pihak berkuasa tempatan.
Sebagai langkah permulaan, gerak kerja menanam spesies orkid di taman perumahan dan kampung telah dilakukan dalam usaha memberikan kesedaran terhadap pemuliharaan orkid sekali gus mengindahkan kawasan tersebut.

Dalam merealisasikan hasil kunjungan tersebut, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai mengalu-alukan kerjasama antara DBP dengan SARORSO untuk mewujudkan sebuah taman orkid di persekitaran DBP serta mengadakan wacana berkaitan dengan orkid Sarawak dengan pelibatan beberapa buah agensi terpilih di negeri Sarawak.
DBP juga menyokong hasrat SARORSO untuk melakukan pendokumentasian spesies orkid Sarawak yang dirancang digerakkan pada tahun hadapan.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Ja’afar Haji Hamdan, Ketua Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak, Puan Hajijah Haji Mainol dan beberapa ahli persatuan SARORSO.