22 September 2022, 11:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pusat Bateri Kenderaan Elektrik Hidrogen (HEBATT), iaitu sebuah pusat inovasi bateri tempatan yang menghasilkan sel kantung nanoteknologi untuk aplikasi kenderaan elektrik (EV), telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba di MRANTI Park, semalam. 

YB Dato’ Sri Dr Adham Baba berkata, “Pembangunan HEBATT secara tidak langsung akan mengekalkan negara pada trajektori ekonomi rendah karbon dan kecekapan sumber sambil mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain global dalam pasaran bateri yang bernilai berbilion dolar.“

Beliau yakin bahawa HEBATT akan menerajui pembangunan bateri yang dipertingkatkan dengan teknologi nano Malaysia dan seterusnya menuju pencapaian baharu dengan impak sosioekonomi yang ketara, terutamanya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berteknologi tinggi menjelang tahun 2030. Pada masa yang sama, matlamat untuk meletakkan Malaysia sebagai antara negara teratas di dunia bagi pembangunan ekonomi yang dipacu oleh teknologi inovatif bagi kesejahteraan rakyat dapat dicapai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, YBrs. Dr. Rezal Khairi Ahmad pula menyatakan bahawa pembangunan HEBATT adalah penting kepada agenda ekonomi hijau negara kerana akan menjadi pusat ekosistem tempatan bagi pengeluaran penyimpanan bateri dan hidrogen.

Apabila ekosistem ini berkembang sekali gus dapat memacu negara ke arah kedaulatan teknologi dalam sistem penyimpanan tenaga, terutamanya bagi sektor tenaga bersih, dengan nilai baharu dan rantaian bekalan diwujudkan untuk pekerjaan bernilai tinggi baharu dan peluang keusahawanan yang merangkumi bahan mentah, bahan perantara dan produk pengguna akhir.

HEBATT merupakan pencapaian penting bagi Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia yang diterajui oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, iaitu NanoMalaysia Berhad. HEBATT akan mengeluarkan bateri yang dipertingkatkan dengan teknologi nano, mempunyai ketumpatan tenaga yang tinggi dan prestasi pengecasan pantas sambil mengurangkan risiko bahaya kepada alam sekitar.

Selain itu, pembangunan HEBATT adalah kerjasama antara penerima pelaburan Kumpulan NanoMalaysia, Hypertech Industries Sdn. Bhd. dan International Battery Center Sdn. Bhd., iaitu pusat perundingan sehenti bagi kerjasama inovatif tempatan dan antarabangsa antara industri, universiti dan agensi kerajaan.

Pusat ini menjadi tumpuan dalam pembinaan dan perkembangan kepakaran tempatan dalam pembikinan bateri dan aplikasinya untuk sektor perindustrian yang berkaitan selain menumpukan pada pembangunan bateri kimia baharu dan penghasilan bateri canggih dalam pelbagai faktor, bentuk dan penyimpanan berasaskan hidrogen.

Penyimpanan berasaskan hidrogen dipilih berbanding dengan silinder biasa kerana bersifat lebih ringan dan mampu menyimpan kuasa yang lebih tinggi serta tenaga yang lebih tumpat. Teknologi sel kantung juga tahan getaran dan boleh diubah suai dari segi saiz kantung dan elektrod.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.