28 Oktober 2022, 18:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah forum yang dipersembahkan melalui teater yang berjudul Penerbangan Aladdin Imaginasi dalam Realiti telah diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam. Forum ini turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial DBP.

Forum ini menampilkan Pengasas Q Aerotech Ent, Encik Mohd Noor Afiq Azahari, Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Universiti Malaya, YBrs. Dr. Mohd Istajib Mokhtar dan Pegawai Eksekutif Mission Aviation Training Academy, Encik Mohd Yuzer Mohd Yusof.

Pengasas Q Aerotech Ent, Encik Mohd Noor Afiq Azahari (kiri).

Slot pembukaan forum ini cukup menarik kerana penonton yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar sekolah dikehendaki menulis nama dan sekolah mereka pada kapal terbang kertas masing-masing dan perlu menerbangkan kapal terbang kertas tersebut ke dalam sebuah bagasi. Peserta yang berjaya memasukkan kapal terbang kertasnya ke dalam bagasi itu akan diberikan hadiah.

Seterusnya, pengacara membuka kisah tentang Aladdin. Teater ini diteruskan lagi dengan pemilihan watak Aladdin dalam kalangan penonton. Pemilihan watak Aladdin dipilih melalui ketepatan calon menjawab kuiz berkaitan dengan sains seperti bahagian yang terdapat dalam kapal terbang, jenis respirasi sel dan definisi sains.

Dalam forum ini, Encik Mohd Yuzer Mohd Yusof menekankan kepentingan kompetensi dalam penerbangan. Selepas selesai sesi penerangan berkenaan kompetensi dalam penerbangan, Encik Mohd Noor Afiq Azahari menunjukkan demonstrasi pengawalan kapal terbang kepada watak dalam teater Aladdin ini. Beliau turut menerangkan kepentingan pengawalan yang betul bagi memastikan keselamatan setiap penumpang dalam penerbangan.

Pegawai Eksekutif Mission Aviation Training Academy, Encik Mohd Yuzer Mohd Yusof (kanan).

Forum ini diserikan lagi dengan deklamasi sajak yang disampaikan oleh YBrs. Dr. Mohd Istajib Mokhtar. Usai persembahan sajak ini selesai, babak “Aladdin Airlines” yang dilakonkan memberikan gambaran tentang penerbangan yang memenuhi prosedur penerbangan. Pertunjukan dron buatan sendiri telah diadakan di dalam dewan sebelum berakhirnya sesi Forum Teater STEM.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains Universiti Malaya, YBrs. Dr. Mohd Istajib Mokhtar.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.