24 Julai 2022, 13:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Komuniti dan Kesihatan serta Kayuhan Jelajah Sihat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) yang diadakan di Projek DiRaja Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, semalam.

Program yang dianjurkan oleh pihak BSMM dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini memberikan sumbangan berbentuk infrastruktur dan logistik program. Program ini juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Polis DiRaja Malaysia, para kepimpinan, dan penduduk kawasan setempat.

Menurut Setiausaha Agung BSMM, Tuan Haji Hakim Haji Hamzah, pihak BSMM telah memperuntukkan sebanyak 390 pek makanan kepada komuniti dalam golongan B40 yang kurang berkemampuan di negeri Perlis melalui program ini.

Pemberian bantuan makanan kepada komuniti dalam golongan B40 yang kurang berkemampuan di negeri Perlis.

Program yang ditaja oleh Majlis Pemulihan Negara bagi Bantuan Makanan dan International Federation of Red Cross Red Crescent (IFRC) ini mengandungi program elemen kesihatan berbentuk penyediaan perkhidmatan klinik bergerak, program kesihatan mental dan sokongan psikososial, dan program bantuan kecemasan agar memberikan impak yang lebih besar kepada komuniti yang masih terjejas dengan kawalan pergerakan serta virus COVID -19.

BSMM merupakan satu daripada badan agensi berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta 540 dan segala misi pergerakannya adalah di bawah Arahan 18, 20, 21 Majlis Keselamatan Negara. Bulan Sabit Merah merupakan satu daripada tunjang utama serta menyokong segala langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi memberikan perkhidmatan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat sejagat bertepatan dengan slogannya “Nobody shall be left behind”.

Bersempena dengan program ini, DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyaksikan demonstrasi ikatan dan balitan kecemasan, bantuan CPR, tercekik, saringan kesihatan terhadap 150 orang warga kampung, permainan kanak-kanak, Busking PEKOLA, dan taklimat kebersihan diri.

Demonstrasi bantuan kecemasan oleh pihak BSMM.

Cara DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis berserta MAIPs yang telah membawa kampung nelayan ini ke dalam jagaan tuanku dan mengambil keprihatinan rakyat dalam penjagaan peribadi tuanku benar-benar memberikan inspirasi kepada semua.

Demikian titah YTM Tunku Temenggong Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Putri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang juga merangkap Pengerusi Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.