14 September 2022, 23:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Pertanian telah menganjurkan Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2022 yang bertemakan “Pemerkasaan Biosekuriti Tumbuhan Menjamin Sekuriti Makanan Negara” dan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, Yang Berhormat Datuk Dr. Ronald Kiandee berkata Jabatan Pertanian yang merupakan sebahagian daripada Organisasi Perlindungan Tumbuhan Kebangsaan perlu memastikan pelaksanaan biosekuriti tanaman dan tumbuh-tumbuhan sebagai keutamaan ke arah amalan pertanian yang mampan.

Peruntukan pembangunan MAFI melalui Rancangan Malaysia Ke-11 dan Rancangan Malaysia Ke-12 membabitkan pelaksanaan pelbagai program termasuklah penambahbaikan sistem kemudahan import dan eksport bagi memenuhi pematuhan piawaian sanitasi dan fitosanitasi antarabangsa.

Tambahnya lagi, peruntukan ini juga adalah untuk memastikan sistem biosekuriti negara sentiasa tersedia untuk melindungi sektor pertanian dan biodiversiti negara daripada kemasukan dan kemerebakan perosak serta penyakit tanaman.

“Hal ini disebabkan oleh hampir 40 peratus tanaman makanan musnah akibat serangan perosak dan penyakit tumbuhan pada setiap tahun dan Malaysia juga tidak terkecuali dalam menghadapi fenomena ini. Hal ini juga menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk pengurusan dan program penghapusan,” jelasnya lagi.

Menurutnya, semua agensi di bawah MAFI telah diarahkan untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika Monsun Timur Laut pada tahun ini yang dijangka bermula pada November hingga Mac tahun depan.

“Selain bantuan disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha bagi memastikan aspek keselamatan makanan. Hal ini disebabkan oleh banjir merupakan antara ancaman tahunan yang sering dihadapi dalam sektor agromakanan.

Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2022 yang berlangsung selama dua hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran berkaitan dengan kepentingan biosekuriti tumbuhan kepada kumpulan sasar. Simposium ini juga diharapkan dapat menyalurkan maklumat teknikal kepada golongan sasar seperti jabatan dan agensi di bawah MAFI, institusi penyelidikan, pengeksport, pengimport, persatuan yang berkaitan dengan pengeksportan dan pengimportan hasil pertanian serta entiti yang berkaitan dengan agropelancongan selain membentuk jaringan kerjasama dan perkongsian maklumat serta kepakaran antara Jabatan Pertanian dengan kumpulan sasar.

Majlis Perasmian Simposium Biosekuriti Tumbuhan 2022 boleh ditonton secara langsung secara dalam talian melalui laman Facebook MAFI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.