Diterbitkan pada 30 Oktober 2022, 22:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dua penyelidik wanita berjaya mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa apabila muncul sebagai pemenang bagi dua kategori dalam The 8th Underwriters Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women 2022.

Timbalan Ketua Pegawai Saintifik Cancer Research Malaysia, Dr. Sok Ching Cheong memenangi Kategori Saintis Kanan menerusi penyelidikan yang membangunkan alat telerundingan Saringan Mulut Mudah Alih atau MeMoSA, yakni platform kesihatan digital yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi pengesanan awal kanser mulut.

Sementara itu, Penyelidik Kanan Universiti Monash, Kampus Malaysia, Dr. Maxine Tan menerima sebutan khas dalam Kategori Sains Pertengahan Kerjaya menerusi penyelidikan dalam bidang pengimejan perubatan yang mengaplikasikan AI dengan membangunkan model penilaian risiko jangka pendek kanser payudara pertama berdasarkan mamografi, ciri klinikal dan demografik.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains dan Teknologi semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba berkata kejayaan itu diharapkan menjadi pendorong kepada kedua-dua penyelidik bagi mencapai tahap lebih tinggi dalam penyelidikan saintifik.

Kejayaan ini juga diharapkan menjadi sumber inspirasi untuk menyemarakkan minat dalam kalangan institusi penyelidikan dan para penyelidik negara, khususnya saintis wanita untuk menyumbangkan lebih banyak penyelidikan yang berkualiti dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

The 8th Underwriters Laboratories-ASEAN-US Science Prize for Women 2022 ialah program kerjasama antara ASEAN Committee on Science, Technology and Innovation; kerajaan Amerika Syarikat melalui U.S Agency for International Development; dan Underwriters Laboratories.

Tema yang dipilih pada tahun ini ialah Kecerdasan Buatan dalam Kesihatan dan Keselamatan kerana kepentingannya dalam perkhidmatan penjagaan yang lebih baik dan mampu milik kepada lebih 600 juta orang penduduk ASEAN. Penggunaan AI juga dilihat mampu mengukuhkan keselamatan persekitaran di tempat kerja dan sistem pemprosesan industri sekali gus membantu menangani usaha pemulihan pandemik COVID-19.

Butiran lanjut tentang para pemenang boleh dilayari di https://asean.org/underwiters-laboratories-asean-u-s-science-prize-for-women-2022-winners-announced.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi