7 Oktober 2022, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kebelakangan ini, reka bentuk jajaran jalan raya semakin berkembang maju bagi menampung pertumbuhan permintaan lalu lintas. Pembinaan persimpangan yang rumit dan lebuh raya bertingkat boleh mengelirukan pemandu, terutamanya yang memandu buat kali pertama di laluan tersebut. Oleh itu, untuk memudahkan pemandu, terdapat pelbagai saluran maklumat disediakan, sama ada yang dipasang di atas jalan raya ataupun yang terbina dalam peranti pintar.

Antara peranti yang popular ialah pelayar sistem kedudukan sejagat (GPS), sama ada terbina di dalam telefon pintar atau melalui aplikasi. Hampir semua pemandu pada masa ini seolah-olah terperangkap dalam mimpi ngeri sekiranya mereka diminta untuk memandu tanpa peranti pintar ini.

Dengan bantuan GPS, pemandu diberikan dengan maklumat awal mengenai laluan ke lokasi tanpa bergantung pada peta. Walaupun pemandu hanya terlepas satu selekoh, GPS akan menghitung semula laluan secara automatik dan membawa pemandu ke tempat yang hendak dituju dengan tekanan dan gangguan yang minimum.

GPS juga meningkatkan keselamatan pemanduan pada waktu malam kerana peranti ini akan memaklumkan pemandu tentang setiap belokan dan tanjakan jalan sebelum pemandu dapat melihatnya secara nyata.

Sebagai contohnya, sistem GPS di Amerika Syarikat telah menyebabkan lebih daripada dua ratus ribu kemalangan pada setiap tahun. Kemalangan ini adalah akibat peta navigasi yang tidak tepat, arah dan lokasi yang salah serta pemanduan yang terganggu. Sistem GPS yang lapuk memberikan maklumat yang tidak betul, manakala sistem yang lebih baharu cenderung untuk mengalihkan perhatian pemandu dengan pelbagai aplikasi tambahan.

Selain itu, di dalam kenderaan seperti kereta, peranti pintar berada pada kedudukan yang sangat dekat dengan pemandu. Alat seperti pengesan radar kereta yang mengambil isyarat radar polis dan memberitahu pemandu tentangnya mungkin berguna bukan sahaja kepada pemandu yang memandu dengan kelajuan tinggi, malah untuk pemandu yang bertanggungjawab yang sentiasa memerlukan amaran tentang keadaan bahaya di jalan raya.

Pada kebiasaannya, telefon pintar digunakan bagi menggantikan peta secara manual. Oleh itu, adalah penting untuk pemandu menggunakan pelekap telefon ketika memandu. Pemandu juga tidak terganggu untuk menjawab panggilan telefon atau mengeluarkan telefon daripada beg semasa memandu jika menggunakannya. Hal ini akan menyebabkan perhatian pemandu akan kekal tertumpu pada jalan raya sekali gus meningkatkan keselamatan pemanduan.

Kereta moden pada masa ini mempunyai skrin sentuh yang lebih besar, yakni kebanyakan fungsi di dalam kereta dipasang di dalamnya. Menurut kajian sebuah organisasi keselamatan jalan raya di United Kingdom, penggunaan antara muka skrin sentuh maklumat hibur lebih meningkatkan masa tindak balas pemandu daripada menggunakan telefon di tangan. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa pengendalian aplikasi maklumat hibur meningkatkan masa tindak balas hingga 57 peratus untuk menghantar mesej sambil memandu dan 46 peratus untuk panggilan dengan telefon tangan.

Kajian ini juga mendapati bahawa pemandu mengalihkan pandangan mereka daripada jalan raya selama 16 saat apabila menggunakan mana-mana sistem. Hal ini mengakibatkan sisihan kedudukan lorong sebanyak 530 meter pada kelajuan 112 kilometer/jam. Selain itu, pemandu yang diuji dalam kajian ini juga tidak dapat mengekalkan kelajuan dan jarak yang konsisten dengan kenderaan lain di jalan raya.

Oleh itu, teknologi yang berkembang pesat mempunyai potensi besar untuk menjejaskan keselamatan pemanduan, sama ada secara positif ataupun negatif. Perkembangan teknologi juga menjadi faktor pemandu muda mengalami kemalangan yang lebih kerap. Hal ini menguatkan potensi positif dan negatif akan penggunaan teknologi baharu pada masa ini.

