Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia telah menganjurkan Webinar NCTF 1.0 yang bertemakan “Konservasi Ekosistem Bukit Batu Kapur, Gua dan Kars yang berlangsung secara dalam talian hari ini.
Webinar yang diadakan ini adalah untuk memberikan pendedahan dan kesedaran mengenai ekosistem bukit batu kapur, gua dan kars yang unik serta mempunyai tinggi nilai biodiversiti kepada masyarakat umum, pihak berwajib dan pemegang taruh berkenaan. Selain itu, webinar ini juga berkongsikan aktiviti konservasi yang telah dijalankan dan cadangan pelaksanaan pemeliharaan bagi memastikan biodiversiti di kawasan ini terus dilindungi dan dipelihara.
Webinar ini dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kanan, Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Puan Norsham Abdul Latip.
Beliau menerangkan bahawa NCTF ditubuhkan bagi membiayai penyelidikan, pembangunan, pengurusan, perlindungan, adaptasi dan pengurangan kepada perubahan iklim, kesedaran serta usaha konservasi di dalam negara.
Satu daripada objektif penubuhan NCTF ialah menyediakan mekanisme untuk menerima dan menyalurkan dana bagi menyokong pengurusan sumber asli dan konservasi biodiversiti.
Webinar ini disampaikan oleh dua orang panel, iaitu Pegawai Penyelidik dari Program Biodiversiti Flora, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Puan Rafidah Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah dari Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaysia Sabah, Dr. Liew Thor Seng.

Puan Rafidah Abdul Rahman menyampaikan perkongsian bertajuk “Ke Arah Strategi dan Dasar Pemuliharaan Bukit Batu Kapur di Semenanjung Malaysia: Memahami dan Mendokumentasi Fokus Biodiversiti Tumbuhan di Bukit Batu Kapur, Kelantan (Fasa 1), manakala Dr. Liew Thor Seng menyampaikan perkongsian dengan tajuk “Pemuliharaan Ekosistem Batu Kapur di Malaysia”.
Menurut Puan Rafidah Abdul Rahman, terdapat 14 peratus spesies flora batu kapur di Semenanjung Malaysia dan sesetengah spesies daripadanya hanya terdapat di satu bukit batu kapur sahaja.
“Namun begitu, kesemua spesies ini terancam disebabkan oleh eksploitasi ke atas kawasan batu kapur seperti aktiviti kuari, pembinaan empangan hidroelektrik, penempatan rumah di kaki bukit batu kapur, tiada zon penampan dan ekopelancongan,” ujarnya lagi.

Oleh itu, beliau dan pasukan penyelidiknya berusaha dalam menentukan status flora batu kapur, mendokumentasikan secara terperinci akan spesies tumbuhan yang terancam dan kawasan panas biodiversiti serta menubuhkan data flora batu kapur yang dapat diakses dengan mudah.
Menurut Dr. Liew Thor Seng pula, oleh sebab ekosistem kars dan batu kapur yang semakin terancam, sebanyak 69 spesies haiwan berada dalam keadaan terancam secara kritikal dan 28 daripadanya adalah siput tanah mikro.
“Sebagai contohnya, keadaan di kawasan batu kapur di Bukit Sagu, Pahang semakin terancam akibat aktiviti kuari sehingga menyebabkan kemusnahan yang tidak dapat dipulihkan dan kehilangan habitat bagi spesies endemik,” katanya.
Oleh itu, beliau menjalankan projek dengan objektif untuk mewujudkan pangkalan data kars batu kapur pertama di Malaysia yang dipanggil MYKARST yang menyediakan maklumat batu kapur yang terancam dan memerlukan perlindungan segera.

Antara aktiviti yang dijalankan ialah mengemas kini data bukit batu kapur sedia ada dalam peta sistem maklumat geografi, mengukur parameter fizikal bukit batu kapur berdasarkan keluasan, darjah pengasingan dan corak taburan kawasan batu kapur serta mengukur parameter ancaman berdasarkan kehadiran atau ketiadaan kuari dan tahap gangguan kepada habitat dari segi degradasi hutan kawasan penampan.
Beliau berharap hasil projek ini dapat memudahkan rancangan negara dalam pemuliharaan bukit batu kapur demi kepelbagaian biologi yang tidak boleh ditukar ganti.