18 November 2022, 22:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar semua rakyat Perlis mengambil langkah mencegah dan mengawal penyakit diabetes melalui amalan gaya hidup sihat.

Amalkan pemakanan yang seimbang dan sihat, lakukan senaman, sentiasa hidup aktif, tidak merokok dan hindari pengambilan alkohol yang berlebihan.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM16 400 kepada 29 orang asnaf terpilih. Melalui sumbangan tersebut, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM400 setiap seorang dalam kalangan anak kariah Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar yang akan diagihkan oleh amilnya, Zulkifly Othman.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menghadiri program Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke- 23 bagi tahun 2022.

Baginda turut mengingatkan agar rakyat Perlis melakukan saringan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya sekali setahun di mana-mana klinik kesihatan kerajaan atau swasta dengan memeriksa status indeks jisim tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan kolesterol dalam darah.

“Bagi mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai gejala diabetes seperti dahaga, kerap buang air kecil dalam kuantiti yang banyak, letih, lesu, susut berat badan walaupun mempunyai selera yang baik, kabur penglihatan, luka lambat sembuh atau kebas kaki, jalanilah pemeriksaan dan dapatkan rawatan awal,” tambah baginda lagi.

DYTM Raja Muda Perlis bersama-sama kariah Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

Sebanyak 52 184 atau satu daripada tiga penduduk dewasa yang berusia 18 tahun dan ke atas di negeri Perlis menghidap penyakit diabetes. Bagi pesakit diabetes, anda digalakkan untuk memantau sendiri paras gula dalam darah menggunakan glukometer di samping tidak meninggalkan ubat-ubatan atau rawatan yang diberikan oleh pegawai perubatan.

Dalam majlis yang sama, ialah taklimat khas mengenai diabetes turut dikongsikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari dan Megat Ridhwan Megat Husain.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menganggarkan negeri Perlis mencatatkan peningkatan prevalens diabetes yang ketara daripada 16.9 peratus pada tahun 2015 kepada 32.6 peratus pada tahun 2019.

Mengiringi ke program yang diadakan bersempena dengan Hijrah Minda MAIPs Bilangan Ke- 23 bagi tahun 2022 itu ialah anakanda baginda, Yang Amat Mulia Syed Sirajuddin Areeb Putra Ibni Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.