4 November 2022, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tabiat merokok merupakan antara penyebab utama kematian yang boleh dielakkan. Lebih lapan juta kematian dilaporkan akibat penggunaan tembakau di seluruh dunia, manakala 1.2 juta kematian daripada angka tersebut melibatkan perokok pasif yang terdedah kepada asap rokok sekunder. Penggunaan tembakau juga menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah kemasukan pesakit ke hospital dan mengakibatkan sebanyak 35 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di Malaysia. Merokok bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada perokok, malah orang sekelilingnya turut berisiko untuk mendapat kesan mudarat.

Terdapat lebih daripada 7000 bahan kimia dalam sebatang rokok dan 70 daripada bahan tersebut telah dikenal pasti sebagai bahan karsinogen, iaitu berpotensi untuk menyebabkan kanser. Antara bahan-bahan berbahaya dalam rokok termasuklah nikotin, tar, karbon monoksida, arsenik, formaldehid, plumbum, benzena, kadmium, hidrogen sianida dan aseton. Nikotin merupakan bahan utama dalam tembakau yang menyebabkan ketagihan kepada perokok.

Apabila seseorang itu merokok, nikotin dalam asap rokok akan diserap masuk melalui lapisan mukosa di dalam mulut, hidung dan paru-paru sebelum dibawa ke seluruh badan melalui salur darah. Kadar penyerapan nikotin yang pantas membolehkan nikotin dibawa ke otak dalam masa 20 saat selepas sedutan.

Nikotin bertindak di dalam otak dengan merangsang pengeluaran hormon dopamin, iaitu hormon yang mencetuskan rasa gembira dan tenang. Apabila perokok berhenti merokok, kandungan nikotin di dalam badan berkurangan lalu menyebabkan tahap hormon dopamin di dalam otak juga menurun. Perubahan ini menimbulkan rasa gian dan ketagihan yang membuatkan perokok bergantung terhadap nikotin.

Banyak perokok sebenarnya sedar akan bahana merokok, namun sukar untuk berhenti merokok kerana ketagihan nikotin akan menyebabkan perokok mengalami gejala sarak seperti murung, penat, gelisah, sukar untuk fokus dan keinginan untuk merokok yang sukar untuk dibendung. Oleh itu, perokok disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi bagi memastikan perokok dapat berhenti merokok sepenuhnya.

Satu daripada rawatan untuk berhenti merokok adalah melalui terapi penggantian nikotin (NRT). Rawatan ini membantu untuk mengurangkan gejala ketagihan dengan membekalkan nikotin tanpa bahan kimia berbahaya lain yang terdapat dalam asap rokok pada dos yang rendah. Kajian menunjukkan keberkesanan berhenti merokok meningkat pada kadar antara 50 peratus hingga 70 peratus dengan penggunaan NRT.

Produk NRT tersedia dalam beberapa bentuk dan kekuatan berdasarkan kesesuaian dan kebergantungan pesakit terhadap nikotin. Antara bentuk NRT termasuklah produk tampalan pada kulit (transdermal) dan gula-gula getah.  Kajian membuktikan bahawa tiada perbezaan dalam keberkesanan antara produk NRT tersebut jika digunakan dengan betul. Perokok juga perlu menggunakan NRT sekurang-kurangnya selama lapan minggu hingga dua belas minggu. Sekiranya peroko tersebut belum bersedia untuk berhenti merokok secara mendadak, NRT boleh digunakan untuk membantu perokok mengurangkan kuantiti rokok yang diambil sebelum berhenti secara keseluruhan.

Antara sediaan NRT yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah gula-gula getah nikotin dan tampalan transdermal. Gula-gula getah nikotin berkesan untuk melegakan ketagihan dan gejala sarak dengan pantas. Terdapat dua kekuatan gula-gula getah nikotin, iaitu dua miligram dan empat miligram berdasarkan kekerapan merokok.

Perokok yang menghisap sebanyak 20 batang rokok atau lebih dalam masa sehari atau menghisap rokok pertama dalam masa 30 minit selepas bangun daripada tidur dikategorikan sebagai perokok dengan kadar kebergantungan yang tinggi terhadap nikotin. Secara amnya, perokok kategori ini disarankan menggunakan gula-gula getah nikotin dengan dos empat miligram, manakala perokok yang menghisap kurang daripada 20 batang rokok sehari disarankan menggunakan gula-gula getah nikotin dengan dos dua miligram.

