3 September 2022, 12:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Seminar Sarawak Le Tour De Borneo – From Perlis to East Malaysia 2022 anjuran Persatuan Pakar Perubatan Dalaman Maju dan Akut serta Ultrabunyi Malaysia (MAAIMUSS) Perlis di Auditorium Clinical Research Centre, Hospital Umum Sarawak pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Presiden MAAIMUSS, Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra yang merangkap Penaung MAAIMUSS bertitah bahawa negara perlu lebih bersedia dan menambahbaik perkhidmatan di sektor kesihatan untuk menghadapi sebarang gelombang mahupun krisis kesihatan pada masa hadapan.

Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah semasa berangkat menyempurnakan perasmian Seminar Sarawak Le Tour De Borneo – From Perlis to East Malaysia 2022.

Pada masa ini, tumpuan harus diberikan kepada gelombang seterusnya, iaitu penyakit tidak berjangkit (NCD). Gelombang ini dijangka akan berpanjangan berbanding dengan gelombang pandemik COVID-19. Sekiranya petugas sektor kesihatan tidak bersedia secukupnya untuk menghadapi gelombang NCD ini, hal ini akan memberikan kesan yang lebih besar terhadap sistem penjagaan kesihatan dan mampu meruntuhkan sektor kesihatan Malaysia.

Tambah baginda lagi, sektor kesihatan di Malaysia harus sentiasa berinovasi dan mengamalkan amalan terbaik bagi menjadikan sistem penjagaan kesihatan negara lebih maju ke hadapan, berdaya tahan dan cekap.

Baginda juga menyeru rakyat untuk sama-sama bersiap sedia untuk mempelajari dan mengambil pedoman daripada pihak luar bagi menyesuaikan sesuatu amalan yang positif untuk dilaksanakan dalam sistem penjagaan kesihatan tempatan, misalnya amalan dalam Perubatan Dalaman Maju dan Akut.

Baginda juga berharap agar MAAIMUSS akan terus menerajui kaedah penggunaan Bedside Point of Care Ultrasound di seluruh negara.

Keperluan dan manfaat program sebegini mampu memberikan kesan yang besar. Seharusnya, inisiatif ini diperluaskan ke seluruh negara bagi membolehkan sektor kesihatan di setiap negeri akan mendapat manfaat daripada kemahiran masing-masing di samping menggalakkan perkongsian dan pembelajaran antara negeri. Inisiatif ini boleh dijayakan dengan kerjasama yang erat antara semua pihak.

DYTM Raja Muda Perlis dan  DYTM Raja Puan Muda Perlis dalam Seminar Sarawak Le Tour De Borneo – From Perlis to East Malaysia 2022 di Auditorium Clinical Research Centre, Hospital Umum Sarawak.

Menurut baginda, MAAIMUS di negeri Perlis dan Sarawak telah mengambil inisiatif dan langkah awal dalam menjayakan program ini. Baginda juga menyeru semua pihak dalam institusi kesihatan untuk terus memberikan sokongan bagi memastikan impak program sebegini akan terus membawa manfaat kepada negara.

DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis bersama-sama staf Hospital Umum Sarawak.

Dalam majlis yang sama, Datuk Seri Profesor Dr. Paras Doshi memaklumkan bahawa matlamat utama yang perlu dicapai adalah memastikan agar setiap doktor mempelajari kaedah mengimbas pesakit secara terus dan seterusnya dapat menyumbang bakti kepada mereka yang memerlukannya semasa menghadapi sebarang krisis atau pandemik kesihatan.

“Sokongan daripada semua pihak amatlah diperlukan bagi memastikan kesinambungan matlamat yang ingin dicapai dapat direalisasikan dengan baik,” tambahnya lagi.

Hospital Tuanku Fauziah kini dijadikan sebagai model teladan atas kejayaannya dalam melaksanakan bidang yang baharu ini. Hal ini telah terbukti dapat mengurangkan beban HTF termasuklah dalam penjimatan kos yang lebih efektif.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr. Ngian Hie Ung.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.