13 September 2022, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Bersempena dengan majlis penutupan rasmi Program Nanoteknologi Kebangsaan (NanoKEB) 2022, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba telah melancarkan Malaysia Nanotechnology Industrial Group (MNIG) yang menghimpunkan pemain industri nanoteknologi di Malaysia.

MNIG disasarkan untuk menjadi pelantar terbaik ke arah pelibatan lebih banyak industri, terutamanya bagi sektor perusahaan kecil dan sederhana serta pemain ekosistem inovasi tempatan dalam bidang teknologi untuk mengurangkan jurang ekosistem nanoteknologi negara.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba, penubuhan MNIG ini mampu membantu industri nanoteknologi pada peringkat serantau dengan mengambil peluang perkembangan pasaran nanoteknologi Asia Pasifik yang diunjurkan mencapai lebih USD2.6 trilion pada tahun 2025.

Ekonomi negara dapat dipacu melalui teknologi dan produk nano tempatan sekali gus mencapai nilai pasaran pada peringkat global dan Asia Pasifik dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk berasaskan teknologi tinggi pada peringkat ASEAN.

Selain itu, sumbangan PKS dalam industri nanoteknologi berpotensi tinggi terhadap ekonomi negara. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat lebih daripada 900 produk dengan teknologi nano berada dalam pasaran Malaysia yang bernilai RM381.8 juta pada tahun 2020. Nilai jualan produk nano tempatan yang telah mendapat pensijilan NanoVerify juga telah meningkat kepada RM441.9 juta dan diunjurkan terus meningkat kepada RM490.1 juta pada tahun ini.

Tambah beliau lagi, banyak faedah sosioekonomi akan dinikmati oleh Keluarga Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang seperti yang telah disarankan dalam Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025.

Antara faedah sosioekonomi yang dapat diperoleh termasuklah penciptaan lebih tiga puluh ribu peluang pekerjaan baharu, terutamanya yang berkemahiran tinggi, penghasilan lebih 50 orang usahawan nano dan potensi sumbangan lebih RM150 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.

MNIG akan mewakili industri nanoteknologi di Malaysia dan dianggotai oleh wakil industri berkaitan dengan nanoteknologi. MNIG juga berperanan sebagai medium untuk menjalin kerjasama erat antara syarikat nanoteknologi, PKS dan pemegang taruh yang lain serta membantu penyelarasan antara syarikat dalam rantaian bekalan produk teknologi nano.

Di samping itu, MNIG turut bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan pentadbiran, nasihat atau kawalan kewangan, sokongan dan maklumat kesetiausahaan kepada ahlinya selain menyediakan perwakilan industri, nasihat peraturan, advokasi perniagaan, pensijilan pengesahan, dan keselamatan serta bantuan nasihat yang kos efektif dalam bidang dasar industri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.