29 Ogos 2022, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lembaga Angkasa Malaysia yang bersidang buat pertama kalinya pada 25 Ogos lalu secara dasarnya bersetuju agar kerajaan meratifikasi triti angkasa lepas antarabangsa selaras dengan keutamaan dan kepentingan negara.

Keutamaan semasa kerajaan ketika ini ialah triti berkaitan dengan keselamatan dan liabiliti yang terkait isu penemuan objek disyaki roket di sekitar Sarawak pada hujung bulan Julai yang lalu.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu sidang media yang diadakan.

Mengulas lanjut berkaitan dengan isu penemuan objek yang disyaki tersebut, MOSTI memaklumkan bahawa perkara berkenaan sedang dalam siasatan lanjut pihak Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Mesyuarat pertama Lembaga Angkasa Malaysia pada 25 Ogos 2022.

Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 telah diwartakan pada 25 Januari 2022 dan tarikh 4 Ogos 2022 pula telah ditetapkan sebagai tarikh kuat kuasa Akta 834 bagi Bahagian I, II, VII, IX Seksyen 64 dan Seksyen 62 oleh Menteri MOSTI, YB Dato’ Seri Dr. Adham Baba.

Fungsi utama Lembaga Angkasa Malaysia adalah untuk mengawal selia segala aktiviti berkaitan dengan angkasa bagi tujuan keselamatan, pendaftaran objek angkasa dan peruntukan bagi kesalahan aktiviti angkasa.

Lembaga ini juga akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, selamat, terjamin serta mematuhi segala peraturan dan piawaian yang dipersetujui pada peringkat antarabangsa.

Di samping itu, lembaga ini bertanggungjawab untuk menasihati kerajaan Malaysia mengenai perkara berhubung dengan pelaksanaan dan pentadbiran Akta 834 selain melaksanakan atau mengadakan peruntukan bagi pelaksanaan obligasi yang berbangkit daripada perjanjian, konvensyen atau triti antarabangsa berkaitan dengan akta ini.

(Sumber gambar: Facebook MOSTI)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.