26 September 2022, 22:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Vienna –  “Institut Antarabangsa untuk Sistem Analisis Gunaan (IIASA) mempunyai kepakaran dalam analisis sistem bagi pelbagai bidang disiplin, terutamanya yang berkaitan dengan sains alam sekitar. Oleh itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempelawa IIASA untuk menjalinkan kerjasama dengan Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan menyumbangkan pengetahuan dalam bantuan teknikal untuk memperkukuh Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN) yang lebih bersepadu menjelang akhir tahun 2023.”

Dalam kenyataan media yang dikongsikan oleh MOSTI, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba membuat pelawaan tersebut ketika sesi lawatan di IIASA, Laxenburg, Austria semalam.

Dalam Mesyuarat Sains Negara pada 8 April 2022, YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan agar MOSTI melalui ASM untuk menggubal PTKPN. Beberapa pertemuan dengan pemegang taruh berkaitan dalam membincangkan isu berkenaan secara holistik yang dipacu sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) telah dilaksanakan oleh ASM.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, PTKPN akan memfokuskan dua perkara, iaitu  pembangunan sistem pengawasan, pemantauan dan penjejakan impak (STIE Trend Watch) untuk kesihatan planet sebagai pemboleh ubah bagi pelaksanaan PTKPN serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan dalam kawasan zoonosis ke arah pembangunan pangkalan data nasional untuk genomik alam sekitar melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), ASM dan agensi yang berkaitan.

Sejak tahun 2013 hingga kini, sebanyak 26 lawatan penyelidik IIASA ke Malaysia, manakala sebanyak 47 orang individu yang terdiri daripada penyelidik, penasihat dan diplomat Malaysia telah menghadiri sekurang-kurangnya satu acara di IIASA. Bukan itu sahaja, sebanyak enam orang peserta dari Malaysia juga telah dihantar untuk menyertai Program Musim Panas Saintis Muda IIASA.

IIASA merupakan sebuah institut penyelidikan antarabangsa yang menjalankan penyelidikan pelbagai disiplin untuk membantu penggubal dasar mencari penyelesaian jangka masa panjang terhadap cabaran global dan universal yang dihadapi oleh negara.

Turut hadir dalam sesi lawatan ini ialah Ketua Pengarah IIASA, YBrs. Dr. Albert van Jaarsveld, Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hashim dan duta Malaysia ke Austria merangkap wakil tetap Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Vienna, Tuan Yang Terutama Ikram Mohammad Ibrahim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.