3 September 2022, 19:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengenal pasti lima buah hospital di Malaysia yang akan dijadikan sebagai Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS).

Menurut Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin dalam Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan NITS yang diadakan semalam, lima hospital tersebut terdiri daripada Hospital Putrajaya, Hospital Tunku Azizah, Hospital Bera dan Hospital Rembau dan Institut Kanser Negara (IKN).

Menteri MOSTI, YB Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin melawat pameran selepas Majlis Pelancaran Hab Teknologi Kesihatan NITS di Bukit Jalil.

Kelima-lima lokasi ini akan dikenali sebagai pusat sehenti bagi sektor kesihatan untuk mencungkil potensi bagi menghadapi cabaran sektor kesihatan yang semakin  meningkat di negara ini di samping menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dengan penggunaan teknologi dan inovasi.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Seri Dr Adham Baba, pelaksanaan Hab Teknologi Kesihatan NTIS ini dicadangkan di tiga lokasi di dalam bandar, iaitu Hospital Putrajaya, Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak) di Kuala Lumpur dan IKN.

“Ketiga-tiga lokasi ini dipilih atas kesediaan infrastruktur teknologi, tenaga mahir, integrasi dengan teknologi semasa seperti Internet dan 5G, perkakasan dan pemahaman teknologi terkini,” katanya lagi.

Sementara itu, pemilihan dua buah hospital di luar bandar, iaitu Hospital Bera dan Hospital Rembau pula telah dikenal pasti bagi pengujian teknologi seperti robot, Internet Benda dalam perubatan dan kemudahan 4G atau 5G.

Hab Teknologi Kesihatan NTIS merupakan inisiatif MOSTI dengan Malaysian Research Accelator for Technology and Innovation (MRANTI) selaku Sekretariat  Utama.

Menteri MOSTI juga mengumumkan bahawa hab ini akan disokong oleh Kluster Penjagaan Kesihatan Bersepadu MRANTI yang berkeluasan 10 ekar yang akan mempercepat penerokaan dan pembangunan kerja dalam penjagaan kesihatan dan teknologi perubatan, menawarkan program pembangunan kapasiti, makmal dan kemudahan penyelidikan untuk ujian tegasan terhadap idea, prototaip, aplikasi dan pelbagai bidang yang berkaitan.

(Sumber: Facebook KKM)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.