17 Ogos 2022, 13:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ceri kampung atau Muntingia calabura tergolong dalam keluarga Muntingiaceae. Pokok ini berasal daripada Amerika Tengah tetapi telah ditanam secara meluas di kebanyakan negara yang beriklim tropika seperti Brazil, China, India, Filipina, dan Malaysia. Lazimnya, tanaman ini tumbuh secara meliar, namun terdapat sesetengah masyarakat menanamnya di halaman rumah.

Pokok ceri kampung.

Pokoknya yang rendang dan bercabang menjadi tempat tarikan kanak-kanak untuk berteduh dan bermain. Buahnya yang kecil dan berwarna merah-kemerahan bukan sahaja menarik minat manusia, bahkan menjadi tarikan haiwan seperti burung. Buah ceri kampung ini rasanya amat manis ketika masak ranum. Namun begitu, kebanyakan orangĀ  tidak mengetahui tentang khasiat yang boleh diperoleh daripada pokok ini.

Khasiat Pokok Ceri Kampung

Berdasarkan penulisan Farah Eliani dalam SinarPlus, terdapat enam khasiat daun pokok ceri kampung yang dibincangkan. Antara khasiatnya ialah dapat menurunkan bacaan kencing manis, menyembuhkan luka dan kudis, mencegah kanser, meredakan rasa sakit akibat keradangan, menurunkan kadar kolesterol, dan menurunkan bacaan darah tinggi.

Walau bagaimanapun, sejauh manakah kebenaran khasiat yang dinyatakan tanpa bukti kajian saintifik? Secara umumnya, kita mengetahui bahawa masyarakat tradisional Melayu sememangnya menggunakan bahan daripada sumber alam semula jadi untuk merawat pelbagai penyakit. Namun begitu, dalam arus pemodenan pada masa ini, kajian terperinci perlu dilaksanakan bagi membuktikan khasiat sesuatu pokok atau tanaman yang digunakan sebagai ubat tradisional untuk tujuan penyembuhan beberapa penyakit.

Bukti Saintifik

Hasil pembacaan umum melalui penulisan kajian saintifik, terdapat beberapa orang saintis di Malaysia telah membuat analisis terhadap ekstrak daun pokok ceri dan telah menguji tindak balas tersebut ke atas kehadiran sebatian aktif semula jadi, iaitu antioksidan yang bertindak balas dengan aktiviti radikal bebas yang memberikan kesan terhadap proses penuaan dan penyebab pelbagai penyakit kronik.

Penulis sendiri telah menjalankan kajian terhadap kehadiran sebatian aktif semula jadi daripada ekstrak buah ceri kampung tempatan bagi kedua-dua buah ranum dan muda. Kajian tersebut dilakukan bagi menguji kehadiran sebatian semula jadi sebagai agen antibakteria dan mengira kuantiti kandungan fenolik yang dikaitkan dengan aktiviti antioksidan.

Hasil kajian tersebut telah membuktikan bahawa ekstrak buah ceri kampung tempatan mengandungi sebatian aktif semula jadi yang berpotensi sebagai agen antibakteria dan mungkin mengandungi sebatian antioksidan yang tinggi. Oleh itu, kajian terhadap pokok ceri kampung tempatan adalah perlu kerana mempunyai potensi yang tinggi dalam nilai perubatan yang boleh dimodenkan. Tambahan pula, pokok ceri kampung ini mudah didapati dan boleh ditanam secara meluas.

Pemerhatian perencatan zon ekstrak buah ceri kampung terhadap aktiviti bakteria seperti Staphylococcus aureus (A), Bacillus subtilis (B), Klebsiella pneumoniae (C), dan Escherichia coli (D) melalui kaedah penyebaran cakera.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.