Golongan pemandu muda kebiasaannya amat terdedah kepada gangguan yang ditimbulkan oleh sistem maklumat hibur walaupun teknologi ini memberikan manfaat yang besar sebagai sistem sokongan pemandu. Kegagalan dalam mengurus teknologi boleh menyebabkan pemandu muda menghadapi “perfect storm” terhadap teknologi baharu yang muncul. Dari sisi lain, walaupun peranti ini berguna, namun teknologi ini juga boleh membawa maut jika dikendalikan dengan cuai. 

Selain itu, peranti seperti paparan maklumat boleh ubah (VMS) yang boleh dijumpai di jalan raya digunakan untuk menyiarkan mesej kepada pemandu tentang maklumat kemalangan, masa perjalanan, lencongan, peristiwa khas dan keadaan jalan. Kebanyakan tempat di Amerika Syarikat pada masa ini telah menggunakan VMS.

VMS juga telah menjadi trend dan dapat dilihat di kebanyakan lebuh raya di negara ini. VMS sering dirujuk sebagai paparan maklumat boleh ubah atau paparan maklumat dinamik (DMS), menyampaikan maklumat trafik kepada pemandu sama ada dalam masa nyata atau semasa kenderaan tidak bergerak.

Di samping itu, VMS dan DMS juga memaparkan mesej segera apabila berlakunya kemalangan yang berpotensi menyebabkan kesesakan lalu lintas. Hal ini secara tidak langsung membantu pemandu untuk mengubah hala lalu lintas dengan serta-merta pada masa nyata yang membolehkan perkhidmatan kecemasan sampai ke lokasi secepat mungkin sekali gus mengurangkan kemungkinan kematian.

Papan VMS juga digunakan untuk memaparkan mesej amaran semasa bencana alam seperti taufan dan banjir. Orang ramai juga dimaklumkan tentang malapetaka yang akan datang supaya mereka boleh bersedia. VMS turut digunakan untuk mengawal kelajuan kenderaan di lebuh raya, membantu menyelaras lalu lintas sekali gus mengurangkan kemalangan dan kejadian yang tidak diingini.

Namun begitu, tinjauan yang dilakukan terhadap 150 orang peserta di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa sistem VMS ini telah menyebabkan pemandu memperlahankan kenderaan. Mesej yang panjang dengan ayat yang kompleks atau disingkatkan juga menyebabkan para pemandu memperlahankan kenderaan dengan lebih lama.

Dalam tinjauan lain yang dilakukan terhadap 3342 buah kenderaan pula mendapati bahawa pengurangan kelajuan yang besar telah dicerap. Berdasarkan pemerhatian video, sebahagian besar kenderaan membrek semasa menghampiri VMS. Pengurangan kelajuan dan gerakan brek boleh dikaitkan dengan beban perhatian atau gangguan disebabkan oleh maklumat pada VMS.

Walau bagaimanapun, sebahagian daripada pengurangan kelajuan adalah disebabkan oleh tindak balas berantai, yakni apabila sebuah kenderaan membrek, maka akan menyebabkan kenderaan lain juga membrek atau menukar lorong untuk mengelakkan perlanggaran. Masalah keselamatan yang berlaku mungkin berpunca secara langsung daripada gangguan atau secara tidak langsung daripada reaksi pemandu terhadap gangguan disebabkan oleh VMS dan DMS.

Sementara itu, kelewatan dan kesesakan jalan raya boleh mengganggu emosi dan mengubah cara pemandu menilai risiko dan membuat keputusan ketika memandu. Apabila emosi yang kuat seperti kemarahan mempengaruhi pemandu, keupayaan untuk membuat keputusan yang bijak mungkin berkurangan dan meningkatkan kesilapan semasa memandu.

Kesemua kaedah penyampaian maklumat dan pembantu pemanduan ini sangat berguna dan bermanfaat sekiranya digunakan dengan baik dan berhati-hati. Pemandu hendaklah peka terhadap apa-apa kaedah penyampaian maklumat bagi mengelakkan gangguan semasa pemanduan. Pemandu yang cekap dan berpengetahuan adalah aset di atas jalan raya.

Selain itu, peranti pintar diwujudkan bagi mengelakkan kemalangan dan bukannya sebagai punca kemalangan atau meragut nyawa. Walau sepintar mana pun peranti yang digunakan, peranti ini masih tidak dapat menandingi reaksi dan keupayaan pemandu untuk membuat sesuatu keputusan dalam pemanduan.

 

Dr. Suzielah Rahmad, mantan pelajar Doktor Falsafah, Jabatan Kejuruteraan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.