4 November 2022, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – “Penemuan herba sebanyak 1444 jenis di Malaysia merupakan suatu penemuan yang sangat menarik dan memberikan peluang besar untuk herba di negara ini dijadikan bahan dalam perubatan atau rawatan alternatif yang sangat penting dan kadangkala dipercayai lebih berkesan berbanding dengan perubatan moden.”

Demikian ucapan pembuka bicara wacana Herba Tropikal dan Kesihatan yang dikelolakan oleh Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pemudah cara dalam wacana ini.

Sesi wacana Herba Tropikal dan Kesihatan sedang berlangsung.

Wacana yang berlangsung selama dua jam dan disiarkan secara dalam talian ini menampilkan Perawat Perubatan Alternatif (Herba Semula Jadi), Encik Andrew Wang sebagai ahli panel yang membincangkan keistimewaan dan khasiat herba untuk kesihatan diri. Perbincangan ini turut dibantu oleh Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia, YBhg. Dato’ Goh Hin San selaku penterjemah.

Menurut Andrew, selepas 53 buah negara yang telah dilawati, beliau mendapati bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang terbaik untuk membuat penyelidikan berkaitan dengan herba. Hal ini dikatakan demikian kerana Malaysia ialah negara yang paling kaya dengan herba dan sesuai untuk menjadikan perubatan tradisional sebagai satu daripada kaedah mengubati penyakit.

Berdasarkan perbincangan dalam wacana tersebut, Andrew memaklumkan bahawa herba biasanya terdapat di kawasan khatulistiwa. Antara cara penggunaan sesuatu herba itu adalah dengan membakar akarnya sehingga menjadi abu dan arang serta dimasukkan di dalam makanan atau minuman untuk dijadikan sebagai ubat.

Seterusnya, dalam kajian yang telah dilakukan, Andrew mendapati bahawa banyak khasiat herba yang perlu diketahui umum. Antaranya termasuklah membuang toksik di dalam badan, memanjangkan usia, melancarkan peredaran darah, memudahkan proses pencernaan, mengurangkan perebakan penyakit, menyembuhkan luka dengan cepat, menghilangkan batuk dan membantu mengatasi masalah ketidakseimbangan hormon bagi wanita.

Tambah beliau, herba yang terdapat di negara ini dicadangkan sebagai produk popular bagi membolehkan masyarakat memperoleh khasiatnya dan menjadikannya sebagai satu daripada cara untuk mengurangkan risiko penyakit yang dihidapi oleh rakyat di negara ini.

Rakyat Malaysia perlu mengurangkan pengambilan ais dan mengubah cara pemakanan bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit. Pengambilan herba juga dapat membantu masyarakat mengubati penyakit yang dialami.

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau mengatakan bahawa penggunaan herba sebagai ubat perlulah mendapat rujukan daripada pakar atau pihak yang berkaitan bagi mengelakkan penyalahgunaan herba tersebut.

Beliau turut menekankan bahawa kekayaan herba di negara ini luar biasa berbanding dengan negara lain. Oleh itu, satu kajian rapi seharusnya dijalankan terhadap herba ini. Penyelidikan ini perlu diteruskan dengan memberikan pengenalan tentang herba secara terperinci dan praktikal.

Sebelum mengakhiri wacana, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menyatakan bahawa penyelidikan seperti ini adalah titik permulaan untuk masyarakat mendalami kajian tentang herba di Malaysia dan kekayaan herba ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

“Untuk perancangan seterusnya, pihak ATMA akan mengatur siri bengkel dengan kerjasama fakulti kesihatan, fakulti perubatan, fakulti sains dan beberapa pihak lain bagi menunjukkan kaedah tradisional herba diolahkan menjadi ubat dan mengadakan sesi rawatan perubatan tradisional secara praktikal,” ujar Pengarah ATMA itu lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.