Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Sesi ceramah interaktif dengan tajuk “Sains Islam dan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM)” telah dikongsikan oleh Dr. Mohammaddin Abdul Niri, Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (JFU, APIUM) bersama-sama warga Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan (SRIDE) pada 4 Ogos 2022 bersempena dengan Minggu Sains Negara 2022.

Ceramah interaktif ersama-sama warga SRIDE.

Ceramah terbabit merupakan satu daripada pengisian Minggu STEM yang dianjurkan oleh SRIDE dan dijayakan oleh Pasukan Aljawi dan Falak JFU APIUM, Makmal Fizik Angkasa, Jabatan Fizik Fakulti Sains Universiti Malaya (UM) dan Pusat STEM UM.

Sepanjang sesi ceramah, para peserta telah diperkenalkan dengan peranan kitab suci al-Quran yang bukan sahaja menjadi pedoman dalam hukum akidah, hukum Fiqh dan hukum akhlak, tetapi juga memberikan petunjuk dalam uji kaji sains. Hal ini bermakna pengkajian saintifik terhadap alam tabii dari sebesar-besar alam semesta, kemudiannya jasad samawi sehinggalah makhluk Allah SWT, yakni sekecil-kecil mikroorganisma dan zarah, kesemuanya telah dipandu dalam al-Quran dengan pandangan sarwa (worldview) yang jelas, iaitu bagi meyakini zat Allah SWT Yang Maha Esa, Yang Maha Suci, Yang Maha Kuasa sebagai Tuhan yang mentadbir seluruh jagat raya. Kemudian, pandangan sarwa itu hendaklah disempurnakan dengan ketaatan melaksanakan segala perintah-Nya, meninggalkan larangan-Nya dan berakhlak baik mengikuti rasul-Nya, iaitu Nabi Muhammad SAW.

Pada masa ini, kesempurnaan pandangan sarwa terbabit dan segala manfaatnya akan menjadi lebih mudah dikongsikan dan memberikan kebaikan buat manusia dan alam sejagat apabila dibantu dengan penguasaan kemahiran STEM. Penguasaan itu haruslah dipupuk bermula daripada peringkat asas yang melibatkan kemahiran menghitung dan menaakul sehinggalah peringkat lanjutan seperti kemahiran penyelesaian masalah secara empirikal dan kemahiran komputasional.

Dengan menguasai kemahiran tersebut, bentuk pengoperasian sains Islam yang bersifat semasa dan mengatur gerak integrasi ilmu wahyu dan ilmu akal serta uji kaji saintifik dapat dipugar kembali bagi menyambung kecemerlangan tokoh ilmuan Islam silam dalam bidang sains dan teknologi. Ketokohan dua orang cendekiawan sains Islam, iaitu Ibn al-Haytham dan Ismail al-Jazari telah dikongsikan oleh penceramah sebagai sumber inspirasi STEM.

Ibn al-Haytham merupakan tokoh sains Islam abad ke-10 yang terkenal dengan sumbangannya dalam bidang sains cahaya dan optik. Di Barat, namanya cukup masyhur dikenali sebagai Alhazen dan karya agungnya Kitab al-Manazir telah diterjemahkan ke bahasa Latin dengan judul De Aspectibus or Perspectiva. Reka ciptanya yang cukup diingati hingga kini ialah kamera lubang jarum. Menurut Profesor Jim al-Khalili, tidak dapat disangkal bahawa Ibn al-Haytham merupakan Bapa Optik Moden dan sebenarnya turut dirujuk sebagai Bapa Saintifik Moden meskipun terdapat dakwaan lain yang menyatakan bahawa kaedah saintifik hanya ditemukan pada abad ke-17 oleh Francis Bacon and Rene Descartes.

Walau bagaimanapun, Ibn al-Haytham jelas merupakan tokoh cendekiawan serba pengetahuan (polymath) yang menguasai bidang agama dan pelbagai disiplin sains. Keunggulan sumbangannya dalam bidang sains khususnya dalam bidang fizik, astronomi dan matematik telah menjadi rujukan dan memberikan impak selama ratusan tahun dalam kalangan tokoh sains terkemuka di Eropah seperti Nicolaus Copernicus, Galileo Galilei, Johannes Kepler dan Sir Isaac Newton.

Tokoh kedua yang dikongsikan sebagai sumber inspirasi STEM ialah Ismail al-Jazari, tokoh jurutera Islam abad ke-12. Sebagaimana Ibn al-Haytham, beliau juga serba pengetahuan dan dikenali sebagai Bapa Robotik. Kecemerlangannya dalam kejuruteraan mekanik jelas terpapar menerusi karyanya berjudul Kitab fi Ma’rifat al-Hiyal al-Handasiyya yang mengandungi penjelasan 50 alatan mekanik dan panduan membinanya.

Satu daripada hasil reka ciptanya dalam robotik ialah automaton muzik berbentuk sebuah bot yang dinaiki empat pemuzik automatik yang terapung di tasik untuk menghiburkan tetamu semasa pesta minum diraja. Menurut Profesor Noel Sharkey, kemungkinan besar reka cipta terbabit merupakan automata terprogram yang terawal. Sebagai perbandingan, terdapat dakwaan menyatakan bahawa automata teraturcara tertua di dunia ialah mesin yang dibina oleh Leonardo da Vinci pada tahun 1478.

Yang pasti, hakikat ilmiah yang tidak dapat dinafikan ialah berlakunya transmisi ilmu pengetahuan sains dan teknologi dari tamadun Islam ke Eropah, terutamanya semasa era Andalusia di Sepanyol. Demikian juga faktor perkembangan sains dan teknologi di Eropah adalah terhasil daripada interaksi dan pertembungan peradaban antara Islam dan Barat.

Selain daripada sorotan ketokohan Ibn al-Haytham dan Ismail al-Jazari sebagai sumber inspirasi STEM, penceramah turut berkongsi konsep asas penghitungan kalendar Islam serta konsep asas cahaya dan sifatnya. Kuiz bertulis juga dilaksanakan dan melibatkan sebanyak 320 penyertaan yang terdiri daripada peserta dewasa dalam kalangan guru dan murid sekolah SRIDE.

Sesi ceramah  bertemakan sains angkasa oleh pencermah undangan.

Pengisian Minggu STEM anjuran SRIDE turut mengandungi tiga sesi ceramah bertemakan sains angkasa. Sesi ceramah pertama bertajuk “Makhluk Allah Si Matahari” oleh Dr. Nazhatulshima Ahmad, Pensyarah Kanan, Makmal Fizik Angkasa Jabatan Fizik Fakulti Sains UM. Sesi ceramah kedua diteruskan oleh Dr. Nurulhuda Ahmad Zaki, Pensyarah Kanan, JFU, APIUM dengan tajuk “Waktu Solat Dalam Astronomi”  dan diteruskan oleh Dr. Mohd Hafiz Mohd Saadon, Pensyarah Kanan, JFU, APIUM dengan tajuk “Bulan, Bintang dan Galaksi”.

Sementara itu, ucapan penutupan telah disempurnakan oleh Guru Besar SRIDE, Puan Hjh. Kamariah Nasir pada akhir majlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.