2 Ogos 2022, 11:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerjasama antara Graphjet Technology Sdn. Bhd (Graphjet) dengan Toyoda Trike Corporation (Toyoda) dan Asia Development Capital Ltd. dalam industri grafit dan gratin bakal memberikan manfaat yang besar buat Malaysia.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, pemasaran grafin yang dihasilkan oleh Graphjet mempunyai potensi untuk membekalkan kepada syarikat produk grafin tempatan di bawah program Graphenovation.

Dalam jangka masa panjang, Malaysia boleh menjadi satu daripada pengeksport grafin di dunia selain menjadi penggalak kepada syarikat yang ingin memanfaatkan potensi besar grafin untuk melabur di Malaysia.

YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba semalam telah menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Graphjet dengan Toyoda dan Asia Development Capital Ltd. di Hotel The Majestic.

Menerusi MoU tersebut, Toyoda yang merupakan sebuah syarikat terkemuka dari Jepun dan terkenal di peringkat antarabangsa telah diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan grafit dan grafin yang dihasilkan Graphjet di Jepun.

Majlis menandatangani MoU antara Graphjet dengan Toyoda dan Asia Development Capital Ltd.

Kerjasama ini juga dilihat mampu mempromosikan bahan grafin buatan Malaysia setelah melihat kepada rekod prestasi Toyoda yang kukuh dan Jepun sebagai satu daripada hab utama industri automatif.

Syarikat Graphjet telah memulakan pendekatan yang inovatif untuk menghasilkan grafin daripada isirung kelapa sawit. Teknologi yang dipatenkan ini merupakan penyelesaian yang akan memajukan pembangunan grafin.

Teknologi yang menggunakan isirung sawit sebagai bahan utama dalam penghasilan grafin ini juga memberikan kelebihan kepada Malaysia untuk membekalkan bahan mentah dalam penghasilan grafin memandangkan Malaysia merupakan antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.

Beliau juga berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menyarankan Graphjet agar menjalin kerjasama dengan NanoMalaysia Berhad (NMB), terutamanya dalam rantaian bekalan dan pembangunan produk hiliran dan aplikasi dengan grafin serta mendapatkan pensijilan GrapheneVerify untuk produk bagi mengukuhkan kehadirannya dengan pengiktirafan domestik dan antarabangsa.

GrapheneVerify merupakan program di bawah NonaVerify Sdn. Bhd. (NVSB), sebuah syarikat milik penuh di bawah NMB, iaitu agensi di bawah MOSTI untuk menggalakkan penyertaan pemain grafin Malaysia dalam ekonomi grafin global yang dianggarkan berjumla AS$267 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, NMB telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan Pelan Tindakan Graphene Kebangsaan 2020 (NGAP2020). Sehingga kini, sebanyak 61 projek telah diaktifkan dan 40 harta intelek telah difailkan melibatkan 50 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan termasuklah syarikat pemula yang juga mencipta lebih 15 ribu peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.