5 Disember 2022, 14:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah menganjurkan Malam Apresiasi Keluarga 3R bersempena dengan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2022 di Dewan Harum Manis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis, semalam.

Dalam majlis tersebut, turut diumumkan kadar Kitar Semula Kebangsaan 2022 yang meningkat kepada 33.17 peratus berbanding dengan sasaran 32.5 peratus yang jumlah barangan kitar semulanya mencecah 4.626 juta tan.

Majlis tersebut yang berlangsung dengan meriah telah dirasmikan oleh Pengerusi SWCorp, YBhg. Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar. Beliau menyatakan bahawa sambutan HKSK ini disambut sebagai sambutan tahunan dalam usaha pihaknya untuk terus memberikan komitmen bersama-sama masyarakat dalam usaha memelihara bumi.

Tambah beliau, HKSK mula disambut pada 11 November 2015 yang dianjurkan bagi menghargai dan mengiktiraf semua pihak yang terlibat dalam kelestarian dan pemeliharaan bumi.

Pada tahun ini, sambutan HKSK bertemakan Keluarga 3R. Pemilihan tema ini adalah kerana pembudayaan amalan 3R dalam institusi kekeluargaan perlu diperkukuh agar segala yang dirancang dan diusahakan oleh kerajaan dapat dilaksanakan pada peringkat mikro dan seterusnya mampu menyumbang ke peringkat global.

Katanya lagi, pembudayaan 3R yang dijalankan di setiap rumah akan mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab dan kebersamaan dalam memelihara alam sekitar daripada terus tercemar. Pendidikan kesedaran awam yang bermula daripada keluarga juga sangat diperlukan dalam cabaran negara menangani masalah pengurusan sisa pepejal yang semakin membimbangkan.

Pemeliharaan alam sekitar dan amalan kitar semula adalah perkara yang amat penting dalam usaha negara mencapai pembangunan mampan dan seimbang.

Menurut beliau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang merangka dasar pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan mampan (sustainable), penggunaan (consumption) dan pengeluaran (production).

Turut berlangsung dalam majlis ini ialah Pelancaran Pertandingan Reka Bentuk from Waste to Wealth Innovation (WAWI) Tahun 2023. Pertandingan yang akan bermula pada 2 Januari 2023 hingga 6 Mac 2023 yang bertemakan “Aliran Fesyen Lestari” ini diadakan bagi mencungkil idea kreatif dan inovatif bakat baharu para pereka dan pencipta dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Pada masa yang sama, turut diadakan penyampaian hadiah kepada penerima Anugerah Kutipan Tertinggi Program Amal Jariah Masjid Negeri Perlis, Anugerah Kutipan Barangan Kitar Semula Tertinggi DTRC Negeri Perlis, Anugerah Penarafan Bintang Pengurusan Sisa Pepejal Sektor Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian, Anugerah Penarafan Bintang Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal, Anugerah Agensi Terbaik World Cleanup Day 2022, Anugerah Inisiatif Pensijilan Sekolah Bersih dan Anugerah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) Peringkat Kebangsaan.

Majlis Malam Apresiasi Keluarga 3R ini boleh ditonton secara dalam talian melalui Facebook rasmi SWCorp.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.