2 Disember 2022, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam dunia serba canggih kini, penggunaan tenaga atom telah digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Sewajarnya, penggunaan tenaga atom perlu dikawal selia agar tidak berlakunya penyalahgunaan yang berpotensi mengancam kehidupan masyarakat di negara ini.

Untuk membincangkan hal tersebut dan kepentingannya dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam, pihak BERNAMA Radio telah mengundang Pengarah Bahagian Kawal Selia Sinaran, Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia), Encik Nik Mohd Faiz Khairuddin dalam slot Jendela Fikir.

Menurutnya, aktiviti kawal selia penggunaan tenaga atom atau nuklear adalah untuk memastikan keselamatan dan sekuriti kepada bahan radioaktif tersebut, yakni menjamin kedua-dua tenaga tersebut adalah selamat untuk digunakan dan tidak memberikan kesan yang tidak baik kepada masyarakat.

Senjata nuklear sebenarnya banyak digunakan bagi tujuan yang tidak aman. Jadi, Malaysia mengawal penggunaannya di negara ini bagi tujuan keamanan semata-mata, termasuklah dalam penggunaan sinaran X-ray dalam bidang perubatan dan pengimbas keselamatan di lapangan terbang.

Kongsinya lagi, pengawalseliaan tenaga atom di Malaysia telah bermula sejak lima dekad lalu pada tahun 1968 dengan rekod penggunaan tenaga sinaran pertama di Hospital Taiping, Perak pada tahun 1897.

“Pada awalnya, kawal selia tenaga atom ini adalah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Benda-Benda Radioakatif 1968 dan Kementerian Kesihatan Malaysia merupakan agensi yang bertanggungjawab terhadap aktiviti kawal selia tenaga atom tersebut,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, memandangkan perkembangan aktiviti tenaga atom di Malaysia yang semakin pesat, pada April 1984, Parlimen telah meluluskan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) yang diguna pakai sehingga hari ini dalam usaha untuk mengawalnya dengan lebih berkesan.

Pengarah Bahagian Kawal Selia Sinaran, Atom Malaysia, Encik Nik Mohd Faiz Khairuddin ketika bersiaran dalam slot Jendela Fikir yang ke udara di BERNAMA Radio.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa setiap aktiviti kawal selia yang dilakukan oleh Atom Malaysia perlu berpaksikan peruntukan perundangan. Kandungan dalam perundangan tersebut hendaklah memastikan keselamatan dan keadilan kepada tiga pihak utama yang terlibat, iaitu masyarakat, pemain industri dan kerajaan.

“Pihak yang hendak terlibat dalam penggunaan tenaga atom di negara ini perlulah mempunyai lesen bagi memastikan keselamatan bukan sahaja kepada masyarakat, malah kepada individu tersebut sebenarnya,” ujarnya.

Atom Malaysia yang mempunyai sejumlah 180 orang pekerja dengan 13 orang daripadanya bertanggungjawab dalam melakukan penyeliaan pemeriksaan secara berkala, mengejut dan berasaskan aduan yang diterima dalam usaha mengawal selia penggunaan tenaga atom di negara ini.

Pada tahun lepas, sebanyak lima kes berkaitan pelbagai kesalahan penggunaan tenaga ini telah direkodkan. Berdasarkan peruntukan, pihak dan individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM100 000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Jika orang awam yang menemukan atau terjumpa bahan yang mempunyai simbol radioaktif ini, mereka perlu bertenang dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa . Atom Malaysia akan mengambil tindakan sepantas mungkin kerana pengurusan bahan ini perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam,” katanya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.