16 November 2022, 19:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Padang Besar – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau status terkini pembangunan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters 2F/2G Padang Besar petang semalam. 

DYTM Raja Muda Perlis di lokasi Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters 2F/2G Padang Besar.

Keberangkatan baginda adalah bersempena dengan program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-77 bagi Tahun 2022. DYTM Raja Muda Perlis turut berkenan menyantuni dan menyerahkan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga buah rumah milik keluarga asnaf terpilih, iaitu Encik Baharom Hamdan (70 tahun), Encik Salleh Che Fa (73 tahun) dan Encik Osman Daud (75 tahun) yang kesemuanya tinggal di Felda Mata Air, Padang Besar (Utara).

DYTM Raja Muda Perlis berkenan meninjau status terkini pembangunan Projek Klinik Kesihatan (Jenis 3) dan Kuarters 2F/2G Padang Besar.

Klinik baharu yang dijangkakan siap pada 11 Februari 2023 itu dibina di atas tanah yang berkeluasan 1765.22 meter persegi di atas Lot PT8385 Padang Besar, Perlis. Pembinaan klinik ini merangkumi klinik kesihatan jenis teja dua tingkat yang mempunyai klinik pesakit luar, klinik ibu mengandung, klinik pergigian, bilik X-ray dan kecemasan.

Klinik ini juga mampu menampung bilangan pesakit antara 300 orang hingga 400 orang dalam satu hari. Selain itu, terdapat empat unit kuarters disediakan untuk kakitangan kesihatan klinik tersebut.

Taklimat dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis, Ir. Mohd Shahril Mohd Said.

Turut hadir mengiringi baginda ke lokasi projek yang sudah 82 peratus siap itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Haji Wan Sulaiman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.