Di samping itu, perokok juga mempunyai pilihan untuk menggunakan tampalan transdermal yang digunakan sekali sehari untuk membantu mengurangkan keinginan merokok selama 16 jam. Dos nikotin yang terkawal diserap masuk ke dalam salur darah melalui lapisan kulit. Terdapat tiga kekuatan tampalan transdermal, iaitu 25 miligram, 15 miligram dan 10 miligram. Perokok disarankan mengurangkan bilangan gula-gula getah yang dikunyah dan dos tampalan transdermal pada setiap hari secara beransur-ansur. Nasihat daripada doktor dan ahli farmasi adalah diperlukan bagi memberikan saranan mengikut kesesuaian individu.

Perokok yang menggunakan NRT semasa percubaan berhenti merokok mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk berjaya jika menggunakan gabungan kedua-dua produk NRT tersebut dengan teknik yang betul.

Gula-gula Getah Nikotin

  1. Kunyah gula-gula getah secara perlahan sehingga rasa pedas dan pijar semakin kuat.
  2. Selitkan gula-gula getah di antara rahang dengan pipi supaya nikotin diserap melalui lapisan di dalam mulut.
  3. Selepas rasa pedas berkurangan, kunyah semula gula-gula getah sehingga rasa pedas dan pijar menjadi kuat.
  4. Ulang langkah dua dan langkah tiga selama 30 minit atau sehingga rasa pedas atau pijar hilang apabila gula-gula getah dikunyah.

Tampalan Transdermal Nikotin

  1. Buang pelapik belakang dan lekatkan tampalan baharu pada setiap pagi pada bahagian kulit yang bersih, kering dan tidak berbulu seperti kulit paha, lengan, dada atau pinggul.
  2. Biarkan selama 16 jam dan buang tampalan dengan selamat.
  3. Tampal pada bahagian kulit yang baharu pada setiap hari.
  4. Jarakkan sekurang-kurangnya dalam tempoh lima hari sebelum menampal tampalan baharu pada bahagian kulit yang sama.

           

Seseorang itu juga perlu memantau beberapa kesan sampingan yang boleh berlaku disebabkan oleh nikotin atau teknik penggunaan produk NRT yang kurang tepat. Mengunyah gula-gula getah nikotin terlalu laju akan menyebabkan lebih banyak dos nikotin yang dikeluarkan pada satu-satu masa. Hal ini boleh mengakibatkan gejala seperti pening kepala, sedu dan mual. Ulser mulut juga boleh terjadi disebabkan teknik penggunaan gula-gula getah yang tidak tepat.

Selain itu, penggunaan produk tampalan transdermal juga berisiko menyebabkan iritasi kulit. Jika kesan sampingan tersebut berlanjutan selepas empat hari, perokok perlu segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat dan rawatan.

NRT perlu digunakan dengan berhati-hati terutamanya dalam kalangan pesakit yang mempunyai masalah jantung. Individu yang hamil atau sedang menyusukan juga digalakkan untuk berhenti merokok tanpa menggunakan NRT. Hal ini disebabkan oleh tiada bukti kukuh mengenai keberkesanan dan keselamatan NRT pada ibu yang hamil dan tiada ujian yang dijalankan pada perokok yang menyusukan anak semasa dalam rawatan menggunakan NRT.

KKM komited dalam usaha membantu perokok untuk berhenti merokok. Perokok yang ingin mendapatkan saringan ataupun rawatan berhenti merokok boleh mengunjungi fasiliti yang diiktiraf KKM yang menawarkan perkhidmatan berhenti merokok atau layari laman web jomquit.moh.gov.my untuk mengetahui fasiliti berdekatan yang menawarkan perkhidmatan tersebut. Orang awam juga boleh mendaftar dalam program Jomquit melalui aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1800-88-6722 pada hari Isnin hingga Jumaat, pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

 

Siti Hawa Mohd Nor ialah Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.