19 September 2022, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – “Sebagai kementerian yang menerajui sains, teknologi dan inovasi negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa penyelidikan dan pembangunan. Sejak tahun lalu, MOSTI telah memperuntukkan sebanyak RM17.16 juta untuk pembiayaan program penyelidikan strategik.”

Demikian ucapan perasmian Sambutan Jubli Emas Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Menurut beliau, penggubalan Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) kini berada dalam fasa terakhir untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri. Penggubalan dasar ini bertujuan untuk memperkasa ekosistem teknologi nuklear negara dan menunjukkan komitmen berterusan antara MOSTI dengan Nuklear Malaysia dalam usaha memacu negara menjadi sebuah negara yang berteknologi tinggi pada masa hadapan.

Tambah beliau lagi, DTNN akan menjadi pemangkin kepada perkembangan kemajuan dan pembangunan teknologi nuklear di Malaysia. Dengan adanya dasar ini, segala usaha yang dilaksanakan akan memberikan impak dan nilai yang berharga dalam pembangunan teknologi nuklear di negara ini.

Sepanjang 50 tahun penubuhan Nuklear Malaysia, pelbagai kejayaan telah dilakarkan bukan sahaja di dalam negara, malah pada peringkat antarabangsa.

Saya yakin bahawa semua kejayaan yang dicapai ini merupakan cerminan bakat, kepakaran dan keupayaan Nuklear Malaysia dalam menterjemahkan operasi dan penyampaian perkhidmatan bukan sahaja untuk komuniti sains dan penyelidik, malah kepada kerajaan, industri dan masyarakat.

Tidak ketinggalan, dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru agar Nuklear Malaysia lebih proaktif mengadakan program kesedaran bagi menghakis persepsi bahawa teknologi nuklear adalah bahaya. Masyarakat perlu diberikan penjelasan tentang hal ini dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Masyarakat juga perlu mengetahui tentang kelebihan teknologi nuklear yang digunakan secara selamat serta memberikan manfaat kepada mereka.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba merasmikan Sambutan Jubli Emas Nuklear Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Abdul Rahim Harun berkata, “Kita harus berbangga kerana telah berjaya membangunkan dan mengoperasikan kemudahan teknologi nuklear selama lebih 40 tahun tanpa menimbulkan sebarang kemudaratan sama ada kepada manusia atau alam sekitar di Malaysia. Di sinilah peranan penting semua pihak dalam memantapkan penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear yang bergerak seiring dengan keperluan ekonomi serta mentransformasikan negara daripada status pengguna teknologi kepada pembangunan teknologi.”

Dalam menyokong aspirasi Keluarga Malaysia, beliau menyatakan bahawa Sambutan Jubli Emas Nuklear Malaysia ini adalah selaras dengan agenda MOSTI, iaitu “Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi”. Sambutan 50 tahun ini akan berlangsung hingga Disember 2022 yang membolehkan pengunjung melawat dan melihat teknologi yang telah dan sedang dibangunkan sejak 40 tahun lalu seperti penggunaan teknologi nuklear dalam bidang perubatan, bioteknologi, alam sekitar, industri dan pembuatan.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada MOSTI kerana menyokong aktiviti yang dijalankan oleh Nuklear Malaysia dari dahulu hingga sekarang. Beliau mengharapkan lebih banyak penyelidikan dan pembangunan yang akan dijalankan dan dapat dipasarkan sehingga dapat dirasai oleh masyarakat akan kesan dan manfaat teknologi nuklear tersebut dalam memakmurkan rakyat di negara ini.

Mengulas lebih lanjut tentang hal ini, perancangan rapi yang diterjemahkan dalam Wawasan Nuklear Malaysia 2020-2030 sedang giat dilaksanakan. Pelan pelaksanaan Wawasan Nuklear Malaysia 2020-2030 yang sistematik ini akan menjadi asas kepada Nuklear Malaysia untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara melalui teknologi nuklear demi keamanan sejagat.

Sokongan daripada semua pihak adalah diperlukan untuk terus memainkan peranan dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear untuk kepentingan keamanan negara dan kestabilan ekonomi dalam mendepani teknologi baharu yang sedang giat dijalankan kini.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan bingkai gambar istimewa Dewan Kosmik Edisi Khas terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan kepada YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan menyerahkan bingkai gambar istimewa Dewan Kosmik Edisi Khas kepada YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba.
Majalah Dewan Kosmik Edisi Khas.

Penyerahan bingkai gambar istimewa ini adalah sebagai tanda penghargaan DBP kepada Nuklear Malaysia atas kerjasama yang diberikan dalam penerbitan penulisan berimpak tinggi yang ditulis oleh para pegawai penyelidik Nuklear Malaysia.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, YBrs. Dr. Nagulendran A/L Kangayatkarasu, Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat dan Ketua Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.