Diterbitkan pada 3 Jun 2022, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
MOSTI melancarkan beca elektronik (e-BECA), semalam.

Kuala Terengganu – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan beca elektronik (e-BECA) yang menggunakan teknologi boleh dicas dengan menggunakan tenaga solar, semalam.

Produk inovasi e-BECA yang dihasilkan ini mempunyai ciri mesra alam seperti menggunakan bateri yang boleh dicas dengan menggunakan kuasa solar dan boleh digerakkan dengan kelajuan 30 kilometer sejam. E-BECA juga dinaik taraf dengan menggunakan paparan skrin LED bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio menarik yang mampu merancakkan industri pelancongan di Kuala Terengganu.

Menurut Timbalan Menteri MOSTI, Yang Berhormat Datuk Haji Amzad Hashim, penggunaan e-BECA bukan sahaja meringankan kudrat para pengayuh beca, malah mampu memendekkan masa perjalanan hingga 15 minit dan seterusnya dapat menambah baik pendapatan mereka.

Idea e-BECA Terengganu tercetus menerusi inisiatif kerajaan di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) – Inovasi Inklusif melibatkan SME Corporation Malaysia  yang bertindak sebagai pembiaya program utama dan MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) selaku agensi pelaksana Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 yang berlangsung secara dalam talian.

Tambah beliau lagi, diharapkan e-BECA yang berteknologi tinggi, mesra pengguna dan bercirikan kebiasaan baharu ini bukan sahaja dapat memanfaatkan pengayuh beca yang sedia ada, malah dapat menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang ini.

(Sumber gambar: Facebook MOSTI)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi