26 September 2022, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Kerajaan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta agensi  Jabatan Alam Sekitar dan Air (JAS) terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif bagi melindungi lapisan ozon di Malaysia.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Vienna bagi Perlindungan Lapisan Ozon dan Protokol Montreal mengenai Bahan Pemusnah Lapisan Ozon pada 29 Ogos 1989. Lapisan ozon dijangkakan pulih sepenuhnya pada tahun 2060 selaras dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh negara ini bersama-sama semua negara parti dalam mengurangkan penggunaan bahan pemusnah ozon.

Malaysia juga telah meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal pada 21 Oktober 2020 yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan hidrofluorokarbon (HFC), iaitu gas rumah kaca yang mempunyai potensi pemanasan global yang tinggi.

Menteri KASA, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man merasmikan Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha KASA, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dan para pegawai JAS.

Tambah beliau, Pindaan Kigali ini dijangkakan dapat mengurangkan pelepasan 105 juta tan karbon dioksida setara, manakala suhu global pula dapat dikurangkan pada tahun 2100.

JAS dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Malaysia telah berjaya mentauliah 11 Kolej Vokasional sebagai Pusat Latihan Bertauliah bagi melaksanakan Program Pensijilan Juruteknik Servis penyaman udara yang seterusnya akan melahirkan juruteknik yang mempunyai kemahiran serta pengetahuan dalaman pengurusan refrigeran yang menyumbang kepada perlindungan lapisan ozon.

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan Protokol Montreal di Malaysia dan menghargai kerjasama erat daripada rakan strategik Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 yang terdiri daripada Daikin Malaysia, Panasonic Air Conditioning Malaysia, Proton, Dagang Net Technologies Sdn. Bhd., Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd., Tri EcoEdge Sdn. Bhd., dan Gamuda Land.

Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan bertemakan Protokol Montreal@35 – Kerjasama Global Melindungi Kehidupan di Bumi” telah diadakan di Gamuda Cove, Dengkil, Selangor pada 24 September lalu yang boleh ditonton secara dalam talian melalui laman Facebook rasmi JAS. Tema sambutan pada tahun ini adalah sebagai isyarat bahawa Protokol Montreal telah memberikan sumbangan penting dalam melindungi lapisan ozon dan menangani perubahan iklim dunia.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bersempena dengan sambutan tersebut. Antaranya ialah Walk for Ozone, pertandingan mewarna dan permainan Snakes and Ladder untuk kanak-kanan serta treasure hunt. Di samping itu, pelbagai program promosi dan kesedaran yang turut melibatkan JAS negeri akan berlangsung sepanjang September dan Oktober ini sebagai persediaan sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang akan diadakan pada 22 Oktober 2022 nanti.

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengunjungi pameran bersempena dengan Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.