4 Oktober 2022, 22:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia Techlympics 2022, sebuah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah bermula sejak April lalu yang acara kemuncaknya bakal diadakan pada 12 November 2022 dan 13 November 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Bagi mengupas dengan lebih lanjut tentang Malaysia Techlympics 2022 dalam memupuk budaya sains, teknologi dan inovasi (STI), Bernama Radio telah mengundang Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI, YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarusu dalam slot “Dalam Radar” kelolaan penyampainya, Irfan Faruqi dan Shuhadah Armawan.

Dalam sesi awal perkongsian, YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarusu menyatakan bahawa Malaysia Techlympics merupakan antara inisiatif pihak MOSTI dalam mewujudkan persepsi bahawa pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) adalah menarik kepada Keluarga Malaysia, terutamanya dalam kalangan para pelajar dan golongan belia.

Menyentuh kepada dapatan oleh Jabatan Perangkaan yang menyatakan bahawa minat para pelajar untuk menyambung pengajian pada peringkat pengajian tinggi dalam bidang sains semakin menurun, Akademi Sains Malaysia diminta untuk mengupas tentang hal ini dengan lebih terperinci.

Beliau berkata, pihak MOSTI telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha membudayakan STI dalam kalangan Keluarga Malaysia termasuklah program Malaysia Techlympics yang  menyokong pembelajaran secara formal bagi subjek STEM yang diajar di sekolah ataupun di institusi pengajian tinggi. Program ini yang lebih berbentuk interaktif telah berjaya menarik minat para pelajar dan golongan belia untuk lebih meminati bidang STEM.

Menurut beliau, Malaysia Techlympics 2022 yang menyasarkan sebanyak sejuta penyertaan telah pun berjaya mencapai angka tersebut dan diharapkan daripada penyertaan ini, sebanyak 2000 idea dapat diutarakan untuk dikomersialkan.

Tambah beliau lagi, sambutan hangat oleh Keluarga Malaysia terhadap program ini juga dibuktikan dengan sebanyak 26 900 orang telah melayari laman sesawang Malaysia Techlympics.

Malaysia Techlympics 2022 merangkumi lima tema, iaitu Kecerdasan Buatan dan Sains Data, Eksplorasi Angkasa, Dron dan Aplikasinya, Teknologi Sohor dan Inovasi untuk Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam serta dilaksanakan dengan merangkumi semua golongan termasuklah golongan orang asli dan orang kelainan upaya (OKU).

Katanya lagi, beliau berharap agar Belanjawan 2023 akan terus menyediakan peruntukan bagi Malaysia Techlympics dalam usaha membudayakan STI dalam kalangan Keluarga Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana melalui program ini, Malaysia mempunyai pemikir hebat yang perlu diketengahkan.

Mengakhiri perkongsian, beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak boleh hanya menjadi sebuah negara pengguna teknologi tetapi perlu menjadi negara pengeluar teknologi untuk menjadi sebuah negara maju. Diharapkan melalui Malaysia Techlympics ini, lebih banyak idea dapat dikomersialkan pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!