23 September 2022, 22:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Multimedia, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang diwakili oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan FSKTM, Profesor Madya Ts. Dr. Hairulnizam Mahdin, semalam.

Pertemuan ini disambut baik oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi bersama-sama Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat ini bertujuan membincangkan program kerjasama pendigitalan bahan terbitan DBP yang akan diadakan dalam bentuk  peraduan dalam kalangan pelajar tahun dua program Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomputeran Multimedia), UTHM.

Perbincangan kerjasama antara DBP dengan UTHM dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi.

Menurut Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, beliau tertarik dengan kerjasama pendigitalan hasrat yang dikemukakan oleh UTHM ini yang melibatkan pelbagai penerbitan derivatif digital daripada bahan terbitan DBP dalam bentuk aplikasi mudah alih, permainan video dan realiti terimbuh.

Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi menyerahkan Kamus Dewan Perdana kepada Profesor Madya Ts. Dr. Hairulnizam Mahdin sebagai simbolik kerjasama strategik antara DBP dengan UTHM.

Dalam pertemuan ini, pihak UTHM telah mengadakan pembentangan fungsi dan projek yang telah diusahakan oleh FSKTM. Program yang dirintis oleh Bahagian Promosi dan Pengiktirafan ini dijadualkan bermula pada 16 Oktober 2022 sehingga 25 Februari 2023, iaitu selama 14 minggu sesi pembelajaran.

Menurut Tuan Haji Razali Che Mat, DBP mengalu-alukan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menghasilkan bahan penerbitan digital  atau produk penerbitan bersumberkan bahan terbitan DBP. Selain itu, DBP melalui Bahagian Multimedia turut menghasilkan penerbitan digital seperti e-buku dalam format PDF atau E-PUB dan buku audio.

Menerusi perbincangan ini juga, kedua-dua pihak bersetuju untuk memeterai memorandum persefahaman bagi menjalinkan kerjasama yang lebih menyeluruh pada masa akan datang yang membabitkan pelbagai penghasilan bahan digital yang berunsurkan bahasa dan sastera melalui penggunaan teknologi semasa.

Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Ketua Editor Buku Kanak-Kanak dan Remaja DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa dan Ketua Editor Bahagian Multimedia DBP, Puan Naimah Yusof serta beberapa pegawai kanan DBP. Turut hadir mewakili UTHM ialah Dr. Noorhaniza Wahid, Dr. Rahayu A Hamid, Dr. Che Samihah Che Dalim dan Puan Suriawati Suparjoh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.