16 Jun 2022, 11:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagi penggemar laksa, bau dan aroma daun kesum pastinya terbayang-bayang dalam ingatan. Tanpanya, masakan tradisional yang sangat terkenal di belah utara itu boleh dikatakan sebagai satu hidangan yang belum sempurna. Oleh itu, daun kesum mempunyai peranan yang sangat besar dalam hidangan tersebut serta boleh dianggap sebagai daya pemikat paling utama yang menjadikan hidangan sangat unik dan istimewa.

Kesum juga merupakan tanaman mudah mesra kerana mudah membiak tanpa memerlukan penjagaan yang rapi, misalnya dengan penentuan kualiti baja, air atau pencahayaan. Oleh sebab itu, pokok ini sangat mudah kelihatan di kediaman termasuklah di kawasan rumah pangsa. Pokok ini tidak memerlukan kawasan tanah yang luas. Dengan menggunakan keratan batang dan direndam di dalam besen, kesum boleh merimbun dalam tempoh dua minggu. Selepas itu, kesum boleh dipetik untuk dijadikan sebagai perencah masakan. Selain laksa, kesum turut dimasukkan ke dalam hidangan asam pedas.

Disebabkan oleh bau kesum yang agak kuat dan menarik, tumbuhan ini juga dimanfaatkan dalam industri pembuatan minyak wangi. Sebagaimana yang dinyatakan dalam makalah Daun Kesum Mampu Rencat Sel Kanser tulisan Mona Ahmad pada tahun 2016, terdapat bahan yang digunakan untuk menghasilkan minyak wangi di Perancis yang dipercayai menggunakan sebatian yang terdapat dalam daun kesum. Keadaan ini adalah tidak pelik kerana daun kesum sememangnya mampu menghasilkan minyak pati yang mengandungi bahan kimia alipathic aldehyde, yakni secara semula jadi berpotensi untuk dijadikan sebagai perisa atau wangian. Baunya yang kuat juga dimanfaatkan dalam industri pembuatan semburan untuk menghalau serangga perosak seperti lipas.

Kesum tergolong sebagai satu daripada tumbuhan istimewa kerana berkeupayaan mengeluarkan sebatian metabolit sekunder yang sangat berguna dalam merawat penyakit kanser. Berdasarkan penulisan oleh Mona Ahmad, dinyatakan bahawa sesuatu tumbuhan itu akan mengeluarkan sebatian metabolit sekunder apabila berada dalam keadaan tertekan untuk melindungi dirinya apabila berdepan dengan cuaca yang panas atau hujan, serangan bakteria atau jangkitan kulat dan perubahan hormon.

Tidak seperti haiwan yang boleh melarikan diri untuk berteduh, mencari tempat perlindungan atau merawat dirinya dengan menggunakan unsur semula jadi, tumbuh-tumbuhan akan bertindak balas terhadap perubahan yang berlaku kepada dirinya dengan membina sistem pertahanan yang unik. Oleh itu, tumbuhan yang berupaya bertindak balas dan menghasilkan sistem perlindungan diri boleh dianggap sebagai tumbuhan yang sangat lasak kerana mempunyai ketahanan diri yang tinggi. Maka, tidak hairanlah apabila kesum boleh membiak di mana-mana sahaja kerana keupayaan semula jadinya yang mampu bertindak balas terhadap persekitaran.

Sebatian yang dimiliki oleh kesum ini dianggap sebagai aset yang mempunyai nilai perubatan yang sangat berharga berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Dalam ujian makmal yang dijalankan oleh INBIOSIS, sebatian yang terkandung dalam tumbuhan tersebut mampu merencatkan sel kanser dengan sangat efektif.

Kajian yang dijalankan oleh Mohamad Agus Wibowo dan rakan-rakannya tentang ekstrak daun kesum yang dapat memperbaik kerosakan paru-paru kesan daripada penghasilan Reactive Oxygen Species (ROS) barangkali dianggap sebagai penemuan yang mengujakan dan menggembirakan kepada golongan perokok tegar walaupun perkara ini bukanlah satu lesen untuk terus kekal dengan tabiat yang tidak elok itu.

Hal ini dikatakan demikian kerana kajian yang tersiar dalam jurnal Kedokteran Haiwan Volume 7 No. 2 keluaran bulan September 2013 itu mendapati bahawa pecahan n-heksana yang terdapat dalam ekstrak daun kesum dapat merencatkan pertumbuhan sel kanser yang disebabkan oleh benzopirena yang merupakan unsur utama dalam kandungan rokok. Sel kanser tercetus apabila benzopirena ini merosakkan asid deoksinukleik dan menghasilkan radang dalam paru-paru. Hal ini kerana benzopirena menguraikan metabolit reaktif dan ROS merupakan agen utama yang boleh merosakkan paru-paru.

Tesis yang dikemukakan oleh Naema Yousri Fatthallah Elnehrawy dalam bidang biosains dan kejuruteraan perubatan di Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2015 juga sangat menarik untuk diketengahkan. Tesis tersebut yang berkaitan dengan kajian in vitro terhadap kesum dan kesan ekstraknya kepada keupayaan penyembuhan sel kulit mendapati bahawa kesum memiliki ciri antioksidan, kaya dengan vitamin dan mineral penting serta mempunyai fungsi antiulser dan antimikrob yang menakjubkan. Terdapat dapatan utama dalam kajian ini menunjukkan bahawa ekstrak akueus daun kesum berpotensi untuk mempercepat penyembuhan sel kulit di samping menggalakkan proses merawat dengan cara yang selamat, semula jadi dan efektif.

Dengan ciri dan fungsi yang terdapat pada kesum, luka kronik yang sering menjadi masalah kepada penghidap diabetis dan pesakit yang mempunyai sistem saluran dalam tubuh yang lemah dapat diatasi. Luka kronik ini jika tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan masalah komplikasi yang serius seperti kecederaan parah, septisemia atau amputasi (kekudungan). Oleh itu, penemuan kajian Naema ini boleh dianggap sebagai berita yang sangat melegakan kepada pesakit yang berhadapan dengan masalah tersebut.

Selain itu, ciri antioksidan yang dimiliki oleh tumbuhan herba seperti kesum bukan sahaja berupaya merencatkan sel kanser tetapi memberikan kesan yang signifikan kepada psikologi manusia, misalnya memperbaik dimensi kognitif manusia seperti ingatan dan pengecaman tugas. Ciri ini juga mampu menurunkan tahap kegelisahan dan tekanan. Dengan kata lain, ciri antioksidan yang terdapat pada kesum boleh memperbaik kualiti hidup manusia dari segi emosi, perasaan dan pemikiran.

Berdasarkan tulisan Suzana Shahar dan rakan-rakannya dari UKM bertajuk The Effect of Polygonum Minus Extract on Cognitive and Psychosocial Parameters According to Mood Status Among Middle-Aged Woman: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Study pada tahun 2015 dalam jurnal Clinical Interventions in Aging menyatakan bahawa pengambilan kesum dapat memperbaik Wechsler Abbreviated Scale of Intelligence (WASI) yang merujuk fungsi psikologi dari sudut keupayaan berfikir, kemahiran intelek dan kekuatan emosi. Perkara yang paling menarik dalam kajian tersebut ialah pengambilan kesum tidak memberikan kesan sampingan kepada organ dalaman seperti hati. Oleh sebab itu, pengambilan kesum secara suplementari boleh dianggap selamat kerana mempunyai keupayaan penyembuhan secara semula jadi.

Barangkali atas sebab itu, kesum mempunyai tempat dalam masyarakat Melayu sehinggakan tumbuhan herba tersebut turut dijadikan sebagai ulam yang boleh dimakan mentah begitu sahaja. Sifatnya yang menonjolkan ciri yang lasak dan dikategorikan daripada jenis tumbuhan “panas” menyebabkannya banyak dimanfaatkan untuk kegunaan kesihatan dalaman. Antaranya adalah seperti yang berikut:

Jadual 1 Rawatan yang menggunakan daun kesum mengikut jantina.

Bahagian Rawatan
Lelaki Mengekalkan stamina dan menambah kekuatan batin.
Perempuan Memulihkan masalah keputihan, merangsang kitaran haid dan rawatan pengecutan peranakan selepas bersalin.

Dalam tulisan Aidatul Azura Abdul Rani dan rakan-rakannya yang berjudul Amalan Perubatan Tradisional Melayu bagi Penjagaan Ibu-ibu Selepas Bersalin di Negeri Kelantan yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari) pada tahun 2017 menyatakan bahawa daun kesum yang dicampurkan dengan pucuk lengkuas dan daun pucuk pinang boleh digunakan untuk merawat penyakit rengat yang merujuk sakit di bahagian peranakan selepas melahirkan anak. Caranya adalah dengan menumbuk kesemua bahan tersebut, kemudian menapisnya dan seterusnya meminumnya.

Rawatan lain yang menggunakan daun kesum sebagaimana yang menjadi amalan dalam perubatan tradisional masyarakat Melayu adalah seperti yang berikut:

Jadual 2 Rawatan perubatan tradisional yang menggunakan daun kesum.

Bahagian Tubuh Kegunaan Kesum
Mata Menguatkan daya penglihatan.
Perut Mengatasi masalah kembung dan sistem penghadaman. Kesum mempunyai unsur semula jadi yang mampu menyingkirkan cacing dalam perut dan usus.
Kulit Menghilangkan panau (jangkitan kulat pada lapisan luar kulit) dan masalah kudis (penyakit kulit yang mudah berjangkit dan merebak yang berpunca daripada kutu atau hama.
Saraf Merawat penyakit yang berkaitan dengan reumatisme seperti gout dan radang sendi.
Saluran kencing Merawat penyakit batu karang.
Sistem pembuangan air kecil dan besar Melawaskan saluran air kencing dan usus besar.
Rambut Menghilangkan kelemumur.
Bau badan Menghilangkan bau badan yang disebabkan oleh peluh atau gangguan metabolisme dalam badan.
Angin badan Mengeluarkan angin daripada perut dan usus.

Penggunaan kesum sebagai agen rawatan tradisi turut digunakan di negara lain di rantau Asia Tenggara. Sebagai contohnya, dalam kalangan masyarakat Kalimantan Barat, daun kesum yang mempunyai ekstrak etanol telah dikomersialkan menjadi syampu. Hal ini sebagaimana dalam kajian Dini Hadiarti yang bertajuk Shampoo of Kesum (Polygonum Minus) Leaves Ethanol Extract as an Anti-Dandruff, yang tersiar dalam AIP Conference Proceedings pada tahun 2017 yang menyatakan bahawa daun kesum mampu membina aktiviti antikulat bagi menghalang pembiakan kulat yang disebabkan oleh kelemumur.

Di samping itu, daun kesum juga mempunyai kesan yang signifikan terhadap asid lemak bebas yang terdapat dalam minyak masak. Dalam kajian yang dijalankan oleh Gervacia Jenny R dan Ratih Indrawati dari Jabatan Analisis Kesihatan, Pontianak yang berpusat di Kalimantan Barat sebagaimana yang terpapar dalam INTEK: Jurnal Penelitian Keluaran Volume 7 (2) pada tahun 2020, didapati bahawa daun kesum yang dimasukkan ke dalam minyak masak dapat mengurangkan asid lemak bebas yang terdapat dalam minyak tersebut. Penemuan ini pastinya memberikan manfaat kepada industri pengeluaran minyak masak, khususnya minyak sawit yang tidak perlu mengeluarkan kos yang besar untuk menjalankan proses penyulingan molekul bagi memisahkan asid lemak bebas yang terdapat dalam minyak sawit mentah berasid lemak tinggi.

Sebagai kesimpulannya, kesum ialah anugerah Tuhan yang tidak ternilai kerana boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bidang sama ada dalam bidang masakan, wangian, kesihatan atau perubatan. Walaupun masih banyak lagi gerak kerja saintifik yang perlu dilakukan terhadapnya, namun begitu amalan perubatan tradisional telah membuktikan bahawa kesum mempunyai potensi yang sangat baik kepada penjagaan kesihatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.