7 November 2022, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan Hari Rizab Biosfera Antarabangsa julung-julung kalinya disambut di Malaysia pada tahun ini. Sambutan yang diadakan pada 3 November setiap tahun adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dunia berkenaan dengan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan rizab biosfera di seluruh dunia.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, rizab biosfera merupakan tapak yang ditubuhkan oleh sesebuah negara dan diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) di bawah program Man and The Biosphere (MAB) bagi memperbaik hubungan antara manusia dengan alam sekitar serta memberikan penekanan kepada keperluan pembangunan mampan.

Penyertaan Malaysia dalam MAB bermula pada 26 Mei 2009 melalui pengiktirafan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia diikuti dengan banjaran Crocker, Sabah pada 12 Jun 2014 dan Bukit Bendera, Pulau Pinang pada 15 September 2021.

Tambah beliau, hingga kini sebanyak 738 tapak rizab biosfera dalam jaringan rizab biosfera dunia yang melibatkan 134 buah negara.

Beliau juga menyatakan bahawa KeTSA dengan kerjasama Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang akan menganjurkan Bengkel Pembelajaran Kolaboratif Rizab Biosfera @ Bukit Bendera pada 9 November 2022 dan 10 November 2022 bersempena dengan Hari Rizab Biosfera peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Mengulas dengan lebih lanjut, bengkel yang melibatkan semua tapak rizab biosfera di Malaysia ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai tapak rizab biosfera serta mengukuhkan jaringan kerjasama kebangsaan antara tapak rizab biosfera dengan KeTSA.

Sementara itu, beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan negeri Pahang atas inisiatif dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap tapak rizab biosfera Tasik Chini selaras dengan cadangan International Advisory Committee for Biosphere Reserves.

KeTSA juga mengalu-alukan inisiatif daripada kerajaan negeri Sabah untuk mencalonkan landskap Kinabatangan sebagai tapak rizab biosfera dan kerajaan negeri lain diharapkan dapat mencontohi inisiatif ini untuk mencalonkan kawasan lain yang berpotensi.

Beliau juga menyeru kepada semua pihak agar menggembleng tenaga dan bekerjasama dalam memulihara dan memelihara rizab biosfera demi generasi masa hadapan di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.