4 November 2022, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Rakyat Malaysia digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin penggalak yang menghasilkan imuniti kacukan dan imuniti vaksin untuk melindungi badan daripada jangkitan COVID-19.”

Demikian kupasan daripada Ketua Jabatan Perubatan dan Pakar Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Dato’ Dr. Suresh Kumar dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, semalam.

Menurut beliau, susulan penemuan subvarian XBB yang melibatkan empat orang warganegara Malaysia yang tidak memiliki sejarah perjalanan ke luar negara, KKM telah mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk mengekang penularan subvarian XBB ini.

YBhg. Dato’ Dr. Suresh Kumar semasa membincangkan tentang subvarian XBB dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Tambah beliau lagi, terdapat tiga ciri yang membezakan antara subvarian XBB dengan varian Omicron, iaitu kesan jangkitan COVID-19 yang berkurangan, perkembangan subvarian XBB menerusi gabungan dua subvarian dan kewujudan mutasi tambahan COVID-19 yang mudah menjangkiti manusia.

Pergerakan ke tempat kerja dan urusan harian di luar rumah menyebabkan manusia mudah dijangkiti COVID-19. Oleh itu, kepentingan perlindungan vaksin bertujuan untuk mencegah jangkitan COVID-19 dan penularan subvarian XBB ini. Hal ini dikatakan demikian kerana penularan subvarian XBB akan menjangkiti individu yang telah dijangkiti COVID-19 sebelum ini. Namun begitu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa subvarian XBB mendatangkan sakit yang serius.

Beliau menyatakan bahawa individu yang berisiko tinggi menghidap penyakit kronik seperti kencing manis dan asma serta mempunyai kadar ketahanan badan yang rendah secara semula jadi perlu berwaspada dengan penularan subvarian XBB ini.

Mengupas dengan lebih lanjut tentang hal ini, antara langkah untuk mencegah penularan subvarian XBB dan COVID-19 ialah mengamalkan SOP seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa mencuci tangan dengan menggunakan pensanitasi tangan. Selain itu, Malaysia perlu mengekalkan sumber vaksinasi yang sedia adabagi mencegah simptom penyakit yang lebih teruk dan kematian akibat jangkitan COVID-19.

Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, perkara tersebut meningkatkan risiko peningkatan subvarian XBB. Semua rakyat Malaysia yang keluar untuk mengundi dinasihatkan agar mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh KKM seperti memakai pelitup muka dengan betul di tempat yang sesak, mengamalkan penjarakan sosial, sentiasa kerap mencuci tangan dan melakukan TRIIS, iaitu uji (test), lapor (report), asing (isolate), maklumkan (inform) dan dapatkan rawatan (seek) jika bergejala.

Golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak yang mendapat vaksinasi perlindungan sebanyak tiga dos adalah selamat untuk kesihatan mereka serta dapat mencegah jangkitan COVID-19 dan penularan subvarian XBB.

Sementara itu, KKM telah melonggarkan syarat untuk mendapatkan suntikan dos vaksinasi dan suntikan dos penggalak. Suntikan dos penggalak kedua diberikan kepada golongan muda yang berusia 18 tahun ke atas sebagai perlindungan selepas mereka menerima suntikan dos penggalak pertama.

Hasil suntikan dos penggalak pertama dan suntikan dos penggalak kedua dapat melindungi dan mengelakkan diri daripada dijangkiti subvarian XBB serta penyakit kronik yang serius. Oleh itu, jelaslah bahawa vaksinasi yang diberikan bertujuan untuk meningkatkan ketahanan badan daripada sebarang jangkitan penyakit.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.