Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBahu jalan ditakrifkan sebagai jalur sempit di sebelah kiri di sepanjang atau berhampiran jalan raya yang dibina dengan permukaan yang sesuai untuk menyediakan kawasan kenderaan berhenti pada waktu kecemasan. Bahu jalan boleh dibezakan dengan jalan raya dengan jalur marginal putih yang berterusan.
Dalam amalan pembinaan jalan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia, bahu jalan sepatutnya dibina dengan kelebaran antara 1.5 meter hingga tiga meter. Kelebaran bahu jalan ini pula bergantung pada jenis, lokasi (sama ada di bandar atau di luar bandar) dan kapasiti (atau jumlah trafik) yang perlu ditampung oleh jalan tersebut.
Bahu jalan biasanya lebih sempit daripada lorong lalu lintas biasa. Bagi sesetengah kes, terutamanya di luar bandar, bahu jalan tidak diturap dengan asfalt atau konkrit. Bahu jalan bukanlah untuk kegunaan lalu lintas walaupun terdapat beberapa pengecualian. Bahu jalan di lebuh raya di Malaysia dibina untuk tujuan kecemasan, sama seperti negara lain.
Bahu jalan mempunyai pelbagai kegunaan, antaranya termasuklah sebagai laluan untuk ambulans, trak bomba dan kereta polis memintas kesesakan lalu lintas sekiranya berlaku kecemasan. Di sesetengah jalan raya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai laluan pejalan kaki, pejalan kaki dan penunggang basikal dibenarkan untuk menggunakan bahu jalan.
Bahu jalan berturap pula menyediakan ruang tambahan sekiranya pemandu perlu mengambil tindakan mengelak (seperti mengelak pemandu yang salah jalan) atau memulihkan kawalan kenderaan sekiranya terbabas dari laluan. Sekiranya berlaku kecemasan atau kerosakan, pemandu boleh memasuki bahu jalan sebagai langkah keselamatan.
Kadangkala, pemandu akan melencong ke bahu jalan apabila dipintas oleh kenderaan yang lalu-lalang, terutamanya di jalan yang mempunyai dua lorong. Jika berlaku kecemasan, sekiranya kenderaan yang berhenti di bahu jalan memasuki semula lorong lalu lintas dengan selamat, risiko pelanggaran dapat dikurangkan.
Perlu diingatkan bahawa menyalahgunakan bahu jalan adalah tidak selamat dan menyalahi undang-undang. Pada kebiasaannya, apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, pemandu berkeinginan untuk memintas semua kenderaan, bahu jalan ialah pilihan yang ada untu hal tersebut. Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut adalah berbahaya. Antara bahaya akibat memandu di bahu jalan termasuklah:
Bahu jalan lebuh raya direka untuk membolehkan kenderaan kecemasan melalui jalan itu apabila berlaku kesesakan. Jika terdapat kenderaan yang menghalang laluan di bahu jalan, bantuan mungkin terlewat sampai kepada mangsa yang memerlukan.
Memandu di bahu jalan, lebih-lebih lagi dalam keadaan tergesa-gesa akan mengurangkan fokus pemandu. Perlanggaran mungkin berlaku apabila kenderaan di bahu jalan melanggar kenderaan lain yang tiba-tiba memasuki bahu jalan tanpa amaran akibat kecemasan atau hilang kawalan.
Pemandu yang mematuhi undang-undang mungkin akan marah apabila melihat kenderaan lain tidak mematuhi undang-undang dan menggunakan bahu jalan semasa kesesakan lalu lintas. Pemandu tersebut mungkin cenderung untuk tidak membenarkan pemandu yang menggunakan bahu jalan untuk memasuki lalu lintas semula dan mungkin bertindak balas dengan bergerak ke hadapan agar tidak dipintas atau menghalang sepenuhnya kenderaan tersebut daripada kembali ke laluan yang ditetapkan.
Bahu lebuh raya adalah tempat yang sangat berbahaya untuk pejalan kaki. Walaupun bahu lebuh raya direka khusus untuk situasi dan kenderaan kecemasan, masih banyak berlakunya kemalangan dan kematian di laluan yang sepatutnya melindungi orang ramai daripada bahaya.
Menurut data daripada AAA Foundation for Traffic Safety, kira-kira 12 peratus daripada jumlah kematian lebuh raya antara negeri di Amerika Syarikat berpunca daripada kemalangan di bahu jalan. Hal ini bermakna dianggarkan sebanyak 600 orang setahun telah maut dan ribuan lagi mengalami kecederaan semasa menggunakan laluan tersebut.
Antara risiko yang dihadapi oleh orang ramai atau kenderaan yang berhenti di bahu jalan termasuklah:
Kelajuan boleh menyebabkan pemandu sukar melihat sekiranya pemandu yang berhenti itu membongkok atau berjalan mengelilingi kereta apabila keretanya rosak. Apabila perkara ini berlaku, pemandu dalam kenderaan yang laju tidak dapat melihat dengan baik dan tidak dapat mengelak perlanggaran.
Walaupun bahu jalan dibina untuk tujuan kecemasan, pemandu jarang-jarang menjangkakan adanya kereta di tepi jalan, apatah lagi pejalan kaki yang berkeliaran begitu dekat dengan lebuh raya. Kekeliruan ini boleh menyebabkan sesetengah pemandu cenderung untuk terlencong atau mengabaikan kehadiran pejalan kaki dan menyebabkan perlanggaran tragis.
Berdiri berhampiran kenderaan di bahu jalan meningkatkan potensi dilanggar oleh kenderaan yang laju.
Apabila kenderaan diperlahankan untuk bergerak ke bahu jalan, kenderaan di belakang mungkin akan merempuh, meleret ke sisi atau perlanggaran secara langsung akan berlaku.
Kenderaan yang dipandu pada kelajuan 100 kilometer sejam mampu menghasilkan banyak ricih angin dan menyebabkan serpihan zarah kecil menghentam pada kelajuan letupan.
Setelah kerosakan dibaiki atau masalah kecemasan lain telah diselesaikan, kenderaan perlu memasuki aliran lalu lintas semula. Tindakan ini perlu dilakukan dengan pantas dan berpuluh-puluh kereta berlumba untuk melepasi kenderaan anda.
Oleh itu, sekiranya keadaan tidak benar-benar memaksa, pemandu disarankan agar tidak berhenti di bahu jalan, terutamanya pada waktu malam. Hal ini dikatakan demikian kerana pada waktu tersebut pemandu sering keletihan dan jarak penglihatan adalah terhad .
Acapkali kemalangan berlaku apabila pemandu yang keletihan melihat lampu di hadapan dan menyangka bahawa lampu tersebut ialah milik kenderaan yang bergerak di lorong kiri. Sedangkan lampu tersebut ialah lampu kenderaan yang berhenti di bahu jalan. Bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, beberapa saranan seperti berikut boleh dipertimbangkan.
Sekiranya tayar pancit, pemandu mungkin bimbang akan kenderaan mengalami kerosakan yang lebih besar sekiranya terus dipandu. Pemandu mungkin akan menghentikan kenderaan secepat mungkin, walaupun kadang-kadang sedang berada di bahagian tengah jalan. Secara amnya, perkara paling teruk yang boleh berlaku ialah kerosakan pada tayar atau rim dan mungkin menelan sedikit kos pembaikan bergantung pada jenis kenderaan. Namun begitu, risiko kerugian akibat kerosakan tayar adalah sangat kecil berbanding dengan risiko mempertaruhkan nyawa apabila menghentikan kenderaan di bahu jalan.
Pastikan semua penumpang keluar daripada kenderaan dan jauhkan mereka dari kenderaan secepat mungkin. Jangan berdiri di sekeliling kenderaan. Sekiranya terdapat penyangga jalan, panjat dan tunggu di belakang penghadang jalan. Jika anda terlibat dalam kemalangan, berhenti sejauh mungkin ke sebelah kiri dan elakkan berdiri di bahu jalan yang hampir dengan laluan lalu lintas.
Nyalakan lampu bahaya. Jika mempunyai kain atau baju berwarna putih, atau kertas putih, kibarkan pada tingkap kenderaan supaya pemandu lain tahu anda perlukan bantuan. Sekiranya kecemasan berlaku pada waktu malam, letakkan lampu amaran atau penanda pemantul kira-kira dua meter di belakang kenderaan untuk memberikan amaran kepada lalu lintas. Jika anda tidak mempunyai lampu atau penanda pemantul, hidupkan lampu dalaman supaya lebih kelihatan.
Elakkan memandu rapat ke bahu jalan jika terdapat kenderaan berhenti di situ. Pindah ke lorong seterusnya apabila keadaan mengizinkan dan selamat. Beri ruang kepada pemandu yang dalam kecemasan untuk bertindak, lebih-lebih lagi jika ada kenderaan kecemasan dan bantuan sedang diberikan.
Keselamatan menjadi perkara yang paling penting untuk anda dan keluarga anda. Bahu jalan dan lebuh raya boleh menjadi tempat yang berbahaya. Memandulah dengan bertanggungjawab dan berhati-hati supaya sampai ke tempat yang dituju dengan selamat.
Dr. Suzielah Rahmad ialah mantan pelajar Doktor Falsafah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff ialah pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM.