Oleh Qowariro Nabihah
22 September 2022, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pembelajaran i–rakan sebaya merupakan kaedah pembelajaran secara interaktif dalam kalangan rakan sebaya. Huruf “i” dalam istilah ini merujuk interaktif yang didefinisikan sebagai suatu tindakan atau hubungan erat antara satu sama lain. Interaktif melibatkan peserta memberikan dan menerima sesuatu secara aktif. Aktiviti interaktif dalam pembelajaran juga dapat dijelaskan menerusi kemampuan seseorang itu untuk berinteraksi dan mempelajari sesuatu menerusi pertuturan, dialog atau tindakan.

Interaktif juga melibatkan penggunaan alat teknologi yang mendorong pelajar untuk berinteraksi sesama rakan di dalam kelas. Selain itu, interaktif juga melibatkan tindakan atau tingkah laku pelajar memberikan sumbangan atau sokongan secara peribadi untuk bersama-sama pelajar lain di dalam kelas.

Penggunaan bimbingan rakan sebaya dalam konteks pendidikan merupakan bukan perkara baharu, malah pendekatan tersebut telah lama wujud dan sentiasa digunakan dengan pendekatan lain seperti pembelajaran secara kolaboratif. Menurut kajian oleh Colvin (2007), bimbingan rakan sebaya merupakan kaedah pembelajaran yang melibatkan seseorang individu daripada kumpulan yang mempunyai tahap sosial yang hampir sama, yakni individu yang lebih mahir dan pintar akan membimbing individu yang lemah.

Individu yang lebih pintar dan mahir dikenali sebagai tutor. Pada kebiasaannya, tutor akan membimbing individu yang kurang pintar dan mahir yang dikenali sebagai tutee, sama ada dalam kumpulan kecil atau secara individu dalam menyelesaikan masalah berkaitan pembelajaran.

 

 

 

Langkah Pelaksanaan Kaedah I–Rakan Sebaya dalam Pengajaran dan Pembelajaran

 

  1. Tutor (rakan pembimbing) memberikan arahan kepada rakan mengenai tatacara menggunakan alat bantu pembelajaran interaktif secara dalam talian seperti Google Classroom melalui telefon pintar.
  2. Rakan mengikuti arahan dan bimbingan daripada tutor tentang penggunaan alat bantu pembelajaran interaktif secara dalam talian.
  3. Tutor memulakan sesi pengajaran dan bimbingan bersama-sama rakan lain di dalam kelas.
  4. Aktiviti dan penilaian berlangsung di dalam kelas sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran.

 

Penerapan Elemen Teknologi dalam Pendidikan

Aplikasi teknologi menjadikan kemajuan kehidupan sosial dan gaya hidup seharian lebih mudah. Penggunaan teknologi turut membuktikan kesan yang positif terhadap gaya hidup dan memberikan impak yang positif dalam bidang pendidikan.

Kajian menunjukkan bahawa sektor pendidikan juga dipengaruhi oleh proses pengajaran dan pembelajaran yang disokong oleh aplikasi teknologi. Walaupun pendidik di seluruh dunia masih lagi menggunakan kaedah konvensional dalam pengajaran, namun bahan bantu mengajar seperti aplikasi teknologi sering digunakan secara efektif di dalam kelas.

Penerapan elemen interaktif multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran telah mewujudkan persekitaran pembelajaran secara kendiri. Elemen seperti video, audio, grafik dan teks mendedahkan pelajar kepada persekitaran pembelajaran yang menarik. Di samping itu, aplikasi laman web pembelajaran sebagai platform pembelajaran juga menggalakkan pembelajaran secara kendiri dalam kalangan pelajar.

Perkara ini menunjukkan bahawa para pendidik perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan berinovasi mengikut keperluan pelajar.  Persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menarik akan menggalakkan interaksi dan kerjasama dalam kalangan pelajar di dalam kelas.

Aplikasi teknologi termasuklah multimedia interaktif juga menggalakkan pelajar untuk lebih aktif dan seronok sepanjang pembelajaran berlangsung. Pelibatan pelajar secara aktif dalam pembelajaran berbantukan teknologi dapat menarik minat pelajar. Penggunaan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja memudahkan tugasan guru, malah pelajar juga dapat berinteraksi dan berkomunikasi melalui pembelajaran yang dibantu oleh multimedia interaktif.

Oleh itu, para pendidik perlu mengoptimumkan aplikasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran agar seiring dengan keperluan semasa. Hal ini juga adalah penting untuk mendidik pelajar supaya tidak mudah merasa jemu dan bosan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara konvensional. Di samping itu, para pendidik juga perlu memiliki kemahiran teknologi dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran yang berkesan mengikut keperluan pelajar pada masa ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.