22 Ogos 2022, 22:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – “Industri perbukuan negara memainkan peranan penting dalam membentuk generasi Malaysia yang bertamadun dan berdaya saing. Generasi muda, terutamanya daripada golongan kanak-kanak hingga remaja wajar diberikan pendedahan berkenaan dengan perkembangan dan transformasi industri perbukuan negara kerana mereka merupakan golongan yang akan bertanggungjawab dalam meneruskan industri ini kelak”.

Demikian ucapan perasmian Anugerah Buku Negara 2022 oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian yang diadakan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan UPM yang telah berusaha untuk merealisasikan program yang dilaksanakan sepanjang Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 ini berlangsung.

Menurut beliau, acara penganugerahan seperti ini perlu diperkasa. Hal ini dikatakan demikian kerana penganugerahan ini merupakan landasan yang baik untuk membangun dan meningkatkan penyertaan semua pihak dalam ikhtiar mengisi Wawasan Kemakmuran Bersama Keluarga Malaysia yang sedang dilaksanakan kini.

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut memajukan enam agenda utama untuk melahirkan generasi Malaysia pendidikan tinggi yang berkaliber dan berperadaban, iaitu (1) memperkasa pendidikan digital dengan memanfaatkan teknologi berkomputer, (2) memantapkan jaringan strategik swasta dengan memperkasa kerjasama antara pihak industri dengan pusat pengajian tinggi, (3) memperkukuh kebolehpasaran graduan dengan menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menangani isu pengangguran, (4) memacu kesejahteraan komuniti dengan menekankan keperluan untuk menggiatkan lebih banyak sumbangan akademik kepada komuniti (5) merakyatkan kecemerlangan institusi dengan memberikan naratif baharu kepada model bisnes syarikat induk dan anak-anak syarikat universiti awam serta (6) menyemarakkan semangat #KPTPrihatin dengan menerapkan elemen kebajikan kepada graduan institut pengajian tinggi dan warga kerja KPT.

Inisiatif bagi membangunkan kecemerlangan rakyat dan negara serta pelibatan pihak industri seperti ini harus disokong oleh semua pihak agar dapat membantu memajukan industri buku negara dan seterusnya membina masyarakat berilmu menerusi budaya suka meningkatkan pengetahuan, menulis dan membaca yang berteraskan pendidikan dan sumber kreatif sekali gus memberikan manfaat besar kepada kemajuan dunia, bangsa, Keluarga Malaysia, dan negara.

YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian mengucapkan selamat maju jaya kepada YPBN, UPM dan rakan strategik yang telah berganding bahu bekerja keras dalam merealisasikan matlamat dan hasrat kerajaan dalam membina Malaysia yang lebih progresif serta dinamik melalui tabiat membaca dan menulis.

YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian bersama-sama para penerima Anugerah Buku Negara 2022.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN, YBhg. Tan Sri Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latif Abu Bakar mengucapkan rasa syukur kerana penganjuran Ekspo Buku Malaysia dan Persidangan Buku Antarabangsa 2022 yang pertama kali diadakan pada peringkat universiti berjalan dengan lancar.

Mengulas lebih lanjut, beliau menyatakan bahawa Anugerah Buku Negara yang disampaikan kepada para penerima pada hari ini merupakan suatu penghormatan dan anugerah yang sangat menarik lebih-lebih lagi apabila mendapat sokongan daripada pihak KPT. Dalam majlis penyampaian anugerah seperti ini membolehkan penerima anugerah bertemu dengan tokoh tanah air, generasi muda dan generasi lama sekali gus dapat memanfaatkannya sebagai satu pertemuan ilmuan.

Seperkara lagi, beliau berkata dengan adanya ekspo buku seperti ini dapat menimbulkan rasa minat pelajar untuk berusaha menerbitkan buku, misalnya tentang kisah kehidupan mereka dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penerbitan buku dalam kalangan pelajar ini perlulah di bawah pengawasan pihak hal ehwal pelajar universiti masing-masing.

Setelah selesai sesi penyampaian Anugerah Buku Negara, turut diadakan pelancaran buku Pantun Teka-Teki Fikir dan Tafsir, buku Bahasa dan Identiti Kepimpinan Khaled Nordin dalam Pendidikan Tinggi Negara serta buku Politik, Etnisiti dan Peradaban: Malaysia Pasca 2020. Majlis tamat dengan sesi lawatan ke tapak Ekspo Buku Malaysia.

YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian melawat tapak Ekspo Buku Malaysia.

