Diterbitkan pada 19 Oktober 2022, 21:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melancarkan lima produk inovasi terbaharu yang sedia dikomersialkan dalam usaha memajukan industri agromakanan negara bersempena dengan Hari Inovasi MARDI 2022 yang dilancarkan, semalam.

Lima produk tersebut ialah kit diagnostik penyakit padi FlocTest, formulasi nanobakterisidal XanthoZIDE, Bar Enduran Pembebasan Tenaga Berkala, Kandi Tenaga dan Teknologi Minuman Pemulihan Sukan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, YB Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah yang menyempurnakan majlis perasmian Hari Inovasi MARDI 2022 dan pelancaran produk tersebut menyatakan bahawa inovasi melalui pendekatan moden dan pertanian pintar merupakan pengubah utama dalam mentransformasikan sektor agromakanan negara.

Hari Inovasi MARDI yang diadakan pada setiap tahun membuktikan komitmen berterusan pihak pengurusan institut bagi menyemaikan serta memperkasa budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga kerja MARDI.

Tambah beliau, inovasi yang dihasilkan oleh MARDI diharapkan dapat menyumbang kepada pengukuran pencapaian matlamat peringkat nasional seperti Tahap Sara Diri (SSL), Nisbah Kebergantungan Import (IDR), Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

Hari Inovasi MARDI 2022 bertemakan “Memperkasa Sekuriti Makanan” bertepatan dengan agenda Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan negara yang berhadapan dengan krisis pengeluaran makanan, import dan eksport di dalam negara dan di luar negara akibat pemulihan pasca COVID-19, peperangan di  luar negara dan sebagainya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi