Oleh Juhari Jusoh
22 November 2022, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Majlis Hari Inovasi DBP 2022 sebagai inisiatif bagi menghargai keterlibatan karyawan DBP yang melahirkan idea kreatif, inovatif dan malar segar serta pengiktirafan kepada rakan sinergi DBP yang telah berganding bahu bersama-sama DBP bagi menyebarluaskan dan memartabatkan bahasa Melayu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi ini.

Sambutan majlis yang turut melibatkan kehadiran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah ini mendukung tema atau slogan “Hendak Seribu Daya” yang diinspirasikan daripada peribahasa Melayu, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih” sebagai iltizam DBP untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dengan memperkasakan budaya inovasi dan kreativiti.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Dalam ucapan alu-aluan majlis, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa DBP selaku badan pembinaan bahasa, sastera dan penerbitan telah melalui beberapa fasa penting dalam konteks pembinaan negara bangsa. Kegiatan DBP dalam bidang perancangan bahasa, sastera dan penerbitan ilmu dalam bahasa kebangsaan telah membuahkan hasil negara dalam membentuk masyarakat yang berilmu, berjati diri serta menghayati seni dan budaya melalui gaya sastera.

Perkembangan tersebut perlu disejajarkan dengan keperluan zaman dan keadaan yang dapat menarik perhatian masyarakat, khususnya golongan muda. Oleh itu, DBP telah mengambil langkah dengan menyesuaikan pelaksanaan fungsi utama DBP melalui pembangunan aplikasi teknologi maklumat bahasa dan persuratan Melayu seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Sistem Khidmat Nasihat DBP, Khidmat Pengesahan Bahasa dalam Talian, Pengesahan Iklan dalam Talian dan E-Niaga.

Tambah beliau lagi, antara perkara yang memberikan kesan yang cukup baik dalam konteks mengangkat bahasa, sastera dan ilmu melalui teknologi adalah dengan kewujudan JendelaDBP sebagai gerbang yang menyediakan maklumat dan ilmu bahasa, sastera serta pelbagai cabang ilmu lain.

“JendelaDBP yang dibangunkan pada tahun 2021 yang turut berperanan sebagai pelantar penerbitan edisi majalah elektronik yang menyiarkan makalah yang terkini dan tersohor telah mencapai jumlah pengikut mencecah dua juta orang. Hal ini membuktikan bahawa melalui inovasi dan penggunaan teknologi, kita dapat menyampaikan produk bahasa dan sastera DBP dengan lebih meluas”, ulasnya lagi.

Mengakhiri ucapan, beliau mengingatkan semua warga DBP agar terus menjadikan slogan “Hendak Seribu Daya” sebagai pegangan dalam diri dan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk menghasilkan kerja yang terbaik dan berkualiti.

Saya menyeru warga DBP agar terus memperkuat azam dan memperkukuh tekad serta menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai asas dalam gerakan pembangunan dan penambahbaikan kualiti kerja dan kecemerlangan organisasi melalui teknologi digital dan elektronik.

Dalam majlis ini juga, YBhg. Dato’ Sri Mohd Syafiq Abdullah turut menyampaikan Anugerah Inovasi dan Citra DBP yang melibatkan Anugerah Karyawan Inovatif, Anugerah Inovasi Ketua Pengarah, Anugerah Citra Program, Anugerah Citra Karya dan Anugerah Citra Sahabat DBP.

Penerima Anugerah Karyawan Inovatif, Anugerah Inovasi Ketua Pengarah, Anugerah Citra Program, Anugerah Citra Karya bergambar bersama-sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah.

 

Rakan sinergi DBP yang menerima Anugerah Citra Sahabat DBP dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2022 pada tahun ini .

Dalam majlis tersebut juga, beberapa produk terbitan DBP, iaitu Panduan Umum Pemilihan dan Pemasukan Kata Entri Kamus Ekabahasa Bahasa Melayu, Panduan Pembinaan Ensiklopedia, Manual Pengurusan Buku Teks Skim Pinjaman (BTSP), buku Dasar Pengurusan Konflik Kepentingan, dan Kad Nama Digital turut dilancarkan oleh YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq Abdullah.

Tetamu yang hadir dalam Majlis Hari Inovasi DBP 2022  di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pagi ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran; Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, YBhg. Dato’ Hajah Norison Ramli; Ketua Pengarah Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri, YBhg. Dato’ Dr. Shazelina Zainul Abidin; pengarah jabatan; ketua bahagian; dan staf DBP.

 

SENARAI PEMENANG ANUGERAH INOVASI DAN CITRA DBP

Kategori: Anugerah Karyawan Inovatif DBP

Penerima: Encik Muhammad Fadhil Abdullah (Bahagian Sistem Maklumat, DBP)

 

Kategori: Anugerah Citra Karya DBP (Karya Kreatif)

Penerima: Puan Azura Mohd Halid (DBP Wilayah Selatan) melalui skrip drama televisyen/telefilem bertajuk Bangkit.

 

Kategori: Anugerah Citra Karya DBP (Karya Bukan Kreatif)

Penerima: Encik Shahrun Nizal Mohd Nor (Bahagian Penyelidikan Sastera) melalui karya Fikrah Sastera

 

Kategori: Anugerah Citra Program DBP

Penerima: DBP Wilayah Selatan melalui Anugerah Citra Mural dan Arca Gemilang Bahasa

 

Kategori: Anugerah Inovasi Ketua Pengarah

Penerima: Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Unit Integriti melalui pelaksanaan e-Pengambilan dan e-Peperiksaan

 

Kategori: Anugerah Citra Sahabat DBP (Individu)

Penerima:

(i) Puan Nor Shahida Mohd Salleh

(ii) Puan Syahidatul Munirah Badrul Munir

(iii) Puan Chin Fong Phin

(iv) Encik Yeo Kok Keong

 

Kategori: Anugerah Citra Sahabat DBP (Sektor Awam)

Penerima:

(i) Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai, Nibong Tebal

(ii) Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Kelantan dan Terengganu

(iii) Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri

(iv) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

 

Kategori: Anugerah Citra Sahabat DBP (Sektor Swasta/GLC)

Penerima:

(i) Kumpulan SME Bank

(ii) Kumpulan UMW

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.