SENARAI PENERIMA ANUGERAH BUKU NEGARA 2022

Kategori Anugerah Perdana: Penerbit Profilik

Penerima: Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Kategori Anugerah Perdana: Penerbit Universiti Harapan

Penerima: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia

 

Kategori Anugerah Perdana: Kepimpinan Penerbit Pengajian Tinggi

Penerima: Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan

 

Kategori Anugerah Perdana: Tokoh Penerbit Novel Profilik

Penerima: Dato’ Sri Wan Mohd Muzri Ramli

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Perniagaan dan Ekonomi Terbaik

Judul: Pemerkasaan Aktiviti Pengkomersialan Produk Penyelidikan di Universiti

Penyunting: Norain Ismail, Zawiah Mat dan Sazelin Arif

Penerbit: Universiti Teknikal Malaysia Melaka

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Seni dan Kreatif Terbaik

Judul: Tutorial Ilustrasi Digital Motosikal

Penulis: Ghazali Daimin

Penerbit: Universiti Teknologi Mara

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Mewah Terbaik (Penyelidikan dan Fotografi)

Judul: Ular Darat Malaysia

Penulis: Norhayati Ahmad, Daicus Belabut dan Chan Kin Onn

Penerbit: Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Sains dan Teknologi Terbaik

Judul: Digital Image Processing and Computer Vision Fundamental and Applications

Penulis: Othman O. Khalifa

Penerbit: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Alam Semula Jadi Terbaik (Lestari)

Judul: Lower Kinabatangan Premier Competitive Sustainable Ecotourism Destination

Penulis: Jennifer Chan Kim Lian, Kamarul Mizal Marzuki, Fiffy Hanisdah Saikim, dan Tini Maizura Mohtar

Penerbit: Universiti Malaysia Sabah

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Alam Semula Jadi Terbaik (Penyelidikan)

Judul: Tinosfora Crispa Akar Patawali Health Benefits of Bitter Taste

Penulis: Hazrulrizawati Abd Hamid

Penerbit: Universiti Malaysia Pahang

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Sains dan Teknologi Terbaik

Judul: Scientific Evidence Malaysian Medical Plants with Wound Healing Properties

Penulis: Sharifah Sakinah Syed Alwi, Seri Narti Edayu Sarchio, Mohd Firdaus Ismail, Henna Roshini Alexander, dan Latifah Saiful Yazan

Penerbit: Universiti Putra Malaysia

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Islamik Terbaik

Judul: Allah Menurul Al-Ghazali

Penulis: Mohd Fauzi Hamat dan Mohd Hasrul Shuhari

Penerbit: Universiti Malaya

 

Kategori Anugerah Pengajian Tinggi: Buku Perisian Multimedia Terbaik

Judul: Pembangunan Perisian Multimedia untuk Kanak-kanak Prasekolah

Penulis: Nor Azah Abdul Aziz, Norasikin Fabil dan Zawawi Ismail

Penerbit: Universiti Sultan Zainal Abidin

 

Kategori Anugerah Industri: Buku Umum Terbaik (Pengurusan Organisasi)

Judul: Sarwajagat Kepimpinan Islam dalam Pengurusan Organisasi

Penulis: Ab Aziz Yusof dan Muhammad Afif Mohd Badrol

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Kategori Anugerah Industri: Novel Terbaik

Judul: Dia Tetap Sempurna

Penulis: Anjell

Penerbit: Karya Seni Sdn. Bhd.

 

Kategori Anugerah Industri: Buku Umum Terbaik (Terjemahan)

Judul: Imam Al-Bukhari Terjemahan Al-Adab Al-Mufrad Sunnah dalam Beradab dan Kelebihan Beramal Mulia

Penulis: Imam Al-Bukhari “Penterjemah: Sidang Penterjemah Seliaan Telaga Biru”

Penerbit: Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Kategori Anugerah Industri: Buku Umum Terbaik (Biografi)

Judul: Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad Anak Nan Bertuah

Penulis: Mohd Yusof Hasan

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Kategori Anugerah Industri: Buku Umum Terbaik (Pengajian Al-Quran)

Judul: Panduan Lengkap Ilmu Tajwid: Riwayat Hafs daripada Qiraat ‘Asim melalui Toriq Al-Syatibiyyah

Penulis: Dr. Khairul Anuar Mohamad dan Ustaz Abu Iskandar

Penerbit: Adab Sinergi Sdn. Bhd.

 

Kategori Anugerah ASEAN: Buku Umum Terbaik (Islamik)

Penerima: Penerbit Buku Sejarah Melayu, Dato’ Dr. Ahmad Dahlan

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.