15 Ogos 2022, 17:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pendermaan organ merupakan amalan yang mulia, namun masih ramai orang yang ragu-ragu untuk menjadi sebahagian daripada pengikrar derma organ di negara ini. Malaysia merupakan antara negara terendah yang mempunya bilangan penderma organ di dunia. Pelbagai persepsi berkaitan dengan isu pendermaan organ telah mendorong terjadinya hal ini.

Kempen kesedaran pendermaan organ acap kali dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuklah Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan yang pada kebiasaannya berlangsung pada pertengahan bulan Ogos setiap tahun. Minggu kesedaran ini diadakan bersempena dengan tarikh 13 Ogos yang telah dipilih sebagai Hari Pendermaan Organ Sedunia oleh beberapa buah negara seperti India dan United Kingdom.

Pendermaan organ atau tisu ialah proses mendermakan sebahagian organ atau tisu daripada badan untuk tujuan pemindahan kepada orang lain yang memerlukan disebabkan oleh kegagalan atau kerosakan organ atau tisu tersebut. Selepas pemindahan organ, seseorang itu dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Menurut Penyelaras Unit Bank Tisu, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Suzina Sheikh Abdul Hamid, pendermaan organ dan tisu adalah satu daripada amalan kemanusiaan yang mulia kerana berjaya menyelamatkan satu nyawa dan memberikan nafas baharu yang lebih sempurna kepada penerimanya.

Pemindahan organ di Malaysia dikendalikan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) berdasarkan Akta Tisu Manusia 1974 dan pelbagai polisi serta garis panduan. Secara umumnya, terdapat dua bentuk pendermaan organ, iaitu pendermaan organ semasa hidup dan pendermaan organ kadaverik atau selepas kematian.

Pendermaan Organ Semasa Hidup Pendermaan Organ Selepas Kematian
Boleh mendermakan jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, kornea mata, injap jantung, tulang, dan kulit. Hanya boleh mendermakan satu buah pinggang dan sebahagian hati sahaja.
Pendermaan selepas mendapat keizinan daripada ahli keluarga si mati. Pendermaan organ melibatkan perancangan tertentu.
Pada kebiasaannya, penderma organ hanya dalam kalangan ahli keluarga terdekat penerima.

Di Malaysia, KKM hanya membenarkan pendermaan organ semasa hidup daripada ahli keluarga terdekat yang mempunyai pertalian darah atau mendermakan organ kepada pasangan masing-masing yang sah.

Menurut risalah yang diterbitkan oleh Unit Perkhidmatan Transplan, Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, bagi pendermaan organ hidup, penderma perlu menjalani penilaian oleh sebuah jawatankuasa bebas yang dilantik oleh KKM, iaitu Unrelated Transplant Approval Committee (UTAC) sekiranya mahu mendermakan organ kepada seseorang yang tidak mempunyai pertalian darah.

Menurut PSTN, secara umumnya individu yang ingin mendermakan organ perlu sihat dari segi fizikal dan mental. Mereka yang mempunyai penyakit berjangkit dan menghidap penyakit seperti diabetes dan barah tidak boleh menjadi penderma organ. Oleh itu, bagi individu yang ingin menjadi penderma organ, mereka perlu memaklumkan status kesihatan fizikal dan mental mereka kepada pegawai perubatan yang menjalankan penilaian. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh laman rasmi PSTN hingga bulan Jun 2022, jumlah pengikrar penderma organ di Malaysia ialah 515 530 orang sejak tahun 1997.

Walaupun jumlah tersebut dilihat tinggi, namun jumlah penderma sebenar selepas kematian hanya 774 orang sejak tahun 1997, manakala bilangan organ dan tisu selepas kematian yang didermakan hanya berjumlah 2432. Hal ini disebabkan oleh ahli keluarga atau waris pengikrar penderma organ yang telah meninggal dunia tidak memberikan keizinan untuk mengambil organ sebagaimana yang telah diikrarkan.

Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin dalam ucapannya ketika melancarkan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022, beliau menasihati para pengikrar penderma organ agar memaklumkan hasrat mereka kepada ahli keluarga atau waris bagi memastikan pendermaan organ dan tisu mereka dapat direalisasikan.

Tambah beliau lagi, hajat dan hasrat murni pengikrar penderma organ hanya dapat dilaksanakan apabila ahli keluarga atau waris mengetahui serta memahami konsep pendermaan organ.

Kesedaran pendermaan organ dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya individu yang beragama Islam masih rendah walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada tahun 1970 telah memutuskan bahawa pendermaan organ dan tisu untuk pemidahan adalah dibenarkan (harus).

Menurut mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, pemindahan organ dibenarkan bagi memenuhi tuntutan memelihara nyawa manusia yang merupakan satu daripada tuntutan Maqasid al-Syariah.

Kebanyakan orang Islam mempunyai salah faham berkaitan dengan isu pendermaan organ. Antara salah faham tersebut ialah (i) pendermaan organ oleh orang yang telah meninggal dunia didakwa boleh menyeksa mayat; (ii) sesetengah umat Islam pula berpendapat bahawa tubuh orang Islam itu ialah amanah Allah SWT dan tidak boleh diambil sesuka hati; (iii) sesetengah umat Islam yang lain risau dan takut penderma organ akan bangkit dengan jasad yang tidak sempurna di padang mahsyar, dan (iv) penderma organ akan menanggung dosa penerima organ jika berbuat maksiat ataupun penerima organ tersebut adalah kafir. Walau bagaimanapun, pandangan ini sekadar salah faham kerana pendermaan organ akan mengelakkan mudarat yang lebih besar,  iaitu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan organ berkenaan.

Sejarah pemindahan organ di Malaysia telah bermula dari tahun 1975. Sejak tahun tersebut, pelbagai aktiviti dan langkah pengukuhan terus dijalankan dari tahun ke tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berkenaan dengan pendermaan organ. Antaranya aktiviti yang dijalankan ialah penganjuran minggu kesedaran pendermaan organ peringkat kebangsaan yang bertujuan memberikan kesedaran melalui promosi dan pendidikan berterusan kepada masyarakat berkaitan dengan pendermaan dan pemindahan sebagai satu daripada teknologi perubatan bagi menyelamatkan nyawa.

Pada tahun ini, tema yang dipilih bersempena dengan sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan ialah Derma Organ: Cakna Demi Kehidupan. Terdapat pelbagai aktiviti menarik telah dirancang sepanjang sambutan minggu kesedaran tersebut yang berlangsung dari 13 Ogos 2022 hingga 17 Ogos 2022. Antaranya ialah pertandingan melukis poster, webinar derma organ istimewa, pertandingan video pendek, kuiz interaktif, pertandingan inovasi dan pameran serta pelbagai aktiviti lain.

Minggu kesedaran pendermaan organ ini juga dilaksanakan pada peringkat negeri. Diharapkan dengan segala aktiviti dan hebahan berkaitan dengan pendermaan organ di seluruh negara mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan Keluarga Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada pengikrar penderma organ dan memberikan harapan kepada 10 279 orang pesakit yang menunggu organ daripada penderma.

Maklumat lanjut berkaitan dengan pendermaan organ dan sambutan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 boleh didapati dalam laman media sosial PSTN, atau melayari laman sesawang rasminya di pautan https://www.dermaorgan.gov.my/.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.