8 September 2022, 18:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyebarluaskan ilmu Sains dalam bahasa kebangsaan terus mendapat pengiktirafan apabila memenangi dua kategori anugerah menerusi penulisnya dalam Anugerah PERSAMA 2022. Kategori yang dimenangi ialah Kategori Buku Karya Asli dan Kategori Rencana Popular. Dengan tema Sains Matematik Wahana Pembentukan Ilmuwan Cemerlang Demi Kesejahteraan Sejagat, majlis anugerah ini meneruskan keunikannya untuk kali kedua apabila diadakan secara dalam talian pada 8 September 2022 menerusi aplikasi Microsoft Teams.

Bagi Kategori Buku Karya Asli, kumpulan artikel yang diketuai oleh Profesor Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain dinobatkan sebagai pemenang utama dengan buku bertajuk Unsur Etnosains Matematik Malayonesia (Jilid 2 dan 3). Buku ini ialah Siri Monograf Sejarah Bahasa Melayu yang ditangani oleh Puan Normala Mohd Yusof, Editor dari Bahagian Buku Bahasa, DBP.

Kategori Buku (Karya Asli) yang dimenangi oleh DBP.

Bagi Kategori Rencana Popular pula, artikel Dr. Kassim Bahali dipilih sebagai pemenang Hadiah Sanjungan dengan tajuk artikel “Hubungan Matematik dengan Astronomi dalam Penentuan Waktu Solat”. Artikel yang diterbitkan dalam Dewan Kosmik keluaran Disember 2021 ini ditangani oleh Puan Ritah Yahaya, Editor dari Bahagian Majalah, DBP.

DBP memenangi Kategori Rencana Popular.

Menurut Puan Ritah Yahaya, sebagai kolumnis, Dr. Kassim tidak lokek berkongsi ilmu dan kepakaran beliau dengan khalayak pembaca Dewan Kosmik berkaitan dengan bidang Sains, khususnya dalam bidang Astronomi. Malah, artikel beliau disampaikan dengan sangat baik serta mudah, dan dijelaskan dengan menarik dan berkesan dalam bahasa kebangsaan. Menurut Puan Ritah lagi, anugerah PERSAMA ini merupakan anugerah berprestij yang menjadi platform terbaik untuk memberikan pengiktirafan kepada penulis terbaik di negara ini mengikut genre masing-masing dalam bidang Sains dan Matematik. Anugerah ini sewajarnya diteruskan dan diangkat sebagai anugerah pada peringkat negara.

Puan Ritah Yahaya menunjukkan gambar artikel yang memenangi Kategori Rencana Popular.

Majlis Anugerah PERSAMA 2022 ini diadakan bersempena dengan Simposium Kebangsaan Sains Matematik (SKSM) ke-29 yang dianjurkan secara bersama-sama oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Sains Matematik (PERSAMA). Simposium ini juga diadakan secara maya selama dua hari, iaitu pada 7 September hingga 8 September 2022.

Menurut Dekan Fakulti Sains dan Teknologi USIM, Profesor Dr. Rosalina Abdul Salam,  selaku perasmi bagi majlis ini, objektif simposium ini masih mampu tercapai walaupun diadakan secara maya. Usaha penganjuran ini juga diharapkan mampu menjadi wadah untuk memupuk dan menanamkan ilmu Matematik dalam diri setiap individu bermula daripada peringkat awal. Hal ini penting supaya sasaran kerajaan, iaitu nisbah 60 peratus pelajar Sains dan 40 peratus pelajar Sastera tercapai, walaupun permintaan terhadap aliran Sains menunjukkan aliran penurunan.

Profesor Dr. Rosalina Abdul Salam, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, USIM menyampaikan ucapan perasmian.

Bagi Presiden PERSAMA, Profesor Dr. Maslina Darus pula yang merupakan, misi PERSAMA adalah untuk meletakkan Sains dan Matematik pada tahap yang tinggi. Tanggungjawab ini perlu digalas walaupun terpaksa menempuhi pelbagai rintangan dan cabaran, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hasilnya, bagi penganjuran SKSM kali ini, sebanyak 146 penyertaan diterima daripada pelbagai universiti, institusi penyelidikan, penerbit serta sekolah untuk tujuh kategori Anugerah PERSAMA yang dipertandingkan.

Profesor Dr. Maslina Darus menyampaikan ucapan sebagai Presiden PERSAMA.

Selain dua kategori yang dimenangi oleh DBP ini, Anugerah PERSAMA ini juga turut mempertandingkan lima kategori yang lain. Kategori Tesis Doktor Falsafah dimenangi oleh Dr. Iskandar Waini dengan tesis bertajuk “Aliran Lapisan Sempadan dan Pemindahan Haba pada Permukaan Meregang/Mengecut dalam Nanobendalir Hibrid”. Kategori Makalah Ilmiah dimenangi oleh Profesor Dr. Zanariah Abdul Majid, Puan Nur Tasnem Jaaffar dan Profesor Madya Dr. Norazak Senu dengan tajuk “Numerical Computation of Third Order Delay Differential Equations by Using Direct Multistep Method”.

Seterusnya, Kategori Reka Cipta Matematik dimenangi oleh Profesor Madya Dr. Norhayati Rosli, Encik Muhammad Fahmi Ahmad Zuber dan Dr. Noryanti Muhammad dengan menghasilkan rekaan yang bertajuk “Pandemic Preparedness Simulation Tool”. Kategori Buku (Karya Terjemahan) pula tidak memperoleh sebarang penyertaan, manakala Kategori Tesis (Sarjana) tidak mempunyai pemenang.

Selain pemenang Anugerah PERSAMA, turut disampaikan Anugerah Felo PERSAMA 2022. Anugerah ini diberikan kepada Profesor Dr. Suzeini Abd Halim, dari Jabatan Matematik, Universiti Malaya (UM) yang telah menghasilkan lebih daripada 100 penulisan ilmiah dan akademik.

Sebagai penutup, Pengerusi SKSM ke-29, Profesor Madya Dr. Nurfadhlina Abdul Halim  berharap agar SKSM meneruskan kerelevenannya sebagai medium untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dalam bidang Sains dan Matematik. Sebelum majlis berakhir, Pengerusi SKSM ke-29 ini menyerahkan penganjuran SKSM yang seterusnya kepada Universiti Malaysia Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.