Diterbitkan pada 29 Mei 2022, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar masyarakat dapat melibatkan diri dalam aktiviti penanaman pokok yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat sejagat.

 

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menanam pokok merbau di Kompleks Basikal Lasak Sungai Batu Pahat hari ini.

Ketika berkenan menyempurnakan perasmian “Program Kembara Hijau bersama-sama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) Perlis” bersempena dengan Kempen Penghijauan Malaysia dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022 yang diadakan di Kompleks Basikal Lasak, Sungai Batu Pahat tengah hari ini, baginda bertitah:

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan titah perasmian “Program Kembara Hijau bersama-sama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) Perlis”.

Beta percaya, dengan usaha yang berterusan oleh pihak kementerian dan jabatan serta pelibatan semua pihak, objektif “Program Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok” dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu menjelang tahun 2025.

Menurut DYTM Raja Muda Perlis, pendekatan kempen yang kreatif dan unik dapat menarik minat rakyat untuk terlibat dan hal ini dibuktikan dengan pengendalian program yang melibatkan pelbagai kumpulan sukarelawan, termasuklah peserta daripada dalam dan luar negeri Perlis.

DYTM Raja Muda Perlis dalam “Program Kembara Hijau bersama-sama Himpunan Outdoorians Malaysia (HOM) Perlis”.

“Sebenarnya, jika setiap rakyat Malaysia, iatu sebanyak 32.4 juta orang mengambil inisiatif sendiri untuk menanam kira-kira empat batang pokok, sebanyak 130 juta pokok baharu yang akan berjaya ditanam dalam masa 10 minit sahaja,” titah baginda lagi.

Keberangkatan tiba baginda bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Encik Ag. Shaffie Ag. Ahmadni.

Hadir sama ke program ini ialah Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dalam majis tersebut juga diadakan persembahan deklamasi sajak oleh Pegawai School Improvement Specialist Coaches, Puan Azlina Ahmad, penyampaian sijil dan plak Program Penghijauan Malaysia, lawatan ke pameran HOM dan acara simbolik penanaman pokok.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi