Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya – Majlis pemeteraian kerjasama telah diadakan antara Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) dengan empat organisasi, iaitu Malaysian Research for Technology and Innovation (MRANTI), Technology Depository Agency Berhad (TDA), Malaysia Industry Forward Association (MIFA) dan Malaysian Photovoltaic Industry Association (MPIA) dalam usaha untuk mentransformasikan sosioekonomi negara melalui program Bandar Pintar.
Empat bidang kerjasama yang telah dikenal pasti ialah National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) Smart Cities Sandbox antara MSCA dengan MRANTI, Inisiatif Bandar Pintar dan Program Kerjasama Industri (ICP) antara MSCA dengan TDA, Teknologi dan Perkongsian Pengetahuan dan Pembangunan Industri antara MSCA dengan MIFA serta Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dan Perkongsian Pengetahuan serta Pembangunan Industri antara MSCA dengan MPIA.
Semua kolaborasi ini memberikan penekanan terhadap kerjasama perkongsian teknologi dan pengetahuan, penyediaan nasihat teknikal dan bukan teknikal serta pembangunan industri ke arah bandar mampan dan pintar. Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) selaku sekretariat tetap MSCA sentiasa berusaha untuk merealisasikan program Bandar Pintar di seluruh negara.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim berkata semua kerjasama ini membolehkan teknologi baharu diuji dalam persekitaran sebenar selain menerima kemudahan kawal selia dan pembiayaan sebelum dibawa ke dalam pasaran dan disebarkan ke seluruh negara. Menurutnya lagi,
Saya optimis kerjasama yang dimeterai merupakan usaha yang berkesan dalam mencapai objektif untuk mengukuh pelibatan penggiat industri dan sektor kerajaan dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan dan bandar pintar negara pada masa hadapan.

Tambahnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghargai dan mengalu-alukan inisiatif sebegini selari dengan tanggungjawab kementerian dalam memperkukuh peranan serta sumbangan teknologi dan inovasi terhadap agenda pembangunan mampan serta bandar pintar negara.
Pelaksanaan konsep Bandar Pintar dicetuskan untuk memudahkan pengurusan sumber dan alam bina yang lestari dan mesra pengguna. Konsep ini bermatlamat untuk mewujudkan bandar yang sesuai didiami, bekerja dan beriadah dengan kualiti hidup dan kesejahteraan yang tinggi selain berpotensi menghasilkan keuntungan kewangan.
Kepentingan menjadikan negeri di Malaysia sebagai Bandar Pintar turut diberikan keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, selari dengan hasrat dan tanggungjawab MOSTI dalam memperkukuh peranan serta sumbangan teknologi terhadap agenda pembangunan mapan negara.
(Sumber: Facebook MOSTI)