18 Oktober 2022, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Penubuhan Pusat Sokongan Sekuriti Nuklear (NSSC) dengan inisiatif Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membolehkan Malaysia membangunkan keupayaan dalaman melibatkan penggunaan, ujian penerimaan dan penyelenggaraan peralatan pengesanan sinaran bagi menyokong operasi pengesanan dan tindak balas sekuriti nuklear dengan kos efektif yang mampan.

Berikutan pencapaian ini, kerajaan Malaysia melalui Jabatan Tenaga Atom, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menandatangani Partnership Agreement on the Establishment of a Loaner Pool for Radiation Detection Equipment (Loaner Pool) dengan IAEA secara dalam talian pada September tahun lalu.

Berdasarkan inisiatif Loaner Pool ini, Malaysia menerima penempatan dan menguruskan peralatan pengesanan sinaran berjumlah RM3 078 634 yang digunakan untuk aktiviti keselamatan dan sekuriti nuklear di dalam negara serta bertujuan untuk pembangunan keupayaan jika peralatan tersebut tidak digunakan oleh mana-mana negara anggota IAEA dan digunakan untuk perkongsian amalan terbaik dengan pihak berkepentingan sama ada di dalam negara atau pada peringkat antarabangsa.

Menerusi siaran media yang dikeluarkan oleh MOSTI semalam, Malaysia berbangga dapat bekerjasama dengan IAEA melalui inisiatif ini dalam memastikan sekuriti nuklear secara global semasa Kejohanan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 di Doha yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Peralatan yang diuruskan di bawah Loaner Pool Malaysia ini akan digunakan semasa acara besar dunia ini.

Acara awam besar di Malaysia seperti Sambutan Hari Kebangsaan, Sukan Asia Tenggara (SEA), Sukan Para ASEAN dan Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini juga menggunakan peralatan yang serupa bagi melaksanakan langkah sekuriti nuklear.

Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah mengadakan pertemuan dengan lapan orang pakar daripada IAEA yang turut dihadiri oleh wakil daripada Jabatan Tenaga Atom, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia, semalam.

Sementara itu, Misi Pakar Perkhidmatan Sekuriti Nuklear Antarabangsa (INSServ) yang dihadiri oleh pakar luar jemputan IAEA daripada Amerika Syarikat, Pakistan, Perancis, Sepanyol, United Kingdom dan Vietnam bermatlamat untuk membantu Malaysia dalam mengenal pasti ruang untuk penambahbaikan bagi melaksanakan regim kawalan sekuriti nuklear secara berkesan dan lestari yang memfokuskan kaedah pencegahan serta pengesanan kejadian sekuriti nuklear yang boleh mengancam keselamatan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.