16 November 2022, 22:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Kawasan Gombak-Hulu Langat Geopark dan Stong Geopark telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh dan kelapan di bawah Program Pembangunan Geopark oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA). Pengiktirafan ini telah dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan Dua Tahun 2022.

Menurut KeTSA, pengiktirafan ini antara pencapaian yang penting, khususnya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memelihara kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan Geopark Kebangsaan yang memiliki nilai kepentingan luar biasa seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kementerian yakin kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dapat memastikan Geopark diuruskan dengan baik dan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama di kawasan yang mempunyai kepentingan geologi bagi tujuan penyelidikan saintifik, pendidikan, penjanaan ekonomi penduduk setempat dan pembangunan mampan.

Gombak-Hulu Langat Geopark yang berkeluasan 1129.55 kilometer persegi ini meliputi seluruh daerah Gombak (empat mukim) dan daerah Hulu Langat (dua mukim) dengan bilangan penduduk melebihi 1.5 juta orang. Geopark ini juga kaya dengan kepelbagaian geologi (31 geotapak), kepelbagaian biologi (enam biotapak) dan keunikan budaya tempatan (11 tapak budaya). Daripada 31 geotapak ini, terdapat lima geotapak yang mempunyai nilai kepentingan bertaraf antarabangsa, 20 geotapak mempunyai nilai kepentingan bertaraf kebangsaan dan enam geotapak mempunyai nilai kepentingan bertaraf tempatan.

Keistimewaan kawasan ini adalah disebabkan oleh kewujudan permatang kuarza terpanjang di Asia Tenggara yang dikenali sebagai Permatang Kuarza Gombak. Landskap pergunungan yang dihiasi dengan air terjun dan jeram turut menjadi satu daripada keistimewaan kawasan ini. Di sini juga terdapat Sesar Kuala Lumpur dan pembentukan beberapa lembangan daratan termasuklah lembangan di Batu Arang.

Selain itu, pengunjung berpeluang untuk melihat kepelbagaian batuan dan fosil seperti formasi Batu Kapur Kuala Lumpur Bukit Taikun, kepelbagaian rupa bumi tabii seperti Air Terjun Templer, kepelbagaian proses geologi seperti Kompleks Air Panas Dusun Tua serta kepelbagaian rupa bumi antropogenik seperti bekas lombong arang batu.

Stong Geopark pula berkeluasan 2131.99 kilometer persegi meliputi daerah Kuala Balah, daerah Batu Melintang dan daerah Jeli dalam jajahan Jeli serta daerah Dabong dalam jajahan Kuala Krai dengan bilangan penduduk lebih kurang 110 000 orang. Geopark ini kaya dengan kepelbagaian geologi (25 geotapak), kepelbagaian biologi (tujuh biotapak) dan budaya tempatan (16 tapak budaya), Daripada 25 geotapak, empat daripadanya mempunyai nilai kepentingan bertaraf antarabangsa, 11 geotapak mempunyai nilai kepentingan bertaraf kebangsaan dan 10 geotapak mempunyai nilai kepentingan bertaraf tempatan.

Kawasan Stong Geopark merangkumi 58 peratus kawasan hutan, 37 peratus kawasan pertanian dan selebihnya ialah kawasan penempatan, industri dan kemudahan infrastruktur masyarakat. Pengunjung boleh melihat pelbagai bentuk muka bumi, misalnya batuan igneus Kompleks Migmatit Stong, landskap kars serta air terjun termasuklah Air Terjun Jelawang yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

Kepelbagaian biologi dengan spesies endemik seperti buluh (Holttumochloa pubescens) dan palma kipas (Licuala stongensis), warisan budaya masyarakat orang asli dan kampung lama, kesan sejarah tinggalan penjajah serta fenomena “Train to Dabong” menjadi daya tarikan Stong Geopark kepada pelancong untuk mengunjungi kawasan tersebut.

Semasa penilaian Stong Geopark dijalankan oleh pasukan daripada Jawatankuasa Pelaksana Geopark, beberapa artifak seperti cangkerang dan serpihan tembikar yang dipercayai berusia antara 1000 tahun hingga 5000 tahun telah ditemukan di Gua Keris, Geotapak Kompleks Gua Ikan, Dabong. Oleh itu, kajian arkeologi secara terperinci perlu dijalankan untuk menentukan nilai warisan arkeologi yang terdapat di tapak tersebut.

Pengiktirafan ini ialah pengiktirafan Geopark Kebangsaan yang ketujuh dan kelapan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak; Jerai Geopark di Kedah; Kinabalu Geopark di Sabah; Labuan Geopark di Wilayah Persekutuan Labuan; dan Sarawak Delta Geopark di Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.