25 November 2022, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Iskandar Puteri – Iskandar Investment Berhad (IIB) bekerjasama dengan syarikat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Avitex Solution (M) Sdn. Bhd. dalam penganjuran kohort ketiga dan keempat Program Juruterbang Dron Muda Iskandar Puteri (IPJDP) di Iskandar Puteri.

Program yang bermula pada Disember 2021 ini melibatkan masyarakat setempat dan pihak lain yang berminat mencari peluang di samping mendedahkan anak-anak mereka kepada sains dan teknologi yang sedang berkembang.

Iskandar Puteri menempatkan Zon Dron dan Robotik yang diterajui oleh IIB dan diiktiraf oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai National Technology and Innovation Sandbox. Inisiatif akar umbi ini adalah sejajar dengan visi IIB untuk membangunkan Iskandar Puteri sebagai metropolis masa hadapan yang inklusif dan mampan melalui penyemaian bakat dan minat tempatan dalam komuniti.

Program Juruterbang Dron Muda ini memfokuskan pada pendidikan sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi STEM yang merangkumi pengetahuan teknikal asas, kemahiran penerbangan dan pengaturcaraan serta keselamatan berkaitan dengan operasi dron. Program ini terbuka kepada pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak mempunyai pendedahan awal kepada dron serta disasarkan untuk mendedahkan generasi muda kepada teknologi baharu dan pelbagai aplikasi melalui program pembelajaran berdasarkan pengalaman.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim,

Kami berbangga dapat bekerjasama dengan UTHM dalam membangunkan bakat muda tempatan sambil mengukuhkan kedudukan Iskandar Puteri sebagai pusat ekonomi digital dan pembangunan bakat di Johor.

Presiden Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim menyokong pemupukan bakat muda dalam teknologi baru ke arah metropolis yang mampan di Iskandar Puteri.

Tambahnya lagi, dengan pertambahan syarikat dron dan penyedia perkhidmatan yang beroperasi di Iskandar Puteri melalui inisiatif Zon Dron dan Robotik Iskandar oleh IIB, Program Juruterbang Dron Muda ini bukan sahaja dapat meningkatkan penglibatan komuniti berkaitan dron dan robotik tetapi mendedahkan, menggalakkan dan memperkasakan generasi muda untuk mengejar kerjaya dalam teknologi dan inovasi.

Program Juruterbang Dron Muda Iskandar Puteri menggalakkan aktiviti pendekatan praktikal yang memfokuskan pendidikan STEM.

“Program ini akan memupuk ekosistem berteraskan inovasi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan pembangunan bakat baharu dalam Iskandar Malaysia. Kami berharap program ini akan menjadi pemangkin pembangunan bakat tempatan ke arah meletakkan Iskandar Puteri sebagai hab teknologi dan bakat yang sedang berkembang pesat untuk Malaysia dan rantau Asia Pasifik,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Avitex Solution (M) Sdn. Bhd., Profesor Madya Dr Mohammad Zulafif Rahim menyatakan bahawa pembelajaran STEM yang diajar sejak usia muda adalah penting untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan kemahiran untuk menghadapi dunia yang bergantung pada teknologi.

Kami kini mempunyai alat untuk memastikan pelajar terlibat dan bersemangat tentang mata pelajaran ini. Menggabungkan dron dalam pendidikan adalah cara baharu untuk menjadikan pembelajaran STEM lebih menyeronokkan, inovatif dan interaktif untuk generasi muda.

Program Juruterbang Dron Muda ini telah menghimpunkan hampir 80 peminat dron muda yang menikmati pengalaman pendidikan yang mengasyikkan dan peluang praktikal. Program ini dijadualkan diadakan pada setiap suku tahun dan boleh menerima 20 peserta pada setiap sesi.

Wakil IIB dan UTHM bersama-sama peserta Program Juruterbang Dron Muda Iskandar Puteri.

Peserta program akan menerima dron yang berfungsi sepenuhnya, sayap juruterbang dron, sijil Juruterbang Dron Muda yang diperakui. Selain itu, peserta juga memperoleh pengetahuan tentang komponen dron, elektronik, keselamatan, pengaturcaraan dan penerbangan.

Untuk maklumat lanjut mengenai Program Juruterbang Dron Muda yang akan datang, ikuti Instagram di @iskandarinvestment

 

 

 

Iskandar Investment Berhad (IIB) ialah pemain utama dalam transformasi di Iskandar Malaysia dalam menjadikan wilayah itu sebuah metropolis yang dikenali pada peringkat antarabangsa.

IIB ditubuhkan pada November 2006 yang berperanan memastikan wilayah ekonomi itu meneruskan pencapaian cemerlang, terutamanya menjadi sebuah destinasi pelaburan yang menarik dan wilayah yang mempunyai kualiti hidup yang baik menerusi projek pemangkin dan berimpak tinggi.

Fokus IIB meliputi pembangunan Iskandar Puteri dalam sektor pendidikan, kreatif, pelancongan, riadah serta kesihatan dan kesejahteraan. Antara pencapaian utama IIB termasuklah kejayaan dalam usaha sama dan pelaburan di samping menjadi rakan kongsi pelaburan dalam EduCity, LEGOLAND Malaysia Resort, Iskandar Puteri dan Medini serta projek infrastruktur di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 di Iskandar Malaysia.

IIB komited untuk memacu ekonomi dan pertumbuhan mapan alam sekitar di Iskandar Malaysia dan memastikan pertumbuhan inklusif untuk warga Iskandar menerusi peluang pekerjaan dan pendapatan. Untuk keterangan lanjut mengenai IIB, sila lawati halaman ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.