24 November 2022, 10:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Bertempat di Raia Hotel and Convention Centre Alor Setar telah berlangsungnya Persidangan Padi Kebangsaan 2022 yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid.

Dalam usaha untuk memastikan subsektor padi dan beras kekal signifikan dan relevan dalam pembangunan sosioekonomi negara, Persidangan Padi Kebangsaan 2022 dianjurkan sebagai medium untuk berkongsikan pengetahuan dan idea yang melibatkan penggubal dasar, ahli akademik, penyelidik, pegawai pengembangan, petani, usahawan serta pemain industri dalam industri padi dan beras.

Beras ialah makanan ruji di negara ini. Oleh itu, industri padi dan beras  adalah antara empat subsektor terpenting yang diberikan penekanan oleh pihak MAFI. Antaranya adalah dengan memastikan pengurusan sumber benih yang berkualiti secara sistematik dalam usaha negara menghadapi situasi luar jangkaan seperti pandemik, bencana alam, perubahan iklim dan situasi geopolitik, sama ada di dalam negara ataupun di luar negara.

Menurut beliau, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 yang merangkumi lima teras strategi, 15 strategi dan 96 inisiatif telah dibangunkan oleh MAFI. Pelan ini bagi memperkukuh sekuriti makanan dengan mengambil kira isu dan cabaran sepanjang rantaian makanan.

Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 telah digubal sebagai usaha kerajaan bagi menjamin sekuriti makanan dengan mendukung aspirasi dan hala tuju sektor agromakanan negara supaya lebih mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.

Tambah beliau, pelaksanaan strategi dan pelan tindakan DAN 2.0 membolehkan subsektor padi dan beras terus kompetitif serta mampu menambah baik tahap sara hidup petani selain memastikan kelestarian pengeluaran padi dan beras serta keselamatan alam sekitar terjamin. Matlamat ini juga adalah bertepatan dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan prinsip Agenda Pembangunan Mampan 2030 (SDG 2030).

Bagi menyemarakkan lagi persidangan ini, sebanyak 16 reruai pameran daripada syarikat berkaitan dengan industri dan perkhidmatan padi turut dipamerkan sepanjang persidangan berlangsung dan dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Persidangan pada kali ini yang disertai oleh lebih daripada 400 orang peserta dibahagikan kepada empat sidang, iaitu tiga sesi pembentangan dan satu sesi forum yang memfokuskan pemerkasaan teknologi dan inovasi padi dan beras ke arah kelestarian pengeluaran, strategi pengurusan dan teknologi pengeluaran padi dan beras, peranan agensi kerajaan dan swasta dalam memakmurkan industri padi negara dan forum yang bertajuk “Kelestarian Padi dan Beras untuk Kemakmuran Bersama”.

Dalam majlis tersebut juga diadakan pelancaran pakej teknologi sistem amaran awal risiko serangan bena perang. Majlis ini